Sunday, May 21, 2017

HANYA AZMIN MAMPU REDAKAN KEGELISAHAN ANUAR.

Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin resah dalam kamarnya di Penjara Sungai Buloh. Pemuafakatan politik yang diasaskannya sejak 2008 yang berhasil menafikan Umno-BN majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat kini goyah.
 
Jika ini berlanjutan, sudah pasti harapan beliau dibebaskan lebih awal akan musnah. Beliau memburu waktu. Gagalnya pembangkang dalam Pilihanraya Umum ke-14 bererti impian untuk bebas dan menjadi perdana menteri akan turut berkubur.
 
Kini tinggal secebis harapan untuk Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, PPBM dan Amanah menyelamatkan pemuafakatan pembangkang dan bagi Anwar ia harus bermula dengan mengelak hubungan PAS dengan PKR, sekurang-kurangnya, jangan putus.
 
PAS sudahpun memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR. Bagaimanapun Anwar kini mahu PKR, terutama Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali supaya meneruskan perbincangan dengan PAS agar “retak tidak menjadi belah” di antara PKR dan PAS.
 
Yang nampak agak membebankan ialah ramai dalam PKR, termasuk presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sudah menyambut “cabaran” PAS mahu putuskan tahaluf siyasi dengan PAS.
 
Malah sebagai reaksi pada keputusan Majlis Syura PAS 11 Mei lalu itu, pimpinan PKR sudahpun bertindak menyahut “cabaran” PAS itu dengan mengarahkan semua lantikan politik PKR di Kelantan melepaskan jawatan. 
 
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Wan Azizah itu mahu menunjukkan pendirian “pinggan tak retak nasipun tidak dingin” PKR. Mereka melihat isu kedudukan tiga exco PAS di Selangor sebagai remeh dan “hanya layak” diselesaikan oleh Azmin sahaja. 
 
Bagaimanapun arahan terbaru Anwar supaya Azmin meneruskan perundingan dengan PAS ini sudah tentu menyentap pendirian pemimpin PKR yang mungkin melihat keputusan “lawan” berhabis-habisan dengan PAS sebagai satu “keputusan yang tepat”.
 
Memang sudah lama Anwar tidak bersuara. Kali terakhir beliau memberi arahan langsung kepada pimpinan PKR dari penjara ialah melalui “surat peringatan” supaya berwaspada dengan politik Tun Mahathir Mohamad yang cuba lunak dengan kepimpinan PKR.
 
Malah Anwar sendiri menyatakan bahawa agenda Mahathir mahu menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak tidak akan berjaya jika ia bersifat dendam peribadi dan bukan meliputi konteks reformasi total. 
 
Pun begitu ada banyak dinamika dan maklumat politik mutakhir yang tidak sampai ke pengetahuan Anwar. Justeru apabila Mahathir menziarahinya di mahkamah, Anwar pun beralih pandangan dan merestui pimpinan PKR bekerjasama dengan Mahathir. 
 
Kini Anwar melihat keadaan genting bagi PH. Soal PAS tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah memang umum sudah maklum. PAS juga tidak mahu bekerjasama dengan PPBM juga bukan rahsia lagi kerana ia berkawan dengan DAP dan Amanah.
 
Anwar mungkin yakin pada mulanya bahawa PAS boleh dipujuk untuk berpadu tenaga dengan PH demi benar-benar menjatuhkan Najib dan Umno-BN. Namun Anwar kemudian sedar kali ini PAS amat serius mahu hadapi PRU 14 sendirian. Tanpa PAS, formula ‘satu lawan satu’ sukar dilaksanakan.
 
Lantas Ketua Umum PKR itu Jumaat lalu mengarahkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali meneruskan perbincangan dengan PAS sebelum memutuskan nasib tiga Exco PAS di Selangor. 
 
"Kita perlu berbincang dan saya telah meminta Azmin untuk meneliti perkara itu. Saya rasa perbincangan sedang diadakan petang ini (Jumaat)," katanya.
 
Anwar berkata demikian ketika di mahkamah mengikuti perbicaraan satu kes lain. Sebagai anak buah yang taat Azmin terus masuk gelanggang sejurus tiba dari tugas di luar negara.
 
"Sebaik saya tiba di KLIA, saya dapat mesej daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dia mahu saya buka pintu rundingan lanjut (dengan PAS). Saya kena lapor pada Presiden dulu sebelum menyertai mana- mana rundingan pada masa akan datang.
 
