Lebih buruk lagi, ‘pengganas’ menjadi satu perkataan yang kini sinonim untuk dilabelkan kepada umat Islam. Soalnya, adakah mereka ini benar-benar berjuang di jalan Islam atau sebaliknya?

Sejak kebelakangan ini, tiga kes keganasan yang dahsyat tertulis dalam catatan dunia, malahan boleh disifatkan antara terburuk dalam sejarah.

Pada 23 Mei lalu, seramai 23 orang maut manakala 119 lagi cedera apabila penyerang meletupkan bom di luar bangunan Manchester Arena, ketika berlangsungnya konsert penyanyi Amerika Syarikat (AS), Ariana Grande.

Letupan berkenaan dirancang oleh seorang lelaki warga Britain berketurunan Libya, Salman Abedi dan polis sehingga kini masih cuba mengaitkan serangan tersebut dengan kumpulan pengganas Daesh. Beberapa tangkapan turut dibuat tetapi polis masih belum dapat merungkaikan misteri berkenaan.

Difahamkan, Salman, 22, sering berpegang kepada ideologi keganasan dan pernah mengikut bapanya sendiri berjuang di Libya ketika berusia belasan tahun.

Ketika kejadian, Salman menggunakan bahan letupan buatan sendiri yang mampu menghasilkan letupan maksimum dan membeli sendiri komponen tersebut di sebuah pasar raya tempatan, menurut rakaman kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) yang didedahkan.

Pada tarikh yang sama, pertempuran melibatkan tentera kerajaan Filipina dan kumpulan militan Maute tercetus di bandar Marawi, wilayah Lanao del Sur selepas kerajaan Filipina melancarkan operasi ketenteraan dan undang-undang tentera di situ bertujuan memberkas ketua kumpulan militan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon selepas mendapat laporan dia merancang untuk bertemu militan lain.

Operasi tersebut bagaimanapun bertukar menjadi pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan militan yang menduduki beberapa kemudahan awam seper-
ti hospital, penjara dan sekolah.

Dengan pertempuran yang telah berlanjutan selama dua minggu, ribuan penduduk terpaksa melarikan diri dan mencari perlindungan ke bandar serta wilayah berhampiran termasuk Iligan, Lanao del Norte dan Cagayan de Oro.

Sehingga 4 Jun lalu, 175 kematian dicatatkan terdiri daripada 120 militan, 36 anggota tentera dan 19 orang awam.

Susulan itu, Malaysia, Indonesia dan Filipina akan melancarkan rondaan maritim bersama di Laut Sulu mulai 19 Jun ini bagi memerangi ancaman Daesh. Rondaan bersama itu diperlukan berikutan Filipina sedang menangani puak militan yang menawan bandar Marawi di Pulau Mindanao sejak dua minggu lalu.

Tambahan pula, wujud kebimbangan selatan Filipina menjadi hab terbesar Daesh di rantau ini berikutan penyertaan berpuluh-puluh anggota asing kumpulan berkenaan ketika pertempuran di Marawi.

Menyoroti pula insiden pada 3 Jun lalu, tiga suspek merempuh pejalan kaki menggunakan sebuah van di London Bridge sebelum menikam orang ramai menggunakan senjata tajam secara rambang dekat Borough Market, menyebabkan lapan orang awam maut manakala 50 yang lain cedera.

Gambar serta perincian ketiga-tiga suspek iaitu Khuram Shazad Butt, 27, yang merupakan rakyat Britain berketurunan Pakistan; Rachid Redouane, 30, individu berketurunan Maghribi-Libya serta seorang lagi, Youssef Zaghba, 22, telah diedarkan kepada umum oleh pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun risikan yang dijalankan terhadap mereka masih tidak dapat memastikan sama ada serangan itu telah dirancang. Kejadian yang berlaku menyebabkan sesetengah pihak mudah mengandaikan segala perbuatan yang dilakukan oleh orang Islam sebagai tindakan keganasan.

Sedangkan senario yang berlaku adalah berbeza dengan tindakan umat Islam berjuang mendapatkan hak mereka di Palestin. Sebagai contoh apabila pemberontakan meletus pada 1987 melibatkan rakyat Palestin di Baitulmaqdis, Gaza dan semua bandar di Tebing Barat dan berterusan selama lima tahun.

Pemberontakan ini berlaku bukan kerana marah dan memberontak terhadap kezaliman dan kekejaman rejim Zionis, tetapi juga marah dan memberontak terhadap negara-negara Arab yang berdiam diri tidak berusaha membantu perjuangan Palestin.

Ketika itu perjuangan Palestin seperti hilang arah tuju selepas para pejuang Palestin diusir dari Lebanon, hasil pakatan Israel dengan Kristian dan Syiah di Lebanon.

Bagaimanapun, tidak adil sekiranya orang Islam sahaja digelar sebagai pengganas sedangkan masih ramai orang lain melakukan kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai di dunia. Mengapa mereka tidak digelar pengganas oleh media Barat?

Sejarah membuktikan sebaliknya, contohnya ketika tempoh pemerintahan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George Bush antara 2001 hingga 2009. Lebih setengah juta kanak-kanak terkorban di Iraq ketika beliau melancarkan operasi penangkapan bekas diktator negara itu, Saddam Hussein. Malah lebih banyak peperangan yang dicetuskan sepanjang pemerintahannya.

Siapakah sebenarnya layak digelar sebagai pengganas? Itu masih belum dikira segala bentuk jenayah seperti pembunuhan dan penyeksaan dialami oleh masyarakat Islam Rohingya di Myanmar dan beberapa lagi kekejaman lain.

Namun mengapa orang Islam sahaja dipersalahkan? Adakah media Barat mahu menutup jenayah kekejaman yang dilakukan oleh ‘bangsa’ mereka dan meletakkan segala kesalahan keganasan kepada orang Islam? Sama-sama kita fikirkan dan renungkan.

Dari: UM.