Wednesday, May 31, 2017

SULTAN SELANGOR MURKA.



Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa teramat murka dan dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang memasuki Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang dan menggunakan ruang solat sebagai tempat berpolitik minggu lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, Sultan Selangor telah menitahkan kepada Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani supaya mengarahkan pihaknya mengambil tindakan terhadap nazir dan jawatankuasa masjid tersebut.

“Kita telah memanggil nazir berkenaan Jumaat lalu untuk menjelaskan kejadian itu dan menyembahkan laporan kepada baginda semalam.

“Bagaimanapun, setelah membaca laporan itu, baginda menzahirkan rasa teramat murka kerana pada Tuanku, Sivarasa tidak menghormati titah bahawa ahli politik tidak dibenarkan menyampaikan atau mengambil kesempatan dalam ruangan solat.

“Oleh itu, kita akan memanggil sekali lagi nazir berkenaan selewat-lewatnya minggu ini untuk diberikan surat tunjuk sebab mengapa membiarkan Sivarasa berucap dalam institusi masjid.

“Mereka harus ingat bahawa nazir yang tidak menghormati titah Tuanku boleh diambil tindakan sama ada diberi amaran, digantung atau dipecat mengikut peraturan kawal selia masjid Selangor,” katanya kepada pemberita dalam majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Kampung Sementa, Kapar, di sini malam ini.

Semalam, Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohd. Adzib Mohd. Isa ketika berucap dalam majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menegaskan pihaknya memandang serius isu penggunaan masjid sebagai pentas politik.

Beliau membacakan ucapan itu di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, Mohamad Adzib turut merujuk kepada tindakan Sivarasa yang memasuki Masjid An Nur untuk menyampaikan sumbangan walaupun larangan penggunaan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik telah dikuatkuasakan.

Beliau juga meminta JAIS mengambil langkah sewajarnya mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Haris menjelaskan, pihak penganjur mendakwa tidak mengetahui mengenai kehadiran Sivarasa dalam program tersebut.

“Nazir sebenarnya berhak menghalang Sivarasa untuk berucap sebaliknya memberi peluang kepada beliau berucap.

“Kita telah menghantar surat kepada semua ahli politik supaya menghormati titah Tuanku supaya tidak dibenarkan berpolitik dalam masjid,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik