NTP dilaporkan berjaya mencetuskan momentum yang akhirnya meletakkan Malaysia pada landasan ekonomi sihat serta betul. Langkah seperti pemansuhan subsidi minyak, pengurangan kebergantungan kepada hasil minyak, rasionalisasi subsidi dan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah memberi banyak pulangan kepada rakyat dan negara.

Langkah berani yang diambil kerajaan, yang ada kalanya terpaksa membuat keputusan sukar, untuk mencapai sasaran Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi ternyata membuahkan hasil. Lalu, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat bersyukur kerana Malaysia terus dilimpahi rahmat kestabilan dan trajektori pertumbuhan ekonomi yang kekal positif.

Hasil langkah berani lapan tahun tanpa menghiraukan kecaman, fitnah serta dakwaan negatif yang tidak pernah surut oleh pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang, kerajaan mampu membuktikan NTP adalah suatu pendekatan yang rapi dan pragmatik. Sesungguhnya ekonomi Malaysia di landasan yang betul.

Antara pencapaian utama:

* Purata pertumbuhan KDNK 5.1 peratus sejak 2010, dua kali ganda peningkatan ekonomi dunia.

PNK per kapita naik kepada AS$10,010, hanya kurang 18 peratus mencapai status negara maju.

Kadar kemiskinan turun kepada 0.6 peratus daripada 3.8 peratus.

2.26 juta pekerjaan baharu diwujudkan, 69 peratus daripada sasaran 3.3 juta menjelang 2020.

Kebergantungan kepada hasil minyak turun kepada 14.7 peratus daripada 41 peratus.

Defisit fiskal kerajaan turun lebih sekali ganda kepada 3.1 peratus daripada 6.7 peratus.

Seperti kata Perdana Menteri, segala apa yang dilaporkan bukan retorik, rekaan atau ‘syok sendiri’. Sebaliknya kesemua fakta dan maklumat ini telah diaudit, diabsah oleh pihak antarabangsa yang berkecuali, bertauliah lagi berwibawa. Tiada apa yang perlu diragui, kecuali kalangan mereka terperangkap dalam agenda memburuk-burukkan kerajaan.

Pembangunan negara sentiasa mengambil kira pendekatan yang inklusif. Tiada mana-mana pihak atau segmen masyarakat tercicir dari menikmati kemajuan terlaksana. Misalnya, 6.2 juta rakyat Malaysia yang tinggal di luar bandar dilaporkan menerima pelbagai nikmat kemudahan hasil NTP. Antaranya pembinaan rangkaian jalan-jalan baharu dan menaik taraf jalan-jalan yang sedia ada, pembekalan air bersih, elektrik serta pembinaan rumah-rumah kediaman golongan miskin.

Pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pula adalah antara jenama 1Malaysia kerajaan bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat berpendapatan bawah RM4,000 sebulan. Jenama sama juga terpakai dengan berkesan pada Bantuan Persekolahan 1Malaysia (BKP1M), Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KK1M).

Itu pun belum termasuk usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam bandar yang lebih mudah dan selesa untuk rakyat. Antara perkhidmatan moden yang menjadi tumpuan kerajaan ialah Sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT). Selain memperbaiki sistem perhubungan dan merangsang pertumbuhan ekonomi, projek MRT dijangka membawa pelbagai manfaat lain seperti peningkatan tahap produktiviti serta mutu kehidupan bertambah baik.

Paparan ini membuktikan wujudnya aspek perancangan, pencapaian serta jaminan masa depan rakyat dan negara berjalan secara proses yang berterusan. Rakyat sepatutnya menerima kenyataan ini dengan yakin dan selesa. Agar tidak dipengaruhi oleh dakyah kosong dan reka cerita yang semata-mata untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang ada.

Perancangan dan pelaksanaan pembangunan hanya mampu dilakukan oleh sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil. Mendukung di belakangnya adalah sebuah gagasan kuasa politik yang berpadu teguh. Bukan sebarang pakatan parti-parti yang tergabung secara segera atau instant.

Malaysia negara gagal! Malaysia akan bankrap! Itu antara ‘putaran piring hitam lama’ yang mengulang siar lagu-lagu klise melambangkan ketandusan modal pihak-pihak tertentu meraih kepentingan politik, terutama menjelang musim pilihan raya. Kisah mengenai dakwaan ‘Malaysia akan bankrap’ telah menjadi bualan sejak berdekad lalu. Apa yang pasti, Malaysia tetap stabil dan taraf ekonominya kekal kukuh dan mampan.

Lalu, persoalan besar sekarang, apakah rakyat memilih untuk menerima kenyataan atau terus terbuai dengan ‘mimpi yang tak pasti?’. Tidak dinafikan, adakalanya rangkuman ‘cerita khayalan’ lebih lunak didengar dan senang pula menghinggapi fikiran jika tidak ditapis secara logik dan rasional.

Apa yang berlaku di negara-negara ‘bergolak’ antaranya berpunca daripada buaian mimpi indah yang dibawa oleh pihak-pihak tertentu bagi menumbangkan kerajaan yang ada. Akhirnya, mimpi indah yang diidamkan bertukar menjadi mimpi ngeri yang tiada penghujung.

Menyayangi Malaysia bermakna berusaha mengekalkan kestabilan dan mensyukuri nikmat kemajuan yang dicapai. Tidak salah memberi pandangan atau teguran. Lagipun, sikap kerajaan sentiasa terbuka. Catatan ini bukan sekadar gimik kerana taksub kepada mana-mana pihak. Justeru apa salahnya jika diterima segala kenyataan, dan berhentilah dibuai mimpi yang tidak pasti.

Negaraku Malaysia, semoga kekal damai, sejahtera!

By: Sayuti Mukhtar.