Sebelum itu, cara sebutan betul Geely ialah 'Jili’, bukan 'geli’ atau 'jeli’. Dalam bahasa Mandarin, 'jili’ bermaksud 'beruntung atau bernasib baik’.

Apa ertinya hendak dianalisis lagi bila sentimen politik menguasai penghujahan? Orang kemaruk politik tidak pedulikan fakta, malah tidak percayakan bukti yang dikemukakan. Tetapi inilah keunikan Proton. Ia adalah suatu perniagaan, dan pada masa sama, sarat dengan unsur politik.

Rasa berat ini sebenarnya masih membelenggu saya sehingga sekarang. Skeptikal yang menebal di dalam hati belum dapat dihapuskan. Saya telah mengikuti, memantau dan meneliti penghujahan kedua-dua pihak yang menyokong penjualan, dan yang menentangnya. Mahukah mereka menerima fakta?

Faktanya ialah DRB-Hicom telah melabur RM3 bilion sejak mengambil alih 100 peratus kepentingan di dalam Proton, dan berbelanja RM1.96 bilion lagi di dalam Lotus, juga 100 peratus kepentingan. Berdasarkan laporan kewangan terkini, Proton mencatat kerugian sebanyak RM987 juta dengan aset bersih hanya RM30 juta. Lotus pula rugi RM68 juta dengan aset bersih RM82 juta bagi tahun kewangan 2017.

Apakah urus niaga dengan 
 Geely ini bagus?

Berdasarkan analisis ahli-ahli ekonomi secara khusus kepada transaksi ini, rata-rata menyifatkannya positif.

Urus niaga satu: 

Geely akan membeli 49.9 peratus ekuiti Proton pada harga RM170 juta tunai bersama pembayaran berbentuk geran hak untuk mengeluar dan mengedar model Geely Boyue untuk pasaran Asia Tenggara.

Urus niaga kedua: 

Proton menjual 100 peratus kepentingan Lotus kepada Geely bernilai RM284 juta (51 peratus) dan Etika Automotive Sdn. Bhd. yang dikuasai Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary sebanyak RM273 juta (49 peratus). Keseluruhannya Proton akan meraih wang tunai sebanyak RM557 juta daripada penjualan Lotus.

Proton akan melupuskan perniagaan bukan berteras automotif seperti bahagian hartanah terdiri daripada Proton City Development, Proton Hartanah, Proton Properties, bahagian cetak dan komponen tertentu, dan hanya akan merangkumi Proton Shah Alam, Proton Tanjung Malim, syarikat jualan dan selepas jualan Proton serta pejabat luar negaranya di Indonesia, UK, Thailand, Australia dan China.

Selain itu, syarat utama lain urus niaga ini ialah :

1 Pemindahan kemudahan Shah Alam ke Tanjung Malim dalam tempoh enam tahun, dan kosnya ditanggung oleh Proton.

2 DRB-Hicom menanggung kos pemulihan tanah Shah Alam.

3 Geely memberi hak kepada Proton untuk menukar lencana kenderaannya, mengeluar, menjual, memasar dan mengedarkan model Geely di Malaysia selama lima tahun, dengan matlamat meluaskannya ke negara Asia Tenggara lain. DRB mengekalkan kawalan ke atas pengurusan Proton tetapi pengeluaran dijangka diurus bersama dengan Geely.

Fasa pemulihan kewangan 
 yang kritikal : 

Proton akan menerima suntikan tunai RM1.8 bilion iaitu 1) geran R&D RM1.1 bilion dari kerajaan, 2) penjualan Lotus beri tunai RM557 juta.

Satu daripada model kenderaan Geely yang bakal termasuk di dalam program ini ialah Boyue iaitu SUV terlaris Geely di China sejak dilancar pada Mac 2016. SUV adalah segmen di mana Proton belum ada wakil. Satu risiko daripada semua ini ialah soal penerimaan pasaran terhadap model Geely yang tidak pernah dikenali di rantau ini, sebelum menjalin pakatan dengan Proton.

Apakah yang boleh dijangka 
 dicapai dalam lima tahun ini? 

Sebagai sebahagian daripada urus niaga, DRB-Hicom dan Geely bersetuju dengan Pelan Perniagaan 10 tahun. Ia belum diumum secara khusus.

Namun para penganalisis menjangkakan pelan itu bakal menyertakan aspek usaha sama pembangunan model khusus bagi pasaran Asia Tenggara, perluasan pasaran bagi model dibangun bersama di pasaran sedia ada Geely; kemungkinan perkongsian kilang untuk Proton di China dan kemungkinan kilang Volvo di Shah Alam bertukar tempat dengan kilang Proton sedia ada.

Apakah telah Geely lakukan 
terhadap Volvo? 

Geely meletakkan Volvo sebagai jenama premium disasarkan di pasaran maju, dengan Proton dijangka sebagai model permulaan bagi pasaran baharu muncul.

Begitu banyak dan tinggi harapan kepada Geely untuk mengangkat kembali Proton. Jika kesemua perancangan itu berlangsung seperti yang dirancang, pemulihan Proton hanya dimahukan pasti tercapai.

Daripada semua ini, para penganalisis ekonomi menyifatkan kalangan vendor akan turut menikmati manfaat urus niaga Geely-Proton. Kebanyakan vendor utama Proton merupakan pembekal Tahap 1, yang seandainya berlaku rasionalisasi sekali pun, tidak akan terjejas.

Inilah rumusan yang dicatat oleh penganalisis ekonomi bertauliah, yang mengkaji berdasarkan fakta dan objektif perniagaan, bukan sentimen semata-mata ditiup unsur politik.

Memang Proton adalah kereta nasional Malaysia. Dilahirkan untuk menjerumuskan anak tempatan ke dalam industri automotif agar kereta yang dibina itu dilakukan oleh orang Malaysia untuk pengguna rakyat Malaysia. Mengapa Proton tidak dapat mencapai kemajuan seperti industri kereta Korea, kita serahkan kepada ahli akademik untuk menyelidiknya.

Cuma persoalan yang saya hendak anda fikirkan ialah malang nasib Proton, tidak sama untung seperti Perodua yang menikmati status kereta nasional yang tidak perlu merintih-rintih merayu dana R&D kerana ia hanya menukar lencana jenama Daihatsu.

Kenapa diadakan status kereta nasional kedua ketika wujudnya Proton pun merupakan misteri komedi dalam sejarah automotif Malaysia. Perodua tidak bersalah. Cuma kita hendak tanya pihak yang meluluskan dasar tersebut yang ternyata tiada wawasan memajukan industri automotif negara.

Daru: UM.