Penyelidik dan penulis buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata, Puan Sri Fatini Yaacob berkata, peristiwa rusuhan tersebut adalah satu kebangkitan massa untuk kepentingan seluruh umat Islam dan penduduk Tanah Melayu ketika itu.

“Rusuhan yang berlaku selama tiga hari dan tiga malam itu begitu mengejutkan pihak British yang menjajah Tanah Melayu kerana selama ini mereka menyangka bangsa Melayu adalah bangsa yang lemah, malas dan kuat tidur.

“Jadi kita jangan melihat peristiwa ini sebagai satu kisah tragis percintaan antara Natrah dengan suaminya, Mansor Adabi sahaja tetapi satu peristiwa besar yang menyingkap satu perjuangan anak Melayu terutama apabila tidak mahu agama Islam dihina dan dipijak-pijak oleh pihak musuh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Bedah Buku Natrah: Imbasan Semula Selepas 67 Tahun di Dewan Utama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi ITBM, Budiman Mohd. Zohdi; Pengarah Urusan ITBM, Mohd. Khair Ngadiron dan Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan. 

Fatini berkata, rusuhan tersebut berjaya menarik seluruh umat Islam dari seluruh Tanah Melayu untuk turun ke Singapura kerana marah dengan tindakan pihak penjajah.

“Kerajaan British dan Konsul Jeneral Belanda di Singapura memurtadkan Natrah dengan mengeluarkan berita bahawa Natrah didakwa menyembah Patung Virgin Mary di sebuah gereja.

“Yang kita kagum bagaimana tanpa sