Thursday, June 22, 2017

RCI AKAN DEDAHKAN BERBILION RM KERUGIAN FOREX BANK NEGARA.


Orang pertama yang patut melompat riang ria sambut pengumuman kerajaan tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk siasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) semasa zaman pentabiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam urus niaga tukaran asing (forex) sudah tentulah otai DAP,Lim Kit Siang.

Sewaktu kehangatan isu forex…beliau yang ketika itu Ahli Parlimen kawasan Tanjong di Pulau Pinang bukan saja cukup vokal mempersoalkan kerugian malah pada ucapannya di Dewan Rakyat pada April 1994 desak kerajaan tubuh RCI siasat skandal itu.
Namun satu dunia tahu kini Ahli Parlimen Gelang Patah di Johor itu adalah rakan politik yang berdakap erat dengan bekas Perdana Menteri itu dalam cita-cita bersama hendak menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

Ramai yang akan teropong rentak cakap orang kuat DAP ini dicelah isu yang kini menjadi perhatian ramai.

Jangan lupa…Kit Siang adalah salah seorang yang dipanggil bagi keterangan kepada Pasukan Petugas Khas diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan yang dibentuk oleh kerajaan membuat siasatan awal keatas kerugian forex Bank Negara itu.

Beliau mengadap pasukan berkenaan pada 4 Mei lalu dalam prosiding yang diadakan di Kementerian Kewangan.

Turut sama dipanggil beri keterangan ialah bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.Beliau dibawa dari penjara ke Kementerian Kewangan untuk tujuan itu pada 20 April.
Pada 26 Mei pula bekas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memberi keterangan kepada pasukan petugas khas itu.

Beliau yang kini Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk Penasihat BNM pada 1989 hingga April 1994 dan Penasihat Khas BNM untuk menasihati gabenor berhubung dengan dasar-dasar kewangan dari September 1998 hingga April 2000.

Kerugian yang dialami BNM dalam urusniaga forex semasa pentabiran Dr Mahathir itu bukanlah sedikit.

Kalau ikut dakwaan bekas Penolong Gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid kepada media Januari  lalu kerugian ialah sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) sepanjang 1991 hingga 1993.
Dakwanya jumlah berkenaan adalah jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan bank pusat itu.

Kata Abdul Murad Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu forex.

Menurut beliau, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan tentang kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.

“Apa yang pelik, tiada siasatan lanjut dijalankan walaupun kerugian mencecah AS$10 bilion. Pihak berkuasa mempersoalkan perkara ini namun ia terhenti di situ,” katanya.

Kini dengan keputusan kerajaan dalam mesyuarat kabinet Rabu semalam untuk bentuk RCI menyiasatnya sudah tentu banyak cerita sebenar dan gambaran menyeluruh skandal itu yang akan keluar nanti.

Keputusan yang dibuat secara sebulat suara oleh kabinet bagi penubuhan RCI itu bukanlah main suka-suka.

Ini setelah ia mendengar laporan Pasukan Petugas Khas itu selaras dengan mandat yang diberikan untuk mengemukakan hasil laporan tersebut ke Kabinet dalam tempoh tiga bulan selepas penubuhannya.

Pasukan Petugas Khas itu sendiri membuat cadangan agak ditubuh RCI setelah mendapati wujud kes prima facie dalam kerugian forex BNM.

Apa lagi pasukan itu sendiri mendapati terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujuan mengelirukan Jemaah Menteri dan Parlimen.

"Penubuhan RCI ini seterusnya diharap mampu merungkaikan isu ini yang membelenggu negara sejak 23 tahun lalu," kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Menurutnya penubuhan RCI ini akan membolehkan siasatan terperinci yang lebih menyeluruh dapat dilakukan berdasarkan lunas-lunas perundangan dan dilindungi (immunity) di bawah Akta 119.

Reaksi yang kedengaran berlegar dimainkan oleh puak sebelah sana untuk jaga imej pakatan politik mereka ialah ini semua ‘cerita lama’.

Sebaliknya bagi kebanyakan orang biasa kerugian yang dialami negara gara-gara urus niaga tukaran asing itu adalah terlalu besar untuk dibiarkan ia mati sebagai kubur tak bertanda.
Rakyat berhak tahu dan semua orang menunggu jawapan cerita sebenar.

Bayangkan berapa banyak sekolah,rumah murah,jalan kampong,biasiswa dan segala macam dalam negara boleh dibuat dengan wang sebanyak lebih RM40 billion yang hilang di angin lalu.
Sebenarnya bukan setakat isu forex…sudah sekian lama orang bercakap dan bercakap pasal macam-macam semasa pentabiran Dr Mahathir.

Ini termasuk isu Perwaja yang lebuh berbillion ringgit.Ramai juga ingin tahu pasal isu saham MAS.

Seperti juga Kit Siang…Dr Mahathir harus berlapang dada terima baik siasatan oleh RCI ini.
Beliau yang sekarang ini cukup galak menyerang kerajaan semua tidak betul sudah tentu tidak mahu ada yang busuk bertaburan di dalam halaman rumah sendiri.

Kata orang berani kerana benar…takut kerana salah.

Lojik akal kata agak berat juga…kalau siasatan awal pasukan petugas dapati ada elemen sembunyi fakta sebenar kerugian.

Lagi berat ia dikatakan untuk kelirukan kabinet dan Parlimen.

Siapa punya angkara semua ini?

Pasti ada yang pihak beri arahan dan ada pihak yang terima arahan.

Sama-sama kita tunggu siasatan menyeluruh RCI nanti buka cerita.- 
Dari: ADaily/22/6/2017

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik