Kejayaan UMNO sebagai sebuah parti yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu dengan para pemimpinnya berjaya mengemudi negara keluar dari kepompong kemiskinan dan kemudiannya menjadikan Malaysia sebagai sebuah model negara membangun di persada antarabangsa tidak dapat dinafikan sama sekali. Antara rahsia kejayaan utama UMNO adalah kebijaksanaan pemimpinnya yang mampu menarik sokongan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia sehingga mewujudkan sebuah jambatan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan bangsa. 

Hal ini penting kerana walaupun secara dasarnya UMNO ditubuhkan bertujuan menjadi sebuah parti nasionalisme Melayu yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara di samping memperjuangkan hak-hak istimewa orang Melayu serta bumiputera lain namun hakikatnya UMNO berjaya membuktikan mampu menjadi payung besar yang menaungi kebajikan seluruh rakyatnya tanpa mengira agama dan bangsa. Buktinya hasil perjuangan dan kejayaan yang dicapai sentiasa dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

UMNO sebagai sebuah parti politik juga tidak terlepas daripada pelbagai peristiwa hitam dan pergolakan dalaman yang menggoncang parti ini. Misalnya pengasas UMNO, Dato Onn sendiri telah meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), UMNO juga diharamkan oleh mahkamah pada 4 Februari 1988 selepas berlakunya krisis kepimpinan UMNO pada 1987 yang menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah telah bertanding jawatan Presiden UMNO namun kalah dengan perbezaan undi yang kecil. 

Ini menyebabkan Presiden ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad mendaftar satu pertubuhan baharu dengan nama UMNO Baru pada 13 Februari 1988 dan pada masa sama Tengku Razaleigh pula menubuhkan parti serpihan UMNO, Semangat 46 selain berlakunya Krisis Perlembagaan Malaysia pada 1988. Walaupun insiden-insiden ini sedikit sebanyak dikatakan memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu namun sebagai sebuah parti politik yang lama dan matang, UMNO dan pemimpinnya terus bangkit demi kejayaan orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya. 

Jumlah keahlian yang melebih 3.5 juta membuktikan bahawa pada hari ini majoriti orang Melayu masih setia dan berpegang teguh kepada UMNO dan juga perjuangan yang dipeloporinya. Ini juga menunjukkan UMNO terus kekal relevan selamanya dari generasi terdahulu hingga ke generasi sekarang.

Sejarah perjuangan UMNO cukup panjang dan amat signifikan sejak sebelum kemerdekaan lagi. Dalam hal ini setiap Presiden yang memimpin UMNO berjaya memberi sumbangan yang cukup bermakna dan signifikan kepada rakyat dan negara baik dari segi politik, ekonomi mahupun sosial. UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden yang ketujuh misalnya meneruskan agenda perjuangan institusi Presiden dan pemimpin UMNO yang lepas dalam memartabatkan kedudukan orang Melayu dan juga bangsa Malaysia di persada antarabangsa. 

Sejak mengambil alih jawatan Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri pada 2009, Najib terus mengorak langkah ke hadapan dengan pelbagai transformasi dengan caranya sendiri. Beliau tampil dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang bertujuan memupuk perpaduan rakyat di antara kaum serta merasai denyut nadi setiap rakyat negara ini. Dalam masa singkat Najib juga sudah mula melakar pelbagai kejayaan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Dan kini Najib tampil dengan pelan pembangunan jangka panjang untuk bangsa Malaysia yang dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Walaupun pada hari ini masih terdapat pihak sangsi dan terus mempersoalkan sumbangan UMNO dan pemimpinnya namun hakikatnya sejarah telah menyimpul rapi dan memateri dengan kemas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan UMNO dan pemimpinnya dalam merintis kejayaan dan kecemerlangan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Dan sebagai kesinambungan dalam meneruskan legasi yang ada UMNO perlu terus kekal relevan sepanjang zaman. Untuk itu usaha untuk meremajakan UMNO perlu diperkasakan lagi, berilah sebanyak mungkin peluang kepada golongan muda untuk mendekati UMNO agar mereka dapat menjiwai perjuangan UMNO sebenarnya. Misalnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti UMNO wajar menampilkan lebih ramai calon muda yang berwibawa supaya boleh menyambung legasi kegemilangan parti itu.

Para pemimpin UMNO di setiap peringkat baik cawangan, bahagian mahupun di peringkat negeri dan pusat perlu berlapang dada dan berjiwa besar menerima segala pandangan dan maklum balas yang dikemukakan oleh rakyat terutamanya golongan muda. Perlu diingatkan bahawa zaman kerajaan tahu semua perkara sudah berlalu. Selamat Ulang Tahun UMNO Ke-71.

Dari: UM.