Dalam titahnya sempena penyerahan zakat perniagaan Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Temasya, Glenmarie, di sini hari ini, baginda dalam nada murka menyifatkan Sivarasa sebagai sudah melampaui batas.

Pada masa yang sama, Sultan Sharafuddin turut menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar mengambil tindakan ke atas nazir dan jawatankuasa Masjid An Nur selepas Hari Raya Aidilfitri sebaik sahaja siasatan ke atas kes tersebut dibuat dengan selengkapnya.

Berikut adalah sedutan sebahagian daripada titah Sultan Selangor:

Beta sangat dukacita dengan peristiwa yang berlaku baru-baru ini di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, di mana Ahli Parlimen Kawasan Subang, Sivarasa telah berucap di dalam Dewan Solat masjid tersebut.

Sedangkan beta telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik sama ada oleh orang Islam sendiri atau orang yang bukan beragama Islam.

Beta tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap di dalam masjid kerana beta tidak mahu ia menjadi punca kepada perpecahan umat Islam.

Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan - Ahli Parlimen Subang, Sivarasa, 'you have cross the line!'. 

Jikalau Ahli Parlimen Subang itu hendak berucap lapan jam atau 10 jam di luar kawasan masjid, beta tidak menghalangnya, itu semua terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar ataupun tidak, tetapi jangan sama sekali berucap di dalam masjid dan di dalam kawasan masjid.

Nazir masjid, imam dan ahli jawatankuasa masjid sepatutnya lebih peka dan mengambil berat terhadap titah beta dan tidak membenarkan sama sekali masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik.

Beta mahu masjid dan surau digunakan untuk tempat beribadat dan tempat untuk kita menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat untuk mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam, supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak.

Beta memberi kuasa kepada nazir, imam dan ahli-ahli jawatankuasa masjid untuk menjaga rumah Allah dan kemuliaan masjid. Maka gunakanlah kuasa ini dengan sebaik-baiknya. 

Jikalau ada di antara nazir, imam atau ahli jawatankuasa masjid yang hendak aktif berpolitik di masjid, beta titahkan supaya berhenti daripada menjadi nazir, imam atau ahli jawatankuasa masjid dan serahkan tanggungjawab tersebut kepada orang lain.

Beta tidak teragak-agak untuk menitahkan kepada JAIS supaya menamatkan perkhidmatan nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid yang melanggar dan tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Di dalam kes masjid An-Nur Kampung Melayu Subang ini, beta mahu supaya JAIS menyiasat perkara ini dengan terperinci dan sekiranya didapati ada bukti yang ahli jawatankuasa masjid ini melanggar peraturan yang sedia ada, tindakan selanjutnya hendaklah diambil terhadap mereka selepas bulan Ramadan.

Dari: UM.