"Saya juga dimaklumkan PAS mahu bertemu dengan pimpinan PKR dan kita akan aturkan (pertemuan) itu pada masa yang sesuai," ujar Azmin dalam sidang medianya selepas merasmikan Kongres Wanita dan AMK peringkat Nasional ke-12, malam kelmarin.
 
Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti itu tetap tidak akan menyertai PH sebaliknya sedang memperkasakan blok pembangkang ke-3 bagi menghadapi PRU14.
 
Beliau berkata, ada pihak tertentu dalam PH cuba menimbulkan isu kerjasama PAS dengan Umno bagi “memaksa” PAS menyertai PH kembali.
 
"Mereka berharap PAS menyertai PH, namun kita tidak akan bersama mereka. Ini kerana prinsip PAS sering kali ditentang beberapa kumpulan dalam pakatan itu," katanya
 
Tuan Ibrahim juga membidas pemimpin tertentu dalam PH yang menuduh PAS bekerjasama dengan Umno untuk menghadapi PRU14 termasuk berhubung isu pengagihan kerusi untuk ditandingi.
 
"Sebagai pemimpin, kalau kita percaya dengan maklumat yang dikutip di tepi jalan maka tidak layaklah menjadi pemimpin. Sepatutnya mereka mendapatkan maklumat yang betul," katanya. 
 
Baru-baru ini Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kononnya PAS mungkin mencapai kata sepakat dengan Umno untuk tidak melawan satu sama lain di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
 
Muhyiddin berkata, tindakan PAS itu membuktikan pendirian mereka sama ada berdiri atas blok ketiga ataupun bersama dengan Umno.
 
Kini masalah PH ini terletak di bahu Azmin. Beliau perlu “membawa” kembali PAS ke dalam PH. Namun adakah beliau akan mendapat sokongan daripada pimpinan komponen PH lain? 
 
Lebih penting, adakah pimpinan PKR sendiri akan membantunya? Sejak mula ramai pemimpin PKR termasuk Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution mahu tiga exco PAS dalam kerajaan Selangor letak jawatan jika PAS putus tahaluf dengan PKR.
 
Selain itu, tuduhan yang dilemparkan oleh Naib Presiden PKY, Rafizi Ramli bahawa pemimpin PAS menerima dana jutaan ringgit daripada anak syarikat 1Mdb masih terngiang di benak pemimpin ahli dan pemimpin PAS. Ini juga pasti memayahkan usaha Azmin.
 
Soal tiada keselarasan pemikiran di antara Azmin dengan beberapa pemimpin PKR bukan lagi satu rahsia. Azmin pun maklum hakikat ini. Belum pun beliau melaksanakan arahan terbaharu Ketua Umum PKR, Azmin sudah membayangkan cabaran yang bakal dihadapi:
 
"Semenjak akhir-akhir ni ada individu dan kumpulan kembiri politik yang dengki dan cemburu dengan kejayaan Selangor dan cuba melemahkan pencapaian kestabilan negeri.
 Mereka melempar fitnah, dikutip oleh media, mencipta polemik dan provokasi.
 
"Saya mengajak perwakilan, kita persetankan kembiri politik ini. AMK dan Wanita Keadilan mesti bersama mempertahankan kubu kita.
 
"Ingat, mereka berdepan dengan Azmin Ali dan Keadilan. Mana-mana pihak sama ada individu atau kumpulan yang cuba gugat kestabilan Selangor, mereka adalah pengkhianat amanah rakyat. 
 
“Mereka adalah musuh kita dan kita akan lawan habis-habisan. Lawan tetap lawan," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Kongres Nasional AMK dan Wanita Keadilan, di Dewan Sivik MBPJ, malam Jumaat lalu.
 
Dalam pada itu, Azmin menegaskan bahawa krisis yang melanda kerajaan Selangor pimpinan PKR mutakhir ini tidak akan membuatkan parti itu tunduk kepada pihak lawan. 
 
"Krisis tak semestinya masalah tapi krisis adalah peluang Keadilan untuk muncul sebagai pemimpin masa depan.. namun dalam masa sama Keadilan tak akan benarkan mana-mana pihak sama ada parti politik atau individu untuk memeras ugut parti kita.
 
"Kita akan lawan mereka habis-habisan," katanya. Sementara itu, Anwar Ibrahim cuma boleh menanti dengan penuh debaran dari sudut kamar besin.
Dari: Antarapos.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik