Ramai terkejut apabila dua pegawai polis bertaraf Ketua Polis Daerah (OCPD) ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai menjadi dalang dalam kegiatan itu sehingga menyukarkan usaha polis untuk mengekang kegiatan haram tersebut.

Malah ramai yang tidak percaya bagaimana seorang anggota polis berpangkat koperal mampu memiliki wang tunai berjumlah RM800,000 dan disimpan di dalam stor rumahnya dipercayai hasil aktiviti haram tersebut.

Seorang pekerja stor yang bekerja di Negeri Sembilan tetapi menetap di Krubong, Melaka memberitahu penulis ketika bertemu di sebuah kedai kopi di Seremban baru-baru ini, katanya sebelum ini memang kegiatan judi dan pusat urut begitu banyak khususnya di sekitar Melaka Tengah iaitu Banda Hilir malah dia pernah sesekali ‘mengintai’ kawasan berkenaan.

Namun, katanya, selepas membaca akhbar berita penangkapan pegawai polis di Melaka, banyak pusat judi di Banda Hilir tutup begitu juga rumah-rumah urut tetapi penulis tidak sempat bertanya adakah dia turut mengintai atau menyertai aktiviti di rumah urut itu sebelum ini.

“Mungkin bila pegawai polis yang selama ini memberi perlindungan kepada kegiatan ini ditahan, sebab itulah mereka tidak lagi beroperasi. 

“Memang banyak yang dibuka sebelum ini. Bagus juga bila ada serbuan SPRM, baru mereka tidak lagi beroperasi,” kata lelaki berusia lingkungan 50-an itu yang turut terkejut dengan tindakan besar-besaran SPRM menangani kegiatan salah laku di negerinya.

Tidak adil jika pegawai polis berkenaan dipersalahkan bulat-bulat kerana ketika ini siasatan masih dijalankan oleh SPRM, malah rakan penulis dari sebuah akhbar berbahasa Inggeris menulis satu berita mengenai dua pegawai polis berkenaan yang disifatkan sebagai individu yang baik, mudah didampingi dan mesra dengan semua penduduk kawasan pentadbiran mereka.

Juga bukan bermaksud penulis menyebelahi sesiapa kerana tindakan diambil SPRM itu adalah berdasarkan kepada maklumat serta intipan dan hasil risikan dalam usaha memerangi kegiatan rasuah sehingga menyebabkan imej PDRM akan tercemar sekiranya betul mereka memiliki pegawai atasan yang korup, makan rasuah dan menyalahgunakan kuasa untuk melindungi kegiatan tidak bermoral.

Tetapi sesuatu terlintas di fikiran penulis iaitu jika mereka yang dipercayai mengambil rasuah itu ditangkap, bagaimana pula dengan pemberi rasuah yang selama ini sentiasa memberi wang sogokan kepada seseorang individu itu untuk melindungi kegiatan mereka.

Bayangkan wang tunai RM800,000 boleh dimiliki seorang anggota polis berpangkat koperal, sudah pasti ada tokan besar yang membiayainya, sejak sekian lama. 

Agak-agak berapakah yang diterima oleh anggota pasukan penguat kuasa itu sehingga dikumpulkan begitu banyak dan mampu membeli sebuah rumah teres dua tingkat di Seremban dan sebuah kereta mewah secara tunai?

Terima kasih kepada SPRM kerana bertindak habis-habisan memerangi kegiatan ini tetapi adakah jenayah kolar putih itu akan terhenti dengan penangkapan pegawai-pegawai polis yang disyaki terlibat ini? 

Jika PDRM mengumumkan bakal melakukan rombakan besar-besaran bagi mengekang masalah integriti agar tidak terus menular dalam kalangan anggota dan pegawainya pada masa hadapan, adakah pegawai yang mengambil alih tugas tersebut tidak akan ‘rambang mata’ dengan wang tunai sebanyak itu pada masa depan?

Kita mahu bukan setakat tangkap mereka yang mengambil rasuah, malah pemberi rasuah juga perlu diburu dan dihadapkan ke muka pengadilan kerana selagi mereka ini tidak didakwa, kegiatan rasuah itu sukar untuk dibendung. Pegawai polis boleh silih berganti tetapi pemberi rasuah akan tetap menawarkan ganjaran supaya kesalahan mereka dilindungi.

By: Suffian Abu Bakar.