Friday, June 2, 2017

PULUHAN SYARIKAT BUKAN ISLAM GUNA NAMA PRODUK "ISLAMIK".

Puluhan syarikat bukan Islam dipercayai mengeksploitasi nama dan istilah agama Islam untuk tujuan pemasaran sekali gus menjadi jalan pintas dalam melariskan produk jualan di negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut yang disedari apabila menerima pelbagai aduan daripada orang ramai yang sangsi dengan penggunaan nama seperti ‘Masjid’, ‘Najwa’ dan ‘Songkok’, sama ada pengeluar produk-produk tersebut adalah orang Islam atau tidak.

“Dalam beribu-ribu produk di pasaran yang menggunakan pelbagai nama dan logo, kita tidak boleh bezakan yang mana adalah produk keluaran orang Islam dan yang mana bukan kerana orang bukan Islam juga menggunakan nama dan istilah Islam.

“Perkara ini memang tidak salah tetapi bagi kami ini boleh mengelirukan pengguna yang mementingkan dari mana datangnya produk itu, sama ada mereka membeli daripada orang Islam atau tidak dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan produk bukan Islam yang menggunakan nama Islam untuk melariskan produk di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panel Penasihat PPIM, Dr. Abdul Kadir.

Tambah Nadzim, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) boleh bekerjasama untuk mewajibkan setiap barangan di pasar raya dilabelkan sama ada dikeluarkan oleh orang Islam atau bukan.

“Di negara membangun, sekecil-kecil pengkelasan pun akan dilabelkan pada produk jadi kita juga perlu menuju kepada pertambahan mutu pengkelasan bagi memastikan tiada kekeliruan atau syak wasangka kepada pengguna.

“Pengguna mempunyai hak untuk mengetahui produk apa yang mereka mahu beli dan daripada siapa mereka ingin membeli,” katanya.

Menurut Nadzim, orang ramai boleh merujuk kepada PPIM sekiranya terdapat keraguan terhadap mana-mana produk yang menggunakan istilah dan nama Islam.

“Kita akan cuba bantu pengguna untuk memeriksa milik siapa syarikat pengeluaran produk tersebut dengan SSM.

“Mungkin syarikat bukan Islam tersebut sudah mendapat kelulusan halal daripada Jakim, tetapi apa yang kita ingin tekankan di sini adalah supaya nama dan Istilah Islam itu tidak dieksploitasi sebagai strategi pemasaran orang bukan Islam demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan keraguan pengguna,” katanya.

By: B1SK.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik