Sebagai jenama automotif pertama Malaysia, sudah tentu nilai Proton begitu tinggi pada mata rakyat Malaysia. Nilai ini tidak boleh diukur dalam bentuk wang ringgit, tetapi lebih kepada maruah sebuah syarikat yang menggambarkan betapa anak Malaysia juga boleh mengeluarkan produk keretanya sendiri. Namun, semua mengetahui bahawa persaingan sengit dalam industri automotif telah menyebabkan keuntungan Proton menurun sejak mencapai tahap tertinggi pada era awal 1990-an. 

Pada masa sama, penguasaan Proton terhadap pasaran automotif tempatan juga telah menurun. Jadi, adakah kita sebagai rakyat Malaysia hanya ingin melihat aliran penurunan ini terus berlaku pada masa akan datang tanpa perlu membuat sesuatu untuk menyelamatkannya? Lebih-lebih lagi, bagi pihak yang memiliki tanggungjawab terus terhadap Proton, iaitu pemegang saham utama Proton, DRB-Hicom Bhd. dan pihak pengurusan tertingginya.

Mereka ini adalah ahli perniagaan dan golongan profesional. Sudah tentu mereka sedar betapa pentingnya Proton perlu diberikan nafas baharu melalui perkongsian pintar dengan syarikat asing.

Perkongsian pintar ini bukanlah bermaksud maruah kereta kebanggaan rakyat Malaysia ini telah dijual kepada pihak asing. Malah, sebaliknya, perkongsian pintar ini sebenarnya memberi kebaikan bukan setakat kepada Proton itu sendiri tetapi juga buat generasi Malaysia pada masa akan datang. Proton perlu diperkukuhkan semula. Tidak boleh kita terlalu bernostalgia atau sentimental dengannya sehingga memudaratkan Proton itu sendiri. Kita tidak boleh lagi bertindak terlalu melindungi sehingga memudaratkan Proton hanya semata-mata nilai sentimental yang terdapat pada Proton. 

Sebagai analogi, ibu bapa tidak boleh terlalu melindungi anak-anaknya sehingga tidak mahu mereka bergaul dengan anak-anak orang lain. Melalui pergaulan dengan anak-anak orang lain, maka anak kita juga akan lebih bijak dan mengetahui bagaimana untuk bersahabat dengan orang lain sehingga memberi kebaikan kepada kehidupan mereka. Begitu juga, jika kita terlalu melindungi Proton, apakah pada masa akan datang, Proton boleh berdaya saing dan mampu dipertahankan maruahnya tanpa adanya ‘pergaulan’ melalui perkongsian pintar dengan syarikat lain?

Era sekarang ini adalah era kerjasama yang lebih berbentuk perkongsian pintar yang mana setiap pihak akan mendapat manfaat masing-masing. Inilah dikatakan sebagai situasi menang-menang. Saham Proton dijual bagi membolehkan perkongsian pintar ini berlaku secara dalaman dan bukannya dalam bentuk nasihat pihak perunding yang mana kesannya berbeza sama sekali. 

Sebagai syarikat yang menguasai Volvo Cars Corporation, sudah tentulah Geely memiliki kekuatan yang boleh disumbang kepada Proton.

Tiada sebab perkongsian pintar ini akan menyebabkan berlakunya pengurangan pekerja tempatan Proton. Malah, sebaliknya, dengan perkongsian pintar ini, jualan kenderaan Proton dijangka meningkat sehingga 500,000 unit setahun ke pasaran tempatan dan negara-negara ASEAN menjelang 2020. Perlu diingatkan, bahawa akses pasaran yang lebih luas akan membolehkan jualan Proton juga akan meningkat. 

Peningkatan jualan Proton bermaksud nasib pekerja Proton dan keluarga akan semakin terbela. Bayangkan jika tiada perkongsian pintar ini, jualan Proton semakin menurun sehingga menyebabkan Proton mengalami kerugian yang lebih besar lagi. Jadi, secara logiknya, pengurangan pekerja terpaksa dibuat ketika era ekonomi tidak menentu pada masa kini. Tidakkah ini akan menyebabkan nasib para pekerja Proton tidak terbela jika tiada perkongsian pintar dilakukan?

Sebab itulah tidak tepat sama sekali jika perkongsian pintar ini memberi kesan yang tidak baik kepada para pekerja Proton yang sedia ada. Malah, tidak mustahil, Proton memerlukan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang automotif untuk berkhidmat dengannya. Lagipun, kita boleh lihat bagaimana syarikat Geely telah terbukti mampu menukar Volvo kembali kepada zaman kegemilangannya dengan merekod jualan tertinggi melebihi 500,000 unit pada tahun lalu.

Jadi, usaha murni perkongsian pintar ini dijangka meningkatkan lagi jualan kenderaan Proton dan seterusnya meningkatkan motivasi para pekerja dan kualiti produk-produk kenderaan Proton. Inilah yang sebenarnya perlu dilakukan untuk mengembalikan zaman kegemilangan Proton sebagaimana pada awal 1990-an. Malah, tidak mustahil mengatasi zaman kegemilangan tersebut dengan mencipta era baharu yang menguntungkan semua pihak.

Satu perkara yang perlu ditekankan di sini tidak lain tidak bukan perkongsian pintar ini melibatkan teknologi dan cara bagaimana untuk mengurus sebuah syarikat automotif global. Memasuki pasaran ASEAN bermaksud Proton perlu ditadbir urus melalui pendekatan global. Inilah yang perlu dipelajari oleh anak-anak tempatan daripada ahli-ahli perniagaan China yang terbukti berjaya menjadi tokoh perniagaan global.

Amat malang sekali jika kita tidak cuba mempelajari daripada mereka yang telah menunjukkan contoh terbaik dengan pelbagai kejayaan yang telah dikecapi. Perkongsian pintar ini telah membuka peluang yang seluas-luasnya kepada pihak pengurusan tertinggi Proton untuk mempelajari ilmu perniagaan dalam industri automotif. Malah, pihak vendor Proton juga tidak terkecuali mendapat peluang perniagaan daripada perkongsian pintar ini jika Proton berjaya menjual produk-produk kenderaannya ke peringkat global. 

Ini termasuklah bukan setakat memasuki pasaran negara-negara ASEAN tetapi juga tidak mustahil produk-produk kenderaan Proton berjaya dijual di pasaran terbesar dunia iaitu China. 

Maka, ketika itu, bukan kepalang kebaikan yang akan dinikmati oleh setiap pihak yang terlibat dalam ekosistem perkongsian pintar Proton ini. Jadi, usahlah ragu dengan perkongsian pintar ini seolah-olah maruah negara telah terjual walhal Proton itu sendiri sudah menjadi syarikat persendirian. 

Percayalah, ketika era industri automotif tanpa perlindungan dan begitu kompetitif kini, sesiapa jua tidak mampu menolak betapa pentingnya perkongsian pintar ini demi mempertahankan dan memartabatkan maruah Proton.

By: DR. ROHAMI SHAFIE.