Sepanjang titah Tuanku Sultan mengingatkan supaya masjid jangan disalahgunakan oleh kelompok politik yang boleh membawa perpecahan kepada umat Islam. Peringatan itu adalah baik untuk menjaga perpaduan sesama umat Islam. Apa yang dilakukan oleh Sivarasa adalah perbuatan yang sama dilakukan oleh Ahli Parlimen DAP, Teo Ni Ching berceramah dan menyampaikan derma di Surau al-Huda, Kajang pada 22 Ogos 2010.

Setahu penulis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memang ada peraturan bagi menggunakan masjid dan surau di Selangor. Malah penceramah yang memberikan kuliah dan tazkirah juga mesti ada tauliah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pihak Nazir dan Jawatankuasa Masjid sudah diberitahu mengenainya. Banyak taklimat dan kursus diberi supaya arahan MAIS/JAIS sekali gus bertindak ikut perintah sultan dipatuhi. Masih terdapat kelompok yang mempunyai kepentingan politik kepartian melanggar peraturan tersebut.

Antaranya disebabkan penguatkuasaan pihak JAIS agak longgar menyebabkan masjid dan surau dicemari dengan ceramah yang berbau politik, pihak kadi di daerah-daerah tidak memantau dan ini berlaku sekian lama malah sehingga kini.

Peringatan Tuanku semacam tidak dihiraukan oleh parti politik dan pihak penguat kuasa. Bila masjid menjadi medan politik, jemaah menjadi pecah. Umat Islam yang hadir di masjid dan surau menjadi gelisah dan akhirnya menjadi berpuak-puak.

Kes Sivarasa harus mencelikkan MAIS dan JAIS supaya tidak membiarkan perkara ini berulang dan tindakan tegas perlu diambil kepada pihak yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab lebih-lebih lagi apabila orang bukan Islam berada di ruang solat untuk memberi ucapan politik.

Sivarasa sebagai seorang peguam harus tahu sensitiviti umat Islam kerana masjid bukan kepunyaan pembangkang tetapi milik ahli kariah dan umat Islam melakukan amal ibadah. Perbuatan tersebut amat menyinggung perasaan bukan saja umat Islam di Selangor tetapi juga di Malaysia.

Masjid adalah tempat membina jiwa jemaah dan ukhuwah sesama warga umat. Ini penting kerana tanpa perpaduan, umat Islam bakal hilang wibawa. Apa yang dilakukan oleh Sivarasa bukan kali pertama berlaku di Selangor. Ia telah berlaku pada masa lalu dan boleh berlaku lagi sekiranya MAIS atau JAIS tidak tegas melaksanakan amanah yang diberi.

Pihak-pihak di luar Islam harus faham bukan dasar sesebuah masjid tidak boleh dilawati oleh orang bukan Islam. Masjid Negara, Masjid Shah Alam, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan banyak masjid di seluruh negara membenarkan pelawat-pelawat bukan Islam melakukan lawatan tetapi dengan adab dan peraturan yang sesuai.

Sikap yang diambil oleh Tuanku Sultan Selangor adalah sesuai dan tepat. Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor menjadi kewajipan baginda menegur orang seperti Sivarasa supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain tidak mengulangi apa yang berlaku.

MAIS dan JAIS yang berperanan mewakili dasar dan pelaksanaan Islam di Selangor harus mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap perbuatan menyalahgunakan masjid dan surau. Masjid dan surau adalah tempat melakukan ibadah dan memupuk jiwa jemaah ke arah perpaduan umat bukan tempatnya melakukan dakyah politik.

Masjid dan surau adalah tempat mengajak umat Islam melakukan ibadah. Kalau masjid dan surau sudah di bawah kawalan kelompok politik yang tertentu pihak yang menganut fahaman politik yang lain tidak akan datang akhirnya umat Islam akan rugi.

Dari: UM.