Sebagai orang berpengalaman dan pernah berada dalam kerajaan, sudah tentu ini pelik buat Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebab itu walaupun barisan kepimpinan pembangkang angkat sepanduk tertera Anwar PM ke-7 di Shah Alam Ahad lalu, Dr. Mahathir dan Muhyiddin buat tak tahu sahaja. Hanya petisyen menuntut Anwar dibebaskan dari penjara ditandatangani mereka berdua tetapi hendak buka mulut akui atau iktiraf dia bakal PM tidak sama sekali.

Cuba teliti betapa tertibnya pemimpin-pemimpin parti Perikatan atau BN ketika menerima atau menduduki kerusi nombor satu kerajaan ini:

* Tunku Abdul Rahman melepasi piawaian menyandang jawatan Perdana Menteri selepas mengetuai kemenangan Parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) dalam pilihan raya umum (PRU) pertama 1955. Menduduki kerusi itu apabila menang jawatan Presiden UMNO, diikuti Malaya mencapai kemerdekaan.

Tun Abdul Razak yang juga Timbalan Perdana Menteri di era Tunku tidak akan menjadi Perdana Menteri jika Tunku tidak berundur.

Tun Dr. Ismail dipilih oleh Tun Abdul Razak menjadi timbalannya. Walaupun pernah menentang Abdul Razak dalam persaingan jawatan Timbalan Presiden, Perdana Menteri kedua itu tidak pernah berdendam. Bagaimanapun takdir menjemput Dr. Ismail kembali ke rahmatullah.

* Di luar dugaan ahli-ahli UMNO, Abdul Razak memilih Tun Hussein Onn menjadi timbalannya menggantikan Dr. Ismail. Lantaran kembalinya ke rahmatullah Abdul Razak, maka Hussein menjadi Perdana Menteri.

* Dr. Mahathir menjadi timbalan Hussein meskipun beliau dari segi ranking tiga Naib Presiden UMNO berada di kedudukan nombor tiga.

Di era Dr. Mahathir, timbalan beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim umpama ‘anak emas’ dan hanya sebelah kaki melangkah ke Seri Perdana. Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana dihambat dengan isu moral dan akhirnya ke penjara.

Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kelima atas pilihan Dr. Mahathir. Harapan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah begitu tinggi sehingga pencapaian BN dalam pilihan raya umum ke-11 pada 2004 antara paling cemerlang sejak merdeka. Namun prestasi itu tidak berjaya diulangi dalam PRU 2008 apabila BN buat pertama kali hilang majoriti dua pertiga dalam arus politik moden.

Rentetan itu, pembangkang mula mengadu-domba dengan sasarannya untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokrasi. Ketika itu Anwar yang bertindak sebagai ketua pembangkang mula bercakap tentang kerajaan dalam penantian (government-in-waiting). Dia berulang kali mengisytiharkan pakatan pembangkang waktu itu telah mempunyai cukup ahli Parlimen BN yang akan melompat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan - pada masa yang dianggap sesuai sebelum 16 September (2008) atau hari penubuhan Malaysia.

Malah, pemimpin PKR Sabah, Dr. Jeffrey Kitingan semasa itu mendedahkan bilangan ahli Parlimen yang akan melompat itu datang daripada tiga kumpulan iaitu Sabah, Semenanjung dan Sarawak. Jumlah setiap kumpulan itu lebih kurang sama.

Menurutnya, kumpulan pertama dari Sabah akan melompat pada akhir Mei atau awal Jun, kemudian diikuti oleh kumpulan dari Semenanjung dan akhirnya kumpulan ketiga dari Sarawak.

Mungkin inilah latar belakang timbulnya isu ambil alih kuasa daripada BN. Jika ini hanya bluffing strategy yang digunakan sekali-sekala oleh PKR untuk mengelirukan musuh politik, maka lumrah sebagai perang saraf yang tidak asing lagi dalam percaturan politik negara kita.

Datuk Seri Najib Tun Razak berada di kedudukan sekarang berikutan peletakan jawatan Abdullah akibat prestasi menurun BN.

Apa pun perlu diingatkan bahawa pemilihan PM dalam kalangan ketua atau Presiden UMNO sebenarnya lebih merupakan satu tradisi politik. Jawatan nombor satu ini bukanlah ketetapan peruntukan undang-undang. Ini kerana Artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyatakan bangsa, agama atau keturunan sebagai suatu ketetapan kepada pemimpin politik untuk dilantik sebagai PM atau Timbalan Perdana Menteri.

Sejak 1955 hanya bangsa Melayu dilantik sebagai PM boleh diperdebatkan. Tetapi memandangkan bangsa Melayu merangkumi lebih 61 peratus penduduk negara ini, perkara itu tidak dipersoalkan.

Namun orang Melayu sendiri janganlah ambil mudah dan menganggap jawatan PM ini hak mutlak orang Melayu selamanya. Jawapan yang tepat mengapa jawatan ini masih disandang oleh orang Melayu kerana UMNO sentiasa mendapat majoriti setiap kali dalam 13 pilihan raya umum lalu.

Ingat senangkah jadi PM? Penyandangnya ada ketikanya terpaksa ‘makan hati dan hati kering’ tahan dikritik sana sini. Formula untuk menghadapinya hanyalah daya ketahanan dan kesabaran termasuk walaupun difitnah berulang kali.

Namun bagi Pakatan Harapan dikepalai DAP, semuanya boleh dan asal jadi sehinggakan belum masuk gelanggang PRU-14 pun sudah isytihar calon dari penjara sebagai PM.

By: Zulkifli Jalil.