Mengimbau kembali waktu dahulu hanya mempunyai tiga buah fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam (FPI), Fakulti Sastera (kini Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) dan Fakulti Sains (Fakulti Sains dan Teknologi) kini telah berkembang dengan 13 buah fakulti.

Fakulti-fakulti berkenaan ialah Fakulti Perubatan (1972), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (1974) telah digabungkan dengan Fakulti Pengurusan Perniagaan - 2004), Fakulti Pendidikan (1982), Fakulti Undang-undang (1984), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (1984), Fakulti Sains Kesihatan (1992), Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (1994), Fakulti Pergigian (1996), Fakulti Farmasi (2008) dan Graduate School of Business (2008).

Setelah 47 tahun UKM ditubuhkan, universiti ini telah mengeluarkan 182,375 graduan prasiswazah dan siswazah yang berkhidmat di seluruh negara sama ada di sektor awam, swasta mahupun berkecimpung dalam dunia perniagaan.

UKM yang memulakan operasinya di Bangi sebagai Kampus Induk pada 1977 di atas tapak seluas 1,096.29 hektar menempatkan sembilan buah fakulti.

Tiga lagi fakulti di kampus cawangan di Jalan Raja Muda Abdul Aziz iaitu Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi seluas 20 hektar manakala Fakulti Perubatan terletak di Cheras, Kuala Lumpur dengan keluasan 22.3 hektar yang turut menempatkan Hospital Canselor Tunku Muhriz.

UKM mendapat status universiti penyelidikan pada 2006 berasaskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan lebih empat dekad.

Selain itu, pernah mendapat Anugerah Kualiti Perdana Menteri (2006), memperoleh status Swa-Akreditasi pada 2010 dan status Universiti Autonomi pada Januari 2012.

Kini UKM memberi tumpuan kepada enam bidang keberhasilan utama yang dijangka terus melonjakkannya ke arah lebih tinggi.

Bidang-bidang tersebut adalah Graduan Beraspirasi Kebangsaan, Kompeten, Berdaya Saing dan Inovatif; Penyelidikan dan Inovatif Berimpak Tinggi; Perkongsian Pintar dan Keterlibatan Strategik; Sumber Manusia dan Institusi Cemerlang; Penjanaan Kekayaan Secara Optimum dan Strategik; serta Prasarana dan Persekitaran Ilmu yang Kondusif.

UKM terus memastikan roh perjuangan para pelopornya terus subur dan segar kesedaran terhadap sejarah penubuhan UKM dibugar secara berterusan.

Justeru menginsafi bahawa UKM adalah institusi harapan masyarakat, seluruh warga Universiti sama ada pelajarnya mahupun warga kerja perlu menyelami dan memahami keperluan rakyat menerusi persoalan yang berlegar dalam kehidupan bernegara selaras dengan peranan UKM sebagai Pendaulat Amanah Negara.

UKM yang diterajui oleh Naib Canselornya ke-10 iaitu Profesor Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali sentiasa bersiap sedia dalam memaju universiti ini untuk terus maju di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Memetik ucapan beliau di Majlis Konvokesyen UKM ke-44 pada tahun lalu, Noor Azlan berkata, sebagai universiti yang belum mencecah usia 50 tahun, pengiktirafan UKM di tangga 25 dalam QS World University (top 50 under 50) amat membanggakan. UKM turut tersenarai antara tiga universiti teratas di Malaysia untuk 22 bidang dan 200 teratas di dunia untuk 14 bidang keilmuan.

UKM berbangga kerana sebagai sebuah universiti kebangsaan, universiti ini mendidik rakyat Malaysia sehingga ramai yang berjaya memimpin pelbagai sektor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam majlis konvokesyen berkata, tanggungjawab UKM untuk terus memperkaya pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu bagi membuktikan keupayaannya sebagai bahasa ilmu untuk meneroka pelbagai ilmu yang dirakam dalam bahasa tersebut.

“Penyerlahan UKM di pelbagai arena harus dipergiatkan lagi. UKM perlu terlibat bersuara jelas dan berani terhadap persoalan dan pergolakan dunia kerana universiti mempunyai pelbagai kepakaran yang dihormati.

“Penglibatan tersebut tidak harus mengalpakan tumpuan sama yang perlu difokus kepada persoalan tempatan yang mungkin menghambat kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” ujar baginda.

Canselor pertama UKM, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam Majlis Konvokesyen pertama UKM pada 23 Jun 1973 berkata, Universiti Kebangsaan adalah puncak dari usaha ke arah memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat yang ingin melihat bahawa bahasa ibunda mempunyai kedaulatan dan kedudukan yang sewajarnya dalam usaha memenuhi keperibadian nasional.

Tegas beliau, UKM perlu menjadi pusat tapak semaian bagi melahirkan tenaga intelek yang mempunyai pandangan jauh untuk menggerakkan dan menyalurkan motivasi rakyat menuju hari depan yang lebih cerah, sambil menjamin kehidupan demokrasi serta hak-hak rakyat dalam negara yang progresif dan maju.

UKM perlu menyumbang tenaga dan fikiran bagi mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang dinamis dan progresif yang sanggup menerima perubahan yang sesuai dengan aliran zaman, katanya.

Hari ini sungguh bersejarah untuk warga UKM kerana 47 tahun telah dilalui dan banyak kejayaan diperoleh namun bersedialah menghadapi cabaran akan datang. Cabaran yang berliku perlu ditempuhi warga itu yang akan mencorakkan kecemerlangan satu-satunya universiti kebangsaan di negara ini.

By: Radzuan Ghazali.