SYED Faisal: Industri automotif di era ini tidak lagi sama dengan ketika Proton mula-mula ditubuhkan. Ketika itu pelbagai polisi boleh diperkenalkan untuk memelihara kepentingan Proton. Tetapi sekarang, globalisasi bererti polisi punitif seperti itu tidak boleh diguna pakai lagi. 

Industri automotif sekarang juga lebih kompetitif kerana keperluan dan citarasa pengguna sudah berubah. Kereta zaman sekarang memerlukan penggunaan teknologi yang tinggi dan mudah, dan ini memerlukan pelaburan modal yang tinggi.Kita juga perlu ingat kos membangunkan kenderaan kini mencecah beratus juta ringgit, tidak termasuk kos pembangunan enjin.

Iriz umpamanya menelan belanja RM600 juta, dan kita perlu menjual sekian banyak hanya untuk break-even. Dengan jumlah volum industri (TIV) di Malaysia hanya 550,000 unit setahun, Proton perlu pasaran yang lebih besar daripada hanya pasaran Malaysia. Status kereta nasional ini adalah sesuatu yang kami dan seluruh rakyat Malaysia amat banggakan. 

Proton adalah syarikat pengeluar kenderaan yang pertama di Malaysia, dan satu-satunya pengeluar kereta nasional di rantau ASEAN. Kita perlu mengekalkan status ini. DRB-HICOM kekal pemilik majoriti dalam Proton dengan ekuiti 50.1%. Ini bererti Proton kekal sebuah kereta nasional, dan tetap milik Malaysia.

Apa yang membuatkan Proton memilih Geely untuk menjadi rakan kongsi dan strategik berbanding pembida yang lain?

SYED Faisal: Geely Holding bukan calang-calang syarikat. Saya akur ramai yang mudah melatah kerana ia syarikat dari negara China yang lazimnya dikaitkan dengan kualiti rendah. Tetapi jika kita kaji Geely Holding, kita akan sedar betapa kerdilnya kita (dan banyak pengeluar kereta global lain) berbanding mereka. Geely Holding adalah pemilik mutlak Volvo Cars dari Sweden sejak 2010. 

Volvo dahulunya juga dalam keadaan tertekan ketika dibawah pemilikan Ford, namun dibawah Geely Holding, Volvo Cars telah mencatat keuntungan operasi AS$1.2 bilion pada tahun lalu dengan menjual 534 ribu kenderaan, satu rekod bagi syarikat itu. Geely telah melaburkan RM45 bilion ke dalam Volvo Cars untuk membangunkan platform dan teknologi baru.

Geely Holding juga memiliki The London Taxi Company yang menghasilkan teksi ikonik yang digunakan di kota London, iaitu London Black Cabs. Syarikat ini juga sedang dalam pemulihan, dan baru-baru ini Geely Holding mengumumkan pelaburan RM1.65 bilion untuk membina Black Cab elektrik bagi kota London. 

Jelas sekali rekod Geely dalam dunia automotif tidak boleh dipertikaikan. 

SYED Faisal: Di negara China, Geely mempunyai pasaran yang luas, dan apabila Proton pulih kelak, pasaran dua bilion penduduk ini akan terbuka kepada Proton juga. Selain itu, Geely Holding bersetuju untuk bersama-sama DRB-HICOM untuk menjadikan Proton jenama ulung di Malaysia, selain pelan jangka sederhana untuk mempelopori pasaran ASEAN. 

Geely Holding telah meletak sasaran untuk Proton mencatat jualan sebanyak 500,000 unit setahun menjelang tahun 2027 di Malaysia dan Asia Tenggara.Ini amat penting kepada Proton kerana seperti yang saya jelaskan, TIV di Malaysia hanya 550 ribu unit setahun. Di ASEAN, saiz pasaran kenderaan penumpang adalah 2.1 juta unit. Proton perlu berada dalam pasaran ini untuk mendapat penskalaan ekonomi yang baik dan mengurang tempoh pulangan pelaburan (ROI) setiap kenderaan.

Seterusnya, keupayaan teknologi di Geely Holding amatlah tinggi. Mereka mempunyai lima pusat R&D di seluruh dunia, yang menggaji lebih daripada tujuh ribu jurutera pelbagai bangsa. Mereka juga mempunyai tujuh studio rekabentuk di beberapa lokasi di China dan Eropah. Semua ini kini bakal diberikan akses kepada Proton sebagai ahli kumpulan Geely Holding. Ini akan memberikan kelebihan kepada Proton dalam usaha membangunkan produk yang memenuhi citarasa pengguna dengan teknologi yang memudahkan pemilik kereta.

Geely juga bersetuju menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kereta pemanduan kanan (right-hand drive) mereka di rantau ASEAN. Ini bererti peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia dalam industri ini akan meningkat. Proton ketika ini mempunyai 10,000 pekerja. Jika kita perlu mengeluarkan 500,000 unit kereta, pastinya kita akan memerlukan penambahan pekerja. 

Bahagian R&D Proton juga akan diiktiraf oleh Geely Holding sebagai salah satu pusat R&D mereka, yang menjadi bukti mereka melihat keupayaan Proton sebagai sebuah pengeluar kereta yang berpotensi. 

Sebagai pemilik Volvo Cars, Geely Holding juga akan membenarkan kilang Tanjung Malim Proton untuk memasang kenderaan Volvo, satu lagi pengiktirafan kepada keupayaan Proton. Saya amat yakin dengan Geely, jenama Proton akan mendapat nafas baru dan kepercayaan pelanggan akan kembali kepada Proton. Insya-Allah, zaman kegemilangan Proton akan muncul semula.

Bagaimana pula dengan nasib vendor tempatan Proton dengan kemasukan Geely Holding? Adakah mereka akan diganti dengan vendor dari negara China kelak?

SYED Faisal: Kita ambil yang positif, dan tidak terlalu bersifat negatif dalam isu ini. Jika Proton kekal tanpa sebuah rakan strategik baru, tidak mustahil ia akan “tutup kedai” kerana ia tiada saiz pasaran dan daya saing yang tinggi. Dengan penjualan ekuiti ini, vendor Proton sebenarnya berdepan dengan peluang yang amat besar. Geely Holding mempunyai jenama Geely, Volvo, Lynk & Co., London Taxi dan terbaru, Lotus di dalam kumpulan mereka. 

Geely Holding telah membangunkan sebuah Sistem Pemerolehan Penyumberan Global (Global Sourcing Purchasing System) untuk memperoleh kelebihan penskalaan ekonomi. Dalam sistem ini, semua syarikat Geely Holding boleh mendapat akses kepada keupayaan vendor mengeluarkan komponen kenderaan. Jadi tidak mustahil satu hari nanti, vendor tempatan kita akan membekalkan komponen kepada Volvo, London, Taxi, Lotus atau Lynk & Co.

Dalam bidaan Geely, mereka mensasarkan kumpulan automotif mereka menjadi Pengeluar Kenderaan ke-10 teratas dunia pada tahun 2020. Ini termasuk visi mereka untuk ASEAN. Ini bukan sahaja mampu memulihkan Proton, tetapi jika Proton kembali cemerlang, vendor tempatan juga akan bersama-sama dalam pemulihan ini. Ini juga bererti ekosistem automotif negara – yang bermula bersama-sama dengan penubuhan Proton – akan mendapat manfaat daripada penjualan ekuiti ini.

Boleh kongsikan apa keutamaan Proton selepas ini dalam proses bangkit semula terutama dalam pasaran Malaysia serta mungkin ASEAN setelah tidur yang agak panjang selama ini?

SYED Faisal: Fokus pertama kami ialah pasaran Malaysia. Jenama ini sebenarnya ada tempat di hati rakyat Malaysia. Kalau kita ke luar negara dan melihat kereta Proton, kita teruja dan seronok. Jadi kami mahu mengembalikan zaman kegemilangan Proton di Malaysia. Ya, kami mensasarkan kembali menjadi jenama nombor satu Malaysia. 

Kedua adalah pasaran ASEAN iaitu menjadi tiga teratas di rantau ini. Tidak mustahil dengan adanya rakan strategik baru. Geely Holding mempunyai kekuatan kewangan, latar belakang teknologi yang kukuh serta rekod kejayaan memulihkan syarikat kenderaan di dunia.

Dalam dunia automotif, kerjasama adalah perlu. Kita boleh lihat, Kumpulan TATA dari India memilik jenama Jaguar dan Land Rover; atau BMW memiliki Mini dan Rolls-Royce, Renault, Nissan dan Mitsubishi dalam satu gabungan besar. Kita jangan ingat bahawa kita boleh menawan dunia bersendirian. Kerjasama seperti ini adalah satu kekuatan, bukan kelemahan. Seperti yang saya huraikan tadi, kita memang perlu membenarkan Proton untuk bekerjasama dengan rakan strategik bagi membolehkan Proton berjaya.

Ramai yang mempertikai dan perlekeh penjualan ini sebagai tidak patriotik, menggadai maruah negara malah ada yang sinikal menukar nama “Ploton”. Apa nasihat Datuk Seri. 

SYED Faisal: Kita perlu sedar bahawa Proton adalah sebuah syarikat persendirian. Ia bukan lagi milik kerajaan. Apabila DRB-HICOM membeli ekuiti 100% daripada Khazanah Nasional pada tahun 2012, tiada lagi wujud saham emas milik kerajaan. DRB-HICOM juga mengekalkan majoriti ekuiti dalam Proton, iaiti 50.1% maka status kereta nasional tidak pupus.

Penjualan ini adalah transaksi perniagaan dalam usaha DRB-HICOM memulihkan prestasi Proton sebagai sebuah pengeluar kereta yang berjaya. Kami menyelamatkan jenama Proton, menyelamatkan 10,000 pekerjaan (dan 40,000 ahli keluarga) dan juga ekosistem komponen kereta yang bermula dengan penubuhan Proton 32 tahun dahulu. Sokong usaha ini demi memastikan kereta nasional kekal di pasaran. Kita akan jadikan Proton gemilang semula dengan rakan strategik baharu ini.

Dari: UM.