Mengandungi 16 bab, buku bertajuk DAP: Bahaya Kepada Melayu-Islam di Malaysia memaparkan sejarah politik Kit Siang dan DAP sejak dari awal penglibatannya sehingga sekarang.

Lengkap dengan peyelidikan terperinci, karya tersebut dipilih pemenang utama pertandingan esei mengenai Kit Siang yang menyentuh persoalan rasis, anti-Islam dan diktator.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebagai ahli politik Kit Siang tidak boleh mengelak daripada dinilai dan rakyat berhak mengenali watak sebenar Penasihat DAP itu.

“Sebagai contoh kisah 13 Mei, apa ucapan Kit Siang tiga hari sebelum tragedi, apa ucapan Kit Siang pada hari tragedi (di Kota Kinabalu) dan apa tindak-tanduk Kit Siang seminggu selepas tragedi.

“Rakyat kini boleh menilai kerana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya ada dua pilihan, kerajaan diketuai UMNO atau pembangkang diketuai DAP,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang penulisan esei mengenai Kit Siang di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail.

Dalam sidang akhbarnya selepas itu, Annuar berkata, jentera penerangan UMNO akan menjelajah ke seluruh negara bagi menerangkan bahaya Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Dakwanya, dengan pendekatan Malaysian Malaysia, banyak dasar bersifat keadilan sosial yang ketika ini dinikmati rakyat pelbagai kaum akan terhapus jika pakatan itu memenangi PRU-14.

“Parti-parti junior dalam pakatan ini hanyalah ‘buah sembah’ seperti dalam silat, pukulan maut tidak dimiliki PKR, PAN atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), itu milik DAP.

“Kita semua sedar parti-parti junior ini tidak akan mampu menandingi kekuatan DAP, baik dari segi bilangan kerusi mahupun pengaruh sebab pencatur utama dalam pakatan itu adalah DAP,” katanya.

Dari: UM.