Mereka yang pernah memimpin UMNO pasti arif betapa beratnya menerajui parti ini. Bayangkan UMNO ada 191 bahagian. Jika purata setiap bahagian ada 100 cawangan, bermakna Presiden UMNO kena menerajui 19,100 cawangan di seluruh negara kecuali di Sarawak.

Jika diminta memberikan pandangan mengenai UMNO, untuk kekal bernyawa hingga 2088, pertama yang akan saya lakukan ialah meringankan struktur organisasi UMNO itu dahulu.

Seperti parti Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat (AS), struktur kepimpinan parti-parti itu amat ringan, maka lebih mudah kepimpinan membuat perubahan dasar parti. Kos mengurus parti pun jauh lebih rendah. Apabila kos mengurus jauh lebih rendah, lebih banyaklah implikasi positif dapat diwujudkan oleh UMNO. Akan tetapi, itu hanyalah pemikiran saya.

Selain cabaran struktur organisasi, UMNO juga sering berdepan gelora dalam kepimpinannya, sehinggakan penubuhannya pernah diharamkan oleh mahkamah.

Jika insiden itu hendak ditakrifkan dari segi teknikal, UMNO yang asal sudah berkubur, maka tiadalah sambutan 71 tahun kewujudannya pada 11 Mei ini.

Bagaimanapun, kita ambil semangat penubuhannya oleh datuk nenek kita yang dalam serba kekurangan, komited untuk meninggalkan satu khazanah warisan untuk kita semua. Namun cabaran semasa kepimpinan UMNO tidak sama dengan yang dilalui datuk nenek kita dulu.

Dengan begitu banyak perubahan dan kemajuan dicapai dan kita semua semakin terdedah kepada teknologi terutamanya media sosial serta pengaruh globalisasi, termasuk penerapan budaya barat dalam cara berpolitik, kepimpinan UMNO kena menerima hakikat bahawa orang Melayu semakin kritikal terhadap UMNO.

Sama ada kritikan mereka itu betul atau bersandarkan persepsi semata-mata, bukan soalnya. Jika dulu pemimpin yang punyai bird’s eyes view untuk mengetahui apa yang berlaku di bawah sana, kini sudah terbalik. Rakyat jelata yang kini punyai eagle’s eyes view nampak begitu jelas apa yang kepimpinan di atas lakukan.

Kepimpinan UMNO juga tidak boleh mempersalahkan sesiapa kerana berfikiran kritikal. Hari ini selera orang Melayu terhadap UMNO sudah berubah. Pastinya masih ramai Melayu UMNO yang tebal pemikiran fanatiknya terhadap UMNO, tetapi agaknya tidaklah seramai dulu.

UMNO sebagai institusi yang bernyawa wajib menerima hakikat ini. Ia perlu menyesuaikan diri dengan segala gelora, perubahan budaya dan semua itu untuk terus kekal relevan.

Cabaran kepada kepimpinan UMNO cukup berat dan banyak. Sebagai parti berasaskan kaum milik orang Melayu, UMNO kena terus memperjuangkan kepentingan Melayu. Itu wajib. Sebagai parti orang Islam, ia wajib terus memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Itu juga wajib.

Akan tetapi, sejak penubuhan Perikatan, bersama dua lagi parti berasaskan kaum, MCA dan MIC, UMNO secara tradisinya menerajui Perikatan (kini Barisan Nasional, BN). Pemilihan UMNO menerajui Perikatan/BN bukan melalui proses pengundian, tetapi secara konsensus, suatu tradisi yang tidak pernah dipertikaikan.

Namun itu juga ada akibatnya kepada UMNO dan orang Melayu. Ini membawa makna bahawa UMNO juga bertanggungjawab menjaga kebajikan kaum-kaum lain yang diwakili oleh 17 lagi parti komponen BN.

Realitinya ialah UMNO sebagai parti orang Melayu sudah tidak wujud. Hakikatnya, apabila UMNO menerima tanggungjawab menerajui BN, ia adalah parti untuk semua.

Apapun cabarannya, UMNO wajib memikirkan hala tujunya untuk 71 tahun lagi, bagi menyamai rekod kewujudannya selama 71 tahun ini. Bagi saya, UMNO wajar memberi fokus kepada agenda kemakmuran diterajui bumiputera. Pada masa sama, UMNO juga bertanggungjawab untuk terus menegakkan syiar Islam.

Ramai yang berpendapat dalam pergolakan global, Islam akan terus menyinar dengan imejnya yang sebenar, bukan imej yang dimomokkan oleh beberapa kuasa seperti zionis. Untuk itu, Malaysia bersama Turki dan Indonesia yang berada dalam kelompok 32 negara berpertumbuhan tinggi menjelang 2050, perlu menggalas amanah menegakkan syiar Islam di pentas dunia.

Sebelum itu, UMNO wajib terus memperkukuhkan peranan agama Islam sebagai Agama Persekutuan, agar perbezaan agama dan fahaman tidak menjadi tarikan polarisasi. Penganut Islam wajib mendahului penganut agama dan fahaman lain dalam meredakan kecenderungan polarisasi ini.

Saya berpendapat UMNO wajib memperkukuhkan kesemua lapan perspektif yang menghasilkan kemakmuran yang sebenar iaitu tadbir urus, ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan, kejiranan, pembudayaan dan penjagaan alam sekitar.

Agenda kemakmuran ini hendaklah disuburkan dengan fahaman atau anutan agama masing-masing yang saling menghormati antara satu sama lain. Bagi UMNO, penyuburan agenda kemakmuran itu hendaklah berlandaskan Islam, konsisten dengan pegangan kita semua sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika kedua-dua agenda ini dapat UMNO genggam erat, saya yakin UMNO akan kekal utuh 71 tahun lagi.

Insya-Allah, menjelang tahun 2088, cucu-cicit kita akan berhimpun beramai-ramai di seluruh negara, menganjurkan majlis doa selamat dan kesyukuran sambil mengucapkan terima kasih kepada kita semua yang komited terus menyuburkan warisan peninggalan datuk nenek kita.

Selamat menyambut ulang tahun penubuhan UMNO ke-71.

By: DATUK DR. HASAN MAD