Wan Hashim Wan Teh

Pada waktu itulah, sesudah Kongres Melayu Ketiga pada 1946 bertempat di Dewan Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur timbulnya keperluan untuk mewujudkan sebuah parti politik yang perlu berada di medan perjuangan untuk mempertahankan hak mereka sebagai pribumi serta kedaulatan Raja-raja Melayu yang cuba dihakis oleh Inggeris. Sebelum ini, pada 1939, sudah diadakan Kongres Melayu pertama di Kuala Lumpur dan pada 1940 diadakan Kongres Melayu Kedua di Singapura. Rancangan untuk mengadakan Kongres Melayu Ketiga pada 1941 terpaksa ditunda disebabkan meletusnya Perang Dunia Kedua pada 7 Disember 1941.

Mengimbas sejenak akan sejarah kesedaran kebangsaan bangsa Melayu, dan ini pernah penulis huraikan dalam sebuah buku bertajuk Race Relations in Malaysia (1981 versi Inggeris dan 2011 versi Melayu, terbitan ITNB), ia bermula sejak awal 1900 yang dipelopori oleh bekas pelajar yang pulang dari Asia Barat serta melalui terbitan akhbar Al-Iman. Mereka yang dipimpin oleh Shaikh Tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh Al-Hadi dikenali juga sebagai golongan reformis kaum muda dan bagi Profesor Emeritus Khoo Kay Kim, ia dianggap sebagai a religious phase of Malay nationalism. Idea-idea reformis tentang kebebasan, kemajuan serta kemerdekaan, selain disebarkan melalui akhbar Al-Iman, juga disebarkan melalui beberapa sekolah Arab atau Madrasah Agama Islam yang mula dibuka di Kota Bharu (1917), Pulau Pinang (1920), Padang Rengas (1924), Kepala Batas (1925), dan di Singapura dengan nama yang berbeza-beza.

Bermula dari sini, lahir pula persatuan atau pertubuhan di peringkat negeri dan daerah yang bermula di Singapura melalui kelahiran Kesatuan Melayu Singapura pada 1926. Pertubuhan Melayu ini yang dipelopori dan dianggotai oleh guru-guru Melayu, kakitangan kerajaan serta elit Melayu di peringkat negeri dan daerah adalah tunas-tunas mekar yang akhirnya bersatu jiwa dan bergabung tenaga, membina tiang-tiang seri serta mencorakkan masa depan Semenanjung Tanah Melayu yang mampu berdiri teguh dan kekal sehingga ke hari ini.

Pun begitu, kita tidak harus lupa, kemunculan sebuah parti politik Melayu pertama, Kesatuan Melayu Muda (KMM), yang penubuhannya dipelopori oleh Ibrahim Yaacob dari SITC dan Ishak Haji Muhammad dari Kolej Melayu Kuala Kangsar serta beberapa bekas pelajar dari Sekolah Menengah Teknikal Kuala Lumpur dan Sekolah Pertanian Serdang yang berhaluan radikal dan mirip Parti Nasional Indonesia yang mahukan kemerdekaan dengan berdarah. KMM jugalah yang menyambut serta memberi laluan kepada kemasukan Jepun ke Tanah Melayu dan di akhir pemerintahan Jepun, cuba mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu bersama-sama Indonesia. Idea radikal KMM yang juga anti Raja-raja Melayu tidak mendapat tempat di hati rakyat dan parti politik Melayu pertama itu terus berkubur begitu sahaja.

Kedatangan semula Inggeris pada September 1945 dengan bala tenteranya yang besar, selain mengisytiharkan kemenangan dalam Perang Dunia Kedua bersama sekutunya the Allied Forces, membawa satu pakej baharu dalam bentuk Perlembagaan Malayan Union. Inggeris berhasrat menjadikan Negeri-Negeri Melayu sebagai sebuah Negara Kesatuan di bawah kuasa Inggeris yang berpusat di London dengan King George sebagai Ketua Negara atau dalam istilah hari ini sebagai ‘Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’.

Ketua Pentadbirnya pula adalah seorang Gabenor Jeneral berkuasa sepenuhnya dalam hal ehwal keselamatan dan pertahanan, perundangan serta pentadbiran. Dalam lain perkataan, Tanah Melayu dan komponennya, iaitu sembilan negeri Melayu akan dijadikan Tanah Jajahan Inggeris dengan secara mutlak (under direct colonial rule) seperti Hong Kong, atau Amerika Utara pada suku pertama abad ke 18 sebelum meletusnya perang untuk Kemerdekaan Amerika (American War of Independence, 1775-1777).

Dengan menggunakan strategi diplomasi tipu muslihat, Inggeris berjaya mendapatkan kesemua sembilan tandatangan Raja-raja Melayu yang diturunkan secara berasingan, tanpa menyedari akibat secara langsung penerimaan Perlembagaan Malayan Union itu. Mujurlah, sudah bersiap sedia sekumpulan kecil pemimpin pertubuhan Melayu seperti Dato Onn Jaafar yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Melayu Semenanjung, Haji Abdul Wahab, Dato Panglima Bukit Gantang, dan beberapa lagi yang bergerak pantas menggembleng tenaga kesemua pertubuhan Melayu seluruh Semenanjung untuk mengadakan Kongres Melayu Ke-3 atau Kongres Melayu Pertama sesudah Perang Dunia Kedua.

Kongres Melayu yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru Kuala Lumpur pada 1, 2 dan 3 Mac 1946 itu membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

n Perlembagaan Malayan Union itu ditolak dan dianggap tidak sah kerana tidak pernah memperoleh pendapat dan restu, secara berunding dengan rakyat bangsa Melayu sebagai pribumi dan rakyat yang sah bagi negeri-negeri Melayu.

n Perlembagaan Malayan Union meletakkan kedudukan orang Melayu sebagai rakyat baginda Sultan sama taraf dengan kaum Cina dan India yang belum lagi bertaraf warganegara dan hanya sebagai pendatang sementara atau warga Inggeris bagi mereka di Negeri-Negeri Selat iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

n Perlembagaan Malayan Union menurunkan martabat Raja-raja Melayu yang akan bertaraf sebagai Ketua Agama dan adat resam Melayu di negeri masing-masing. Kuasa pemerintah diambil sepenuhnya Gabenor di peringkat negeri dan Gabenor Jeneral di peringkat Persekutuan.

Dalam lain perkataan, sembilan Negeri-negeri Melayu bersama-sama tiga Negeri Selat diletakkan di bawah satu pentadbiran sebagai sebuah tanah jajahan atau koloni Inggeris, tidak seperti sebelum kedatangan Jepun sebagai Negeri-Negeri naungan Inggeris atau The Protected Malay States.

Dalam masa sama, Raja-raja Melayu juga dikritik tetapi dengan suara penuh sopan kerana menurunkan tandatangan tanpa persetujuan terlebih dahulu berunding dengan rakyat. Apa yang berlaku pada 1,2 dan 3 Mac 1946 adalah kebangkitan yang penuh keberanian dan pemberontakan atau a revolt orang Melayu terhadap kerajaan Inggeris yang mendesak Inggeris menarik balik Perlembagaan Malayan Union yang kemudiannya diganti dengan Perjanjian Persekutuan hasil perundingan yang berterusan wakil-wakil Melayu atas nama UMNO serta wakil Raja-raja Melayu dengan wakil kerajaan Inggeris.

Sesudah itu ditubuhkan UMNO pada tarikh keramat 11 Mei 1946 di Istana Balai Besar Johor Bahru. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau UMNO terus mengorak langkah dengan penuh keberanian dan keyakinan, semacam satu revolusi senyap atau a silent revolution mengambil alih kuasa dari Inggeris yang dimuktamadkan pada 31 Ogos 1957.

By: DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH.


i.