Tuesday, May 30, 2017

PENGAMAL RASUAH IBARAT ANAI-ANAI?

APABILA membicarakan tentang isu rasu­ah, kita tidak boleh lari daripada membincangkan tentang pasukan penguat kuasa yang terlibat dengan jenayah ini. Tidak kiralah di mana kita berada, di bumi mana kita berpijak, golongan penguat kuasa akan terus menjadi sasarannya.

Baru-baru ini semasa berucap di hadapan 378 peserta Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau tidak berasa malu untuk mengambil tindakan terhadap pa­sukan penguat kuasa yang terlibat dengan jenayah ra­suah.

Menurut Ahmad Zahid: “Saya tidak kira apa jawatan dan di mana kedudukan dia (pegawai terlibat rasuah). Saya tidak rasa malu untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat menjadi ‘pegar yang memakan padi’ atau ‘nila yang merosakkan susu sebelanga’.”

Ketegasan yang disuarakan oleh Ahmad Zahid perlu diberikan perhatian serius. Dalam hal ini, tumpuan bukan sahaja perlu diberikan kepada pihak polis, kastam atau imigresen, bahkan semua agensi yang mempunyai anggota penguat kuasa terma­suk di kementerian dan juga di jabatan-jabatan. Tidak ada satu pun jabatan yang harus dike­cualikan dan tidak ada kompromi dalam membanteras masalah ini.

Sememangnya isu rasuah bukanlah satu isu yang baharu. Perang menentang rasuah sudah lama dijalankan dan jenayah ini juga sudah wujud sejak bermulanya peradaban manusia.

Perlu diingatkan bahawa sejak 2014 hingga tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 2,329 orang dengan 54 peratus daripadanya iaitu 1,267 individu berumur 40 tahun ke bawah. Statistik ini menggambarkan yang golongan muda, iaitu 40 tahun ke bawah sudah pandai menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan keuntungan yang akhirnya menggadai maruah diri, agama, bangsa dan negara.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid telah memilih majlis yang sesuai untuk mengingatkan kepada para peserta program anjuran Intan itu yang semuanya dalam lingkungan usia muda dan boleh dikatakan masih hijau dalam dunia pekerjaan yang sebenar.

Kempen menentang rasuah perlu dilaksanakan dari peringkat bangku sekolah lagi. Melentur buluh biarlah daripada rebung­nya. Penulis faham usaha ini sudah pun dilaksanakan oleh SPRM dengan kerjasama beberapa pi­hak dan mendapat sambutan yang sangat positif dalam kalang­an pelajar. Namun usaha seperti ini perlu dipergiatkan dan diperluaskan lagi.

Bagi mereka yang masih mengamalkan jenayah rasuah ini perlulah segera bertaubat. Apa yang anda lakukan bukan sahaja telah menjual maruah diri tetapi juga menghakis kepercayaan masyarakat terhadap para penjawat awam. Bukan itu sahaja, imej negara juga akan rosak dan tercemar di mata dunia.

Bagi mereka yang tidak ada rasa bersalah melakukan ra­suah, cubalah cermin diri sendiri dan jawab dengan jujur. Sampai bilakah anda hendak memberi makanan yang datang daripada sumber haram kepada isteri dan anak-anak?

Penulis pernah membaca sebuah artikel yang membincangkan isu rasuah ini. Dalam artikel itu, rasuah dianggap se­perti anai-anai yang boleh meruntuhkan bangunan yang kuat dan mantap. Jika tidak ditangani de­ngan betul dan dibiarkan terus berleluasa, anai-anai ini akan memakan tiang, dinding, bumbung dan lantai ba­ngunan, sehingga akhirnya tidak ada lagi bahagian yang kukuh sebelum menyembah bumi.

Itu sebabnya ketua di setiap organisasi sama ada kementerian, jabatan atau agensi perlu membuka mata dengan lebih besar dan mengawasi kewujudan elemen dan gejala rasuah dalam kalangan kakitangan bawahan, lalu menghentikannya sebelum menjadi anai-anai yang merun­tuhkan struktur bangunan. Te­ngok-tengoklah penjawat awam yang hidup mewah, tidak sepadan dengan pendapatan diperoleh dan ambillah tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan mereka daripada terus terjerumus di kancah rasuah.

Janganlah pula ‘ketua-ketua’ ini yang turut sama bersekongkol atau lebih teruk lagi menjadi ‘raja anai-anai’. Jika ini berlaku, memanglah amat menyedihkan.

By: Shahbudin Embun.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik