Walakin begitu, orang Melayu itu cantik budinya. Tanah nenek moyang sendiri dijajah kuasa imperialis, bertandang pula teman dari Tanah Besar China dan India lalu dijemput membina keluarga yang baharu dinamakan Malaysia (sebelumnya Malaya). Usaha kerjasama kaum dijadikan agenda supaya tanah ini tidak berterusan di bawah tekanan kuasa imperialis dengan perlunya penduduk tanah ini mentadbir urus negeri ini sendiri. Maka, berlakulah kerjasama elit hasil gabungan parti pelbagai kaum - UMNO, MCA dan MIC. Kerjasama ini mendapat sokongan rakyat jelata dengan diterjemahkan melalui peti-peti undi pada Pilihanraya Persekutuan 1955 dengan kemenangan besar parti Perikatan.

Tahun demi tahun berlalu, tidak ada keraguan atas kefahaman yang dibina. Agenda Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu yang jauh terkebelakang pendapatannya disebabkan ekonomi pasaran bebas. UMNO sebagai tonggak utama dalam kerajaan Barisan Nasional yang memerintah terus berusaha memperkukuhkan kedudukan orang Melayu supaya mencapai tahap tertinggi dari segi ekonomi, pendidikan dan hak sosial. Hari ini orang Melayu dalam kelasnya yang tersendiri, mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di tanah air sendiri malah membina nama di arena global. Semuanya hasil sistem kuota yang dinikmati orang Melayu dan UMNO menterjemahkan kepentingannya menerusi penghasilan dasar kerajaan.

Kuota orang Melayu merangkumi pelbagai aspek. Perkara 153 menggariskan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak. Perkara 153 juga menerangkan perizaban bagi orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak akan jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan serta pemberian permit atau lesen bagi menjalankan perniagaan. Sistem kuota ini holistik dari segi bentuk agihannya dalam lapisan masyarakat untuk berdaya saing kerana meliputi golongan pelajar untuk pendidikan dan biasiswa, golongan dewasa dalam pekerjaan melalui penjawat awam serta golongan bukan profesional dengan peluang menceburi bidang perniagaan. 

Isu kuota orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan tidak perlu menjadi perbahasan yang boleh membawa perbalahan dalam kalangan rakyat yang bekerjasama erat antara kaum setelah sekian lama. Pemimpin-pemimpin elit negara ini ketika asas pembinaan negara bangsa ini dimulakan telah berfikir tentang hikmah dan asas pertimbangan yang baik dalam penghasilan Perlembagaan Persekutuan. Pembacaan sahaja tidak mampu memberikan kefahaman tentang perkara ini kerana memerlukan refleksi pemikiran yang baik.

Justeru, melalui nukilan ini, saya ingin mengemukakan tiga hujah tentang perlunya sistem kuota orang-orang Melayu terus dipertahankan dalam perkembangan negara bangsa ini.

Pertama, kuota orang Melayu memerlukan pengertian sejarah yang mendalam untuk kita menilai asas kewujudannya. Kefahaman sejarah Kepulauan Melayu membawa kita menelusur kewujudan orang Melayu sebagai penduduk asal Semenanjung Emas ini. Ketaatan orang Melayu kepada raja Melayu diterjemahkan melalui waadat Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang mengakui ketaatan kepada raja sebagai pemerintah mereka dan seorang raja itu mestilah melindungi rakyatnya. Kepentingan orang Melayu perlu diperkukuhkan melalui bukti kedatangan British ke Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan memperkenalkan sistem Residen dan ke Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dengan memperkenalkan sistem Penasihat. Walaupun penjajah British mengaut keuntungan ekonomi hasil negeri ini dan menguasai kuasa politik, raja-raja Melayu tidak dinafikan hak mereka dalam menjaga adat resam Melayu, agama Islam dan kepentingan orang Melayu. Justeru, British menganggap mereka sebagai rakyat kepada raja-raja Melayu dan tidak memaksa imigran yang mereka bawa diterima sebagai rakyat kepada raja-raja Melayu. 

Asas kefahaman sejarah melalui kewujudan raja-raja Melayu dalam sembilan buah negeri Melayu inilah menjadi asas pertimbangan toleransi kaum dalam perjanjian kemerdekaan yang memberikan kelebihan kepada orang Melayu.

Kedua, kuota orang Melayu satu timbal balik kepada sebuah pengorbanan. Sejajar dengan hujah pertama iaitu perlunya kefahaman sejarah pembinaan negara ini untuk difahami, legasi kolonisasi British membawa kepada kepelbagaian kaum wujud di negara ini. Permuafakatan elit setiap kaum memberikan hak kerakyatan, sistem pendidikan vernakular dan kebebasan beragama kepada orang bukan Melayu. Sistem permuafakatan sebelum kemerdekaan diputuskan tidak bersifat sistem asimilasi iaitu penyatuan atau percantuman pelbagai kaum membentuk satu kelompok budaya dan identiti yang sama. Dalam konteks kemerdekaan kita, setiap kaum mempunyai hak untuk hidup dalam agama, bangsa dan budaya masing-masing. 

Perwakilan hak kaum dalam parti-parti politik boleh digambarkan melalui parti gabungan Perikatan yang dibina ketika itu mewakili kepentingan pelbagai kaum yakni UMNO mewakili kepentingan kaum Melayu, MCA mewakili kaum Cina manakala MIC mewakili kaum India. Sebagai timbal balas kepada kesediaan orang Melayu memberikan autonomi kepada setiap kaum dan sistem yang tidak bersifat asimilasi, maka kepentingan orang Melayu dalam sistem pentadbiran tradisional raja-raja Melayu dahulu perlulah dijaga. Inilah harga pengorbanan orang Melayu dengan tidak mengamalkan asimilasi kaum dalam pembentukan negara bangsa ini dan perlulah ditimbal balik dalam bentuk kelebihan penjagaan kuota orang Melayu.

Ketiga, kuota orang Melayu perlu wujud untuk survival Muslim di negara ini dengan memberikan kedudukan yang tinggi kepada Islam sebagai agama rasmi. Perkara 160 (2), Perlembagaan Malaysia mendefinisikan orang Melayu sebagai seorang yang beragama Islam, bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Perkara ini membuktikan dalam konteks Malaysia, definisi Melayu dan Islam adalah amat rapat. Tambahan pula, Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menggariskan raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri beraja dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. 

Bertepatan dengan ini, Islam mestilah diletakkan pada kedudukan yang tertinggi dalam pentadbiran negara ini dan orang Islam yang didefinisikan sebagai Melayu memainkan peranan amat penting. 

Kewujudan kuota orang Melayu mampu memastikan mereka terus kekal melindungi agama Islam dan memberi imej Islam yang baik di mata dunia. Kekuatan di sebalik hasrat mempromosikan imej yang baik tentang Islam ini bergantung kepada kuota orang Melayu yang memberi jaminan dalam kelebihan dari aspek pendidikan, ekonomi dan pentadbiran.

Berdasarkan tiga hujah di atas, kuota orang Melayu bukanlah menunjukkan mereka ini sebagai kaum lemah dan tidak mampu berdaya saing. Orang Melayu perlu dijaga hak dan kepentingan dengan didasari oleh kefahaman sejarah tanah air ini, timbal balas pengorbanan mereka dan survival agama Islam yang dikaitkan dengan definisi orang Melayu itu sendiri. Kejayaan pembangunan masyarakat yang buta sejarah tidak akan kekal lama kerana mereka gagal menjalankan refleksi atas kecemerlangan dan kelemahan masa lalu sehinggakan memudarkan identiti.

Asas pengorbanan orang Melayu pula perlulah ditimbal balik berdasarkan sejarah supaya makna kesaksamaan dapat dinilai kerana makna keadilan itu bukanlah saksama atau sama rata pembahagiannya tetapi memberikan seseorang apa yang sepatutnya hak mereka.

By:  Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).