Saturday, June 3, 2017

JADILAH PENGGUNA BIJAK.

BUKU ini adalah koleksi 32 artikel yang pernah diterbitkan dalam blog Root of Science (RoS).

image.jpg

Blog itu diwujudkan oleh sekumpulan anak muda Malaysia bagi mendidik masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan mengenai khasiat makanan dan keberkesanan kaedah rawatan tertentu.

Belia berkenaan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan, bidang kepakaran dan pekerjaan telah menyumbang artikel yang mengandungi hujah-hujah sains bagi menolak dakwaan itu.

Artikel terbabit boleh dibaca secara dalam talian melalui halaman http://rootofscience.com/blog/.

Usaha anak muda berkenaan cukup baik kerana pada masa sekarang media sosial dilambakkan dengan pelbagai dakwaan yang belum disahkan secara saintifik.

Sesuatu dakwaan itu hanya boleh dipercayai setelah melalui dua jenis kajian sains iaitu pertama, in vitro yang melibatkan uji kaji di dalam makmal menggunakan kulat atau sel.

Kedua, kajian in vivo membabitkan uji kaji secara langsung terhadap haiwan dan manusia.

Sekiranya proses berkenaan tidak diikuti, orang ramai akan terperangkap dengan dakwaan bersifat pseudosains (sains palsu).

Selain dakwaan makanan berkhasiat dan kaedah rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit kronik, muncul pula ‘pakar-pakar’ yang memberikan pelbagai petua mengenai cara-cara mendidik anak.

Petua berkenaan sering dimuat naik dalam blog dan Facebook sedangkan individu berkenaan tidak mempunyai kelulusan peringkat diploma atau ijazah dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Kaedah itu mungkin berkesan untuk anak individu berkenaan tetapi tidak semestinya boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa lain berikutan tingkah laku kanak-kanak yang berbeza antara satu sama lain.

Antara yang disentuh dalam buku ini adalah mengenai terapi ozon yang telah diharamkan Kementerian Kesihatan daripada ditawarkan di klinik dan salun kecantikan bermula 3 Mei lalu.

Walaupun ada pihak mempertikaikan pengharaman berkenaan, penulis menjelaskan kebanyakan dakwaan keberkesanan terapi ozon adalah berasaskan eksperimen yang dibuat di dalam makmal.

Penulis mengakui ada beberapa kajian keberkesanan terapi ozon yang dilakukan terhadap manusia, bagaimanapun prosedur kajian saintifik yang telah ditetapkan tidak dipatuhi sehingga menyebabkan keputusan diperoleh cukup meragukan.

Menurut penulis, banyak dakwaan telah dibuat oleh pihak yang menawarkan terapi ozon termasuk kaedah itu dikatakan boleh membuang kolesterol dalam darah.

Berdasarkan kajian saintifik, dakwaan itu tidak benar kerana sisa berwarna putih yang terhasil setelah pesakit menjalani terapi berkenaan hanyalah darah beku.

Penulis turut menjelaskan, darah pesakit yang bertukar daripada warna gelap kepada cerah selepas menjalani terapi itu bukan bererti toksin telah berjaya dibuang daripada tubuh sebaliknya kerana oksigen telah dicampurkan ke dalam darah ketika proses berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat satu artikel yang menyentuh dakwaan bahan aktif acetogenins dalam durian belanda boleh menyembuhkan penyakit kanser yang telah disebarkan secara meluas dalam media sosial.

Dakwaan itu adalah berdasarkan uji kaji yang hanya dibuat di dalam makmal dan bukan terhadap manusia.

Orang ramai perlu berhati-hati dengan dakwaan sedemikian kerana majoriti ekstrak daripada buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan seperti acetogenins menjadi kurang stabil dan tidak berkesan apabila dimasukkan ke dalam badan.

Sementara itu, ibu bapa dinasihatkan tidak terpengaruh dengan promosi ubat-ubatan kononnya boleh mengubati kanak-kanak menghidap selesema dengan pantas.

Sebenarnya kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah tidak perlu makan ubat selesema kerana akan menyebabkan mereka mengantuk. Apabila anak mengantuk dan tidur, ibu bapa tidak dapat mengesan sama ada si kecil berada dalam keadaan normal atau tidak.

Perlu diingatkan bahawa penyebab selesema pada kanak-kanak majoritinya adalah disebabkan oleh jangkitan virus. Oleh itu, sakit berkenaan akan baik dengan sendirinya tanpa perlu memakan apa-apa ubat.

Jika anak aktif bermain, menyusu ataupun makan seperti biasa dan tidur tidak pun terganggu, maka tidak perlu ibu bapa risaukan. Biarkan sahaja mereka bermain.

Bagaimanapun, kanak-kanak perlu dibawa berjumpa doktor jika susah menyedut udara atau bernafas dengan laju. Antara kaedah merawat selesema tanpa memakan ubat yang boleh menyebabkan mengantuk adalah dengan menggunakan larutan air garam untuk dititiskan ke dalam hidung kanak-kanak.

Langkah itu akan mencairkan hingus dan membuatkan saluran pernafasan menjadi normal semula.

Kaedah lain adalah dengan menggunakan peralatan khas bagi menyedut hingus dari dalam hidung.

By: Nizam Yatim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik