Pada pandangan PPBM dengan kehadiran tiga pemimpin 3M tersebut mereka mengharapkan ia akan memberikan keterujaan kepada DAP, PKR dan PAN. Pelbagai usaha dilakukan oleh PPBM untuk mengambil hati sekutu terbarunya itu. Antaranya termasuklah Dr. Mahathir bersedia menarik segala kata-kata buruknya terhadap DAP dan menandatangani petisyen membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Dr. Mahathir juga bersedia ke hulu ke hilir meningkatkan serangan beliau ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Demi mahu menarik perhatian DAP dan PKR juga bekas Perdana Menteri itu bersedia mengubah tujuan politiknya daripada menjatuhkan Najib kepada menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Dr. Mahathir seolah-olah sudah melupakan segala jasa kedua-dua parti itu terhadap beliau. Dendam kesumat yang tersemat di hatinya terhadap Perdana Menteri menyebabkan beliau bagaikan tenggelam punca. Muhyiddin juga dilihat begitu ghairah mahu menumbangkan BN dan UMNO.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup duduk semeja dengan pemimpin-pemimpin DAP, walaupun suatu ketika dahulu beliau dikecam oleh parti berkenaan kerana memperjuangkan orang Melayu. 

Tetapi setakat ini pengorbanan Dr. Mahathir dan Muhyiddin boleh dianggap sia-sia apabila DAP kekal menjadi ‘taiko’ dalam Pakatan Harapan. Ia terbukti apabila tanpa rasa hormat terhadap kehebatan politik kedua-dua pemimpin berkenaan, mereka menolak mentah-mentah hasrat PPBM untuk mendominasikan jawatan Pengerusi dan Presiden Pakatan Harapan. 

Kalau mengikut perancangan PPBM, Anwar akan menjadi Penasihat, Dr. Mahathir dilantik sebagai Pengerusi manakala Muhyiddin pula menduduki jawatan Presiden. Melalui cara itu PPBM berharap ia akan memberi keyakinan kepada rakyat khususnya orang Melayu untuk menyokong pakatan tersebut. 

PPBM kini sedang berada dalam situasi yang pernah dialami oleh Pas sebelum ini bahawa DAP sama sekali tidak akan membenarkan mana-mana parti lebih mendominasi berbanding mereka. Apatah lagi PPBM mahu menjadikan Melayu sebagai tunjang kepemimpinan Pakatan Harapan. 

Dan perlu diingat sekutu paling rapat DAP ialah PKR yang ternyata turut menyokong pendirian DAP menolak perancangan PPBM. Tindakan PKR itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sejak dulu lagi, dalam apa pun situasi politik PKR akan menyebelahi DAP.

Oleh itu, PPBM sebenarnya bermimpi kalau mereka mengharapkan dengan rekod yang ada kepada pemimpin 3M tersebut, PPBM akan mendapat kedudukan terbaik apabila bekerjasama dengan DAP, PKR dan PAN. 

Kalaulah Pas yang ditubuhkan sejak 1951 dan mempunyai pengalaman politik begitu hebat ditolak oleh DAP dan dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ apalah ada kepada PPBM.

Tambahan pula DAP amat memahami PPBM bagaikan ‘mengemis’ untuk mendapat kerjasama mereka dalam usaha PPBM memenuhi impian politik Dr. Mahathir bagi menjatuhkan Najib.

Sebab itulah DAP tidak pernah hairan atau berasa teruja dengan kehadiran PPBM, sebaliknya mereka mungkin berbangga kerana pemimpin-pemimpin Melayu yang sebelum ini memusuhi mereka dan pernah menuduh DAP parti perkauman kini ‘datang menyembah’ memohon pertolongan politik. 

Tambahan pula PPBM kini bagaikan rakan sekutu yang kacau bilau. Pergolakan dalaman semakin serius dan seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Ketika pemimpin-pemimpin seperti Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz banyak menghabiskan masa untuk menjelajah ke seluruh negara bagi melaksanakan agenda menjatuhkan BN, parti mereka sendiri di ambang mahu tersungkur. Oleh itu, bagaimana PPBM mahu menjadi pencatur politik untuk Pakatan Harapan? Dari segi realitinya, DAP tidak akan membenarkannya, tetapi kalau pemimpin PPBM mahu terus bermimpi soal itu, silakan sahaja!

By: Zulkiflee Bakar.