Beliau merupakan bekas Pengarah Urusan Kumpulan Cycle & Carriage Bintang Berhad yang merupakan pemegang lesen bagi kereta Mercedes-Benz selama 10 tahun sebelum dilantik menjadi Menteri Besar pada 2004.
Sebagai individu berpengalaman dalam industri itu, wartawan Mingguan Malaysia HARADIAN SHAH HAMDAN semalam mendapatkan pandangan beliau tentang isu penjualan sebanyak 49.9 peratus saham Proton Holdings Berhad (Proton) kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd (Geely). Dalam wawancara itu, beliau turut menyatakan harapan dan jangkaannya terhadap masa depan Proton hasil kerjasama
strategik itu.

MINGGUAN: Apakah punca Proton gagal untuk terus bersaing dengan jenama kereta lain?

Proton sudah lama beroperasi, hampir 40 tahun dan sepatutnya usia syarikat itu sudah matang dalam industri automotif. Dari segi perniagaan juga sudah lama tetapi Proton nampaknya tidak dapat bergerak untuk mengembangkan perniagaan. Banyak halangan terhadap syarikat itu. Pertama sekali, dulu ia adalah milik kerajaan dan sukar untuk berkembang atas landasan perniagaan kerana ada dasar-dasar yang perlu diikuti syarikat tersebut. Sama seperti syarikat penerbangan, MAS dahulu, kita tahu banyak laluannya tak menguntungkan tetapi terpaksa kerana mahu membawa lambang MAS ke destinasi yang kita mahu adakan hubungan dua hala seperti perdagangan. Ini masalah yang biasa dialami syarikat kerajaan. Yang kedua, automotif adalah industri berat yang merupakan satu bentuk perniagaan yang susah untuk masuk dan susah pula hendak keluar. Ia perlu modal besar, sama seperti minyak dan gas (O&G), untuk buat pelantar minyak memerlukan beberapa ratus juta ringgit, eksplorasi dalam laut menelan belanja berbilion dan itu belum lagi apabila minyak dijumpai. Pengeluaran automotif juga memerlukan modal besar, satu model kereta baharu yang nak dikeluarkan dari segi casis, platform dan enjin memerlukan modal RM1 bilion. Itu sebab kita perlukan jumlah pengeluaran dan penjualan yang besar.

Adakah langkah mengadakan kerjasama strategik dengan Geely adalah pilihan paling tepat untuk menyelamatkan Proton?

Mohamad Hasan: Telah sampai masanya dan sepatutnya telah lama Proton mempunyai rakan strategik asing yang mana Proton akan mempunyai tiga aksesibiliti penting. Yang pertama modal kerana syarikat asing itu mempunyai modal besar. Yang kedua, aksesibiliti kepada teknologi kerana untuk mengadakan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mempunyai pakar reka bentuk, pembuatan enjin dan lain-lain kepakaran berkaitan dunia pemotoran memerlukan modal besar. Ketiga, dengan kerjasama strategik itu, Proton mendapat akses kepada pasaran kerana pasaran dalam negara kita tidak besar. Kita perlukan 'jendela' baharu kepada pasaran luar terutama pasaran Asia Tenggara yang merupakan pemanduan di sebelah kanan. Penjualan pegangan saham itu dibuat oleh tuan punya Proton. Kita tak mahu Proton terkial-kial. Tidak ada lagi pengeluar kereta yang mengeluarkan satu model kereta sampai 10 hingga 15 tahun seperti Proton.

Sesetengah pihak mendakwa penjualan saham Proton itu umpama 'membunuh' syarikat tersebut?Mohamad Hasan: Pada pandangan saya jika tiada rakan kongsi baharu dan tidak dapat suntikan dan bantuan kerajaan, Proton mungkin memasuki zaman nazak dan menunggu masa ditutup. Kita jangan emosi dan ego mahukan syarikat itu 100 peratus kepunyaan negara tetapi dalam masa yang sama syarikat bankrap, tidak berdaya saing dan tidak lagi mampu menjalankan perniagaan.

Adalah lebih baik berkongsi dengan rakan yang mempunyai modal besar, teknologi dan pasaran lebih luas. Lebih baik kita miliki 51 peratus saham di dalam Proton untuk kita mendapat masa depan yang lebih cerah dan syarikat lebih untung. Kita perlu gunakan pertimbangan dalam perniagaan, tetapi ada sesetengah orang lebih rela kita mempunyai 100 peratus pegangan syarikat yang kita tahu tidak mempunyai masa depan. Semasa saya dalam bidang automotif dulu, kita buat satu penanda aras bagi syarikat, jika tak boleh keluar kereta sejuta unit setahun, ia merupakan perusahaan yang tidak berdaya saing. Itulah sebab industri kereta banyak bergabung dan  diambil alih pada hari ini.

Tetapi ramai menganggap selepas ini Proton bukan lagi kereta nasional?Mohamad Hasan: Dahulu memang 100 peratus Proton kepunyaan kerajaan. Macam Perodua pun bukan 100 kepunyaan Perodua. Perodua hanya ada 30 atau 40 peratus manakala selebihnya dipunyai Daihatsu. Sekarang Daihatsu pula dah diambil alih oleh Toyota. Sebab itu ada kilang enjin di Sendayan, Negeri Sembilan serta kilang kotak gear dan mereka boleh akses kepada Toyota, Daihatsu dan Perodua. Jadi jimat belanja. Dulu kalau nak buat enjin 1.2 cc atau 1.3 cc, mereka buat sendiri. Tetapi sekarang buat di sebuah kilang sahaja untuk tiga atau empat syarikat. Walaupun lain jenama tetapi mereka guna enjin, kotak gear dan transmisi yang sama. Dalam zaman globalisasi ini kita memerlukan jumlah pengeluaran besar dan dalam masa yang sama dapat kurangkan perbelanjaan. Apabila berlaku perjanjian Geely dan Proton, sudah tentu kita akan ada akses kepada Volvo. Boleh jadi kereta Proton akan menggunakan enjin Volvo. Kualiti kereta Proton kerap kali dipersoalkan oleh rakyat negara ini.

Adakah Datuk Seri menjangkakan perubahan dari segi kualiti nanti?Mohamad Hasan: Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap perkara itu. Sebelum ini, Proton tidak lulus Moss Test yang menyebabkannya gagal masuk pasaran Australia dan United Kingdom.

Casis dan ciri keselamatan tidak dapat memenuhi syarat negaranegara tersebut. Dulu memang ada kereta Proton dijual 50, 60 buah di London, itu hanya sementara diberi permit tetapi kalau nak jual berterusan kena patuhi syarat yang dikenakan. Tetapi kita tak penuhi. Bukan saya nak mencemuh kepakaran anak tempatan tetapi standard keselamatan yang diletakkan oleh negara maju terlampau tinggi. Untuk capai tahap tersebut, memerlukan perbelanjaan besar dan kita tak mampu. Kalau kita ikut, kita tidak boleh jual kereta Proton sebab terlalu mahal dan kita pula tak ada volum jualan kereta yang besar. Tetapi apabila kita mendapat akses kepada teknologi hasil kerjasama strategik itu, kita tak perlu risau tembusi pasaran yang dekat seperti Australia. Dengan teknologi Volvo di bawah Geely, kita boleh guna pakai teknologi yang sama. Sudah tentu nanti kita tidak ada masalah untuk masuk ke pasaran negara lain, bayangkan berapa besar pasaran tersebut, tidak banggakah kita.

Bagaimana Datuk Seri melihat masa depan Proton?

Mohamad Hasan: Selepas Geely ambil alih Volvo pada tahun 2010, setahun lepas itu Volvo telah menunjukkan prestasi yang begitu cemerlang dan memecahkan rekod jualan mereka setiap tahun. Sekarang mereka dapat jual lebih banyak kereta, Volvo juga tak macam dulu sebuah kereta kotak besar, tetapi sekarang sudah cantik dengan model SUV dan lain-lain. Ini yang kita perlukan.

Geely beli 100 peratus pegangan dari syarikat kenderaan Sweden itu, tetapi beli cuma 49.9 peratus saham Proton. Geely juga ambil alih Lotus yang merupakan syarikat paling banyak merugikan Proton. Geely mempunyai pusat reka bentuk di Hong Kong, Shanghai, Barcelona, dan California yang khusus ditubuhkan untuk mereka melihat reka bentuk pasaran kereta di Amerika, Eropah dan Asia. Jadi saya yakin dengan pengambilan ekuiti 49.9 peratus dalam Proton ini akan mendatangkan banyak kebaikan kepada Proton daripada keburukan. Saya nampak Proton mempunyai masa depan cerah dan akan dapat mengikut jejak Volvo yang melonjak prestasi selepas diambil alih Geely.

Dari: UM.