KHALID ABDUL SAMAD

Susulan daripada cadangan PAN itu, Pas Selangor kemudiannya bertindak balas apabila Persuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad pada 20 Januari lalu menempelak cadangan Khalid itu selain memberi ‘jaminan’ akan menyulitkan peluang PAN daripada memenangi sebarang kerusi di Selangor termasuklah kerusi Parlimen pada PRU-14 akan datang. 

Malah, Iskandar turut menegaskan cadangan PAN itu tidak lebih hanya sekadar ramalan semata-mata tanpa adanya sandaran yang kukuh kecuali atas alasan parti itu mengadakan kerjasama di antara PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan membentuk gabungan baharu pembangkang.

Kenyataan Iskandar itu mungkin ada benarnya kerana walaupun PAN mengadakan kerjasama dengan PKR, DAP dan PPBM ia tidak bermakna PAN sudah cukup kuat untuk menyingkirkan Pas dari Selangor memandangkan parti itu bukan sahaja merupakan parti baharu, tetapi kerjasama mereka dalam gabungan berkenaan dilihat masih tidak mempunyai hala tuju yang jelas. 

Ini termasuklah kecelaruan yang berlaku melibatkan kepemimpinan keempat-empat parti pembangkang itu yang sehingga kini seolah-olah dilihat masih buntu dalam soal pengagihan kerusi pada PRU-14 akan datang termasuklah pertikaian dalam soal menentukan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada blok pembangkang itu sendiri. 

Mungkin kepemimpinan gabungan keempat-empat parti pembangkang itu menyedari bahawa kedudukan mereka sebenarnya lemah lebih-lebih lagi apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Ahad lalu dilaporkan sanggup tampil menyatakan hasrat untuk bekerjasama sekali lagi dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekiranya Presiden Pas itu bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia. 

Walhal, seperti yang dilaporkan sebelum ini, DAP yang sebenarnya memutuskan hubungan mereka dengan Pas pada Mac 2015 selain melabelkan Abdul Hadi sebagai ‘tidak jujur’ di sebalik isu hudud. Maka, keputusan Pas yang menolak hasrat Kit Siang itu dilihat satu langkah tepat kerana parti itu telah mungkin telah menerima serta memahami pengajarannya selama mengadakan hubungan dan kerjasama dengan DAP sebelum ini. 

Melihat daripada perkembangan tersebut, maka hasrat PAN untuk menyingkirkan Pas dari peta politik Selangor barangkali hanyalah satu angan-angan yang mungkin mustahil menjadi kenyataan. PAN perlu sedar kedudukan pemimpin mereka sebelum membentuk parti serpihan itu adalah berasaskan kepada sokongan akar umbi dan jentera di bawah Pas. 

Sedangkan, PAN sendiri khususnya di Selangor difahamkan tidak mempunyai kekuatan akar umbi selain hanya bergantung kepada jentera serta sokongan DAP dan PKR untuk meneruskan hayatnya.

- UM.