Jiwa UMNO mesti tampak muda, hebat sebagai sebuah parti yang menjadi sandaran dan naungan orang Melayu.

Namun dalam usia sebegini, UMNO perlu sentiasa muhasabah dan membina kekuatan dalaman dengan lebih mantap. Membina kekuatan batang tubuh UMNO itu lebih penting daripada mengharapkan kelemahan dan perpecahan parti lawan. Beberapa amalan yang tidak mendatangkan manfaat kalangan ahli parti perlu dihapuskan dan beberapa strategi pembinaan kekuatan dalaman parti perlu dilakukan sekarang tanpa bertangguh.

1.Puji membawa rebah?

Demi survival UMNO, memuji seseorang pemimpin secara keterlaluan terutama di peringkat bahagian dan sayap parti mesti dihentikan. Ini amalan tidak sihat. 

Parti lawan begitu agresif mahu menggugat kestabilan UMNO, ada waktunya juga orang UMNO tidak nampak mereka sedang dipecahbelahkan kerana sibuk mengadu-domba dan menjadi ‘kaki bodek’. 

Pujilah pemimpin dengan menambah baik idea dan formula luar kotak. Sokongan dan dukungan kepada UMNO bukannya sekadar puji-pujian dan kata-kata manis. Sebaliknya, sokongan sebenar diterjemahkan melalui 2S iaitu sayang dan setia kepada parti.

Biarpun umur parti meningkat, namun dua sifat ini akan menjadikan UMNO nampak relevan dan berkesan membela rakyat.

2. Peremajaan, orang muda dan warlords.

Demi survival UMNO, lebihkan lagi peluang kepada orang muda untuk membentuk barisan pelapis parti. Ada andaian nakal menyebut kalaupun UMNO berjaya melepasi ranjau PRU-14, untuk mengulanginya dalam PRU-15 mungkin tidak. Kenapa?

Peluang kepada orang muda untuk bertapak dalam UMNO telah ‘disempitkan’ dek kerenah warlords di sebilangan peringkat bahagian yang cuak dengan aura golongan muda, baharu dan cerdik pandai. Kalau UMNO tidak bersedia membuka ruang kepada orang muda, parti akan ‘tergelincir’ sebelum tersembam jatuh.

3. Buru, tawanlah pengundi muda

Perlu diingatkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) menyusul selepas beberapa siri demonstrasi jalanan khasnya ‘Bersih’ yang bermula pada 2007. Penglibatan golongan muda dalam demonstrasi ini banyak memberi impak besar kepada UMNO. Ini kerana dengan jumlah pengundi melebihi 13 juta orang daripada pelbagai bangsa, segmen pengundi muda kini jadi tumpuan dan buruan. Jika kategori pengundi muda tidak diberi tumpuan dan ‘diburu’, padahnya akan menyebabkan parti kecundang dalam PRU-14.

Apakah persepsi pengundi muda terhadap pengaruh kepimpinan UMNO berada pada tahap selamat? Apakah signifikan penglibatan politik golongan muda daripada kaum Cina dan India dan kaum lain akan membawa perubahan besar dalam PRU-14? Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 5 Januari 2016 mencatatkan mereka yang layak mendaftar (melepasi umur 21) ialah 17,658,700 orang. Daripada angka itu 13,468,946 orang sudah mendaftar manakala yang belum mendaftar ialah 4,189,754 orang. Setelah ditolak dengan angka kaum lain, lebih 1.8 juta orang Melayu yang layak mengundi masih tidak mendaftar sebagai pengundi. 

4. Mesra rakyat dan watak sederhana

Rakyat meluat apabila pemimpin politik bersikap sombong dan suka memperagakan kekayaan dan kemewahan. Tindakan suka memperlihatkan kekayaan dan kemewahan hanya mengundang persepsi negatif dan rakyat kelak akan mempersoalkan integriti seseorang pemimpin. Rakyat hari ini celik maklumat dan mereka akan memilih pemimpin yang mesra rakyat, membela rakyat, ada kerendahan hati dan memiliki tahap integriti yang tinggi. Kesimpulannya bersederhanalah. 

5. Merakyatkan TN50

Perancangan masa depan negara yang digarap Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi visi Transformasi Nasional 2050 (TN50) harus segera diterjemahkan ke akar umbi.

Setakat ini penghayatan TN50 ‘agak kurang diserap’ oleh ahli peringkat bahagian dan cawangan sehingga mereka tidak dapat menjelaskan ‘mengapa ada pertindihan dengan Wawasan 2020’?

Sedangkan Perdana Menteri sendiri mahu mendengar pandangan golongan muda dan visi baharu mereka bagi memberi mereka rasa kepemilikan, kepunyaan dan semangat kekitaan.

6. Nyahkan ‘cah keting’

Demi survival UMNO, singkirkan sifat curiga dan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli. Parti harus lebih agresif dan bersifat terbuka untuk menerima keahlian daripada individu yang berlatar belakang profesional. 

Pengundi muda dipercayai kini menumpukan kriteria calon untuk dipangkah di kertas undi. Syed Arabi Idid (2011) mencatatkan peratusan pengundi yang membuat keputusan berdasarkan “parti” telah menurun daripada 78 kepada 59 peratus. Sementara itu, pengundi yang memilih berdasarkan “calon” didapati meningkat daripada 22 kepada 40 peratus. 

7. Peranan NGO dan panglima siber

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan panglima siber yang mesra UMNO mesti cekap, pantas dan bijak menjawab isu. 

Untuk terus kekal meraih sokongan, UMNO mesti menguasai aliran maklumat. Malaysia kini mempunyai lebih 18 juta pengguna aktif setiap bulan laman Facebook. Menjelang PRU 14, sekali lagi parti-parti bertanding akan berperang dengan “pilihan raya media sosial”.

Bersedialah berhujah dan meyakinkan segmen pengundi muda terutamanya melalui medium dan bahasa mereka.

8. Turun padang bermusim?

Tentu pelik jika empat tahun menghilang, tiba-tiba baru nampak muka. Pendekatan turun padang di saat-saat akhir cuma memakan diri calon dan parti. Ini pendekatan lama, usang dan kosmetik yang tidak boleh diguna pakai semasa kempen di saat-saat akhir.

Demikian juga halnya apabila baru hendak kemas kini Facebook dan Twitter. 

Wakil-wakil rakyat UMNO/BN yang menang, perlu melalui ‘post mortem’ daripada pucuk pimpinan. Ini termasuklah melibatkan perkembangan projek-projek berkepentingan rakyat sama ada yang telah berjaya mahupun tertangguh dan terbengkalai di kawasan masing-masing. 

Pastinya, UMNO mesti ‘inklusif’ dan bukan ‘eksklusif’ lagi. Ahli parti mesti berani hadapi cabaran. Ikhlaslah berjuang untuk parti. Tujuh dekad UMNO menggalas amanah.

By: DATUK MOHD. NIZAR SUDIN.