Walaupun saya tidak akan membicarakan secara saintifik tentang kedua-dua objek ini, namun tanpa kajian yang panjang, kedua-duanya, iaitu wang dan ilmu, mempunyai kaitan rapat dalam kehidupan manusia.

Dari sudut pembicaraan berorientasikan ajaran Islam, maka ilmu itu adalah kurniaan Allah SWT yang haruslah dicari, dicanai dan dianalisis dengan sebaik-baiknya oleh manusia untuk mencapai darjat yang tinggi dan mendekatkan diri dengan Pencipta. Malah Allah berfirman; “Di atas orang yang berilmu itu, ada yang lebih berilmu”, iaitu dalam hierarki manusia, maka terdapat para ilmuwan yang menguasai banyak ilmu, namun kemuncaknya ialah Allah SWT Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

Umat Islam di negara kita amat berjinak-jinak dengan surah al-Kahfi. Harap kita juga memahami beberapa mesej penting daripada surah tersebut, terutamanya tentang variasi ilmu Allah, yang begitu banyak dibuka pintu jendelanya untuk dikuasai oleh manusia. Surah al-Kahfi disebut sebagai kalimat-kalimat Allah. Petunjuk tentang hal ini terdapat di dalam ayat 109 surah tersebut yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya semua air lautan itu dijadikan tinta (dakwat) untuk menulis kalimah-kalimah Allah, nescaya air lautan itu akan kekeringan sebelum kalimah-kalimah Allah itu selesai ditulis, walaupun ditambah sekali ganda lagi dengan air lautan itu.”

Hal ini diperkuatkan lagi oleh Allah SWT dengan firman-Nya di dalam surah Luqman ayat 27; “Jika segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta) dengan ditambah lagi tujuh lautan, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi bijaksana.”

Ilmu Allah inilah yang pada mulanya diajarkan kepada Nabi Adam ketika Allah memberitahu para malaikat bahawa Allah akan menjadikan Adam sebagai khalifah untuk menguruskan alam ini, dan malaikat bertanya kenapakah Adam, sedangkan mereka (para malaikat) sentiasa bertasbih memuji Kamu dan mentaqdiskan, menyucikan Kamu, lalu Allah menjawab; “Sesungguhnya Aku lebih mengetahui akan apa-apa yang tidak kamu tahu”. Ertinya Allah memilih manusia yang menguasai ilmu (dunia dan akhirat) sebagai penguasa alam, bukan malaikat yang sentiasa beribadat dan membesarkan Allah sepenuhnya, tidak seperti manusia yang hadir secara fizikal dan spiritual, akal dan roh, ilmu dunia dan akhirat di dalam alam ini.

Justeru, kalimah-kalimah Allah inilah yang merupakan banjir dan lautan ilmu, tanda-tanda kebesaran, dan kurniaan Allah kepada makhluk-Nya yang amat banyak dan besar sekali, yang tidak akan tertulis dan mampu dikuasai oleh manusia sepenuhnya.

Inilah antara ilmu manusia yang diperoleh akal dan petunjuk Allah dalam segala disiplinnya, termasuk ketika membina tamadun dan kesejahteraan manusia di atas muka bumi ini, meliputi bidang pertanian, perindustrian dan akhirnya sains teknologi sehingga ke kini sejak ribuan tahun dulu.

Dengan penguasaan ilmu inilah, manusia berjaya pada kurun ke-21 ini meningkatkan bidang keilmuan, ekonomi, industri, teknologi, sehingga umur manusia berjaya dipanjangkan dengan bertambahnya warga tua, ilmu pemakanan untuk menampung pertambahan penduduk dunia yang pada 1950 hanya sebanyak dua bilion orang, tetapi sekarang telah pun meningkat ke lapan bilion, menurut kajian agensi-agensi antarabangsa yang diperakui.

Namun pertambahan penduduk dunia ini memerlukan pertambahan bekal kehidupan mereka, seperti makanan, tenaga, sumber air, ubat-ubatan, tempat tinggal, dan produk lain yang diperlukan. Sekiranya bekalan makanan pada masa lampau mencukupi untuk bekalan manusia selama 10 hari umpamanya, maka kini mencukupi untuk tiga hari sahaja, yang memerlukan peningkatan produknya berkali-kali ganda.

Ketika inilah Allah mengingatkan manusia supaya berhati-hati mempelajari tanda-tanda kebesaran-Nya untuk manusia mengawal dirinya yang penuh bernafsu dan tamak haloba, menjadi manusia yang berperadaban, berakhlak dan mensyukuri nikmat-Nya, hidup sebagai jemaah manusia yang bertolong-tolongan dan bermesra serta bersaudara, supaya segala desakan dan cabaran hidup ini tidak melupakan mereka akan tibanya hari akhirat, akan adanya syurga dan neraka, balasan baik dan buruk terhadap segala amalan mereka.

Namun manusia sering lupa kepada Penciptanya, malah menjadi makhluk yang hanya mengejar kebendaan dunia, dengan meningkatkan produk makanan yang mengandungi racun kesuburan tanaman dan ternakan, mengeluarkan makanan yang memudaratkan kesihatan manusia, mencipta minuman yang memabukkan dan merosakkan tubuh dalam jangka pendek atau panjang, mencipta bahan khayalan seperti minuman keras, rokok, dadah dan sebagainya.

Manusia merosakkan alam sekitar demi kepentingan diri, menipu timbangan dan sukatan, menerima rasuah untuk amalan maksiat dan dosa, malah berbagai-bagai perilaku dan tindakan yang amat jauh daripada ajaran kerohanian dan fitrah manusia,

Inilah sebenarnya akibat dan cabaran kemajuan yang dikatakan tamadun manusia kini, pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang amat canggih itu.

Umat Islam kini hanya menjadi pengguna, bukan penyumbang untuk kemajuan ilmu dan teknologi ini. Inspirasi iqra’ yang diturunkan kepada mereka bagi mengkaji segala disiplin ilmu, menyelidik dan mendalami proses pendidikan hanya menjadi bahan bacaan yang tidak punya erti dan fungsi lagi.

Inilah sebenarnya bidang jihad yang memerlukan agenda umat kini, bukan jihad yang disalah mengertikan sebagai pembunuhan dan pertumpahan darah kerana dasar kebendaan, kekuasaan, penyelewengan dan hawa nafsu manusia.

By: DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM.