Namun, istilah ‘perjuangan’ selalunya dikaitkan dengan konteks majmuk. Gagasan, asas falsafah atau ideologi yang diperjuangkan adalah milik ramai. Didokong oleh sekelompok atau sekumpulan ahli, pengikut atau penyokong. Apa yang penting semua pihak perlu memahami dan menghayati matlamat sebenar apa yang diperjuangkan. Jika tidak segala usaha akan menjadi sia-sia, selain dibimbangi boleh meninggalkan kesan buruk terhadap diri dan masyarakat.

Falsafah perjuangan bukan sekadar bersifat ikut-ikutan. Berjuang dalam lapangan politik umpamanya, umum perlu melihat tujuan sebenar penubuhan sesebuah parti politik itu. Apakah berpijak pada perjuangan untuk menegakkan kedaulatan bangsa dan tanah air, demi kesejahteraan rakyat, atau sekadar bersifat serpihan atau batu loncatan sebelum mencapai agenda tersirat mana-mana individu atau kelompok?

Perlu juga dilihat sama ada asas perjuangan itu sesuai atau tidak dengan struktur kemasyarakatan atau kenegaraan yang ada. Umpamanya, mungkin ada parti-parti politik yang lahirnya semata-mata memperjuangkan kepentingan mana-mana kaum atau etnik tertentu? Sebaliknya, ada parti-parti politik wujud bagi memperjuangkan kemajuan dan kemakmuran rakyat dan negara secara konsensus, sederhana, inklusif dan adil saksama untuk semua.

Umum boleh mengukur secara bijak taraf kesesuaian (relevan) apa yang diperjuangkan oleh mana-mana kelompok atau pihak. Untuk ‘mencari syurga’ atau atas nama ‘jihad’ umpamanya, bukanlah semudah mengangkat senjata dan menghunusnya tanpa ketentuan sasaran. Tidak juga sanggup meletupkan diri di tengah-tengah khalayak. Dan Islam sesungguhnya tidak pernah mengajar umatnya berjihad secara membuta tuli atas maksud memperjuangkan kesucian agama itu. Tiada istilah melampau, ganas atau militan dalam perjuangan Islam.

Malah, Rasulullah SAW menggesa umatnya hidup berprinsip. Sabda baginda: “Janganlah kamu ‘imma’ah’, iaitu kamu berkata: jika orang baik, kami pun ikut menjadi baik. Dan jika mereka zalim, kami pun ikut menjadi zalim.” - Riwayat at-Tarmizi. Ertinya, kehidupan perlu berlandaskan arah tuju yang jelas dan tahu tentang matlamat yang dicari.

Sementara itu, hidup berprinsip juga mempunyai kaitan rapat dengan asas perjuangan. Seseorang tidak harus membiarkan dirinya terperangkap dengan dakyah atau pujukan mana-mana pihak untuk kononnya berjuang bagi menegakkan sesuatu ideologi atau siasah masyarakat. Lihatlah, berapa banyak sudah kerajaan yang memerintah di beberapa negara runtuh dengan begitu saja ekoran ledakan emosi rakyatnya yang diajak berjuang tanpa memikirkan kesan yang bakal menimpa.

Hal mengenai perjuangan ini ditulis bagi mengingatkan masyarakat agar berwaspada dengan konsep perjuangan yang cuba dibawa oleh pihak tertentu bagi mengelirukan, meresah dan menawan pemikiran masyarakat. Media sosial dijadikan alat utama bagi mencapai agenda buruk ini. Sementara matlamat akhir bagi pihak-pihak terbabit ini adalah untuk menggugat kestabilan kerajaan sedia ada. 

Hidup berpandukan prinsip dan pegangan yang tepat serta jelas, dapat mengelakkan sebuah masyarakat terjerumus pada kemudaratan dan kehinaan. Dan hidup tidak perlu diuji kemusnahan untuk kembali mencari erti harmoni, damai dan keindahan.

Apa pun, perjuangan perlu sentiasa dihidupkan. Perlu berada pada landasan betul dan sesuai. Jika ternoktah di mana-mana, dikhuatiri pula seolah-olah memberi ruang kepada pihak-pihak yang berkepentingan menguasai keadaan. Jadi, perjuangan adalah suatu proses berterusan, tanpa ada cuai dan leka dalam mementingkannya. Perjuangan dalam konteks bangsa dan negara misalnya, bukan bermakna untuk memusuhi sesiapa, tetapi demi mengekalkan kedaulatan dan maruah yang dimiliki.

Jika ditanya, kenapa orang Melayu perlu sentiasa berjuang bagi mengekalkan kedudukan istimewa mereka sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan? Jawapannya mudahnya ialah kerana ada pihak-pihak tertentu tidak pernah surut keinginan mereka untuk menafikan segala struktur asas kenegaraan yang ada terutama dalam hal-hal membabitkan kedudukan Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Apa yang dibimbangi, pengaruh liberalisme yang cuba diasak terutama terhadap anak-anak muda Melayu, menjadikan generasi muda itu tidak ada ‘roh’ untuk mempertahankan hak dan keistimewaan yang ada, dan dikhuatiri pula akan mengakibatkan suasana menjadi pincang dan terganggu. 

Malah, mungkin ada sesetengah generasi muda yang merasakan hidup ini sudah tidak perlu dipedulikan lagi tentang konsep perjuangan atas nama kepentingan bangsa dan agama, lantaran sudah menikmati segala kesenangan atau kemewahan. Pada hal sepatutnya mereka tidak boleh abaikan perjuangan bagi menentukan nasib bangsa dan agama agar terus utuh dan terpelihara.

Perjuangan yang sihat menghasilkan suasana yang sihat. Tidak salah bagi sesiapa bergerak cergas dalam mana-mana pertubuhan atau persatuan bagi memperjuangkan sesuatu yang bernilai bagi apa-apa aspek kehidupan. Berjuang dalam persatuan-persatuan pengguna, persatuan pencinta alam, persatuan sekerja umpamanya, adalah antara pendekatan perjuangan yang digalakkan. Oleh itu, berjuanglah hanya benar-benar demi kebaikan!

By: DATUK SAYUTI MUKHTAR.