Adakah pihak nazir dan jawatankuasa masjid berkenaan tidak tahu menahu bahawa ahli politik dilarang keras menggunakan masjid sebagai pentas politik kepartian mereka? Jika difikir-fikirkan mustahil mereka tidak tahu mengenainya.

Ini kerana notis tentang larangan itu telah pun dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kemudian diedar ke setiap masjid serta surau seluruh Selangor. Kebanyakan masjid di Selangor ada menampalnya di papan-papan kenyataan sebagai peringatan.

Persoalannya, mengapa insiden seumpama ini masih berlaku? Mengapa masjid dan lebih spesifik lagi ruang solat utama masjid dijadikan medan untuk berpolitik? Bukankah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri telah menitahkan mana-mana ahli politik sama ada Islam mahu pun bukan Islam dilarang berbuat demikian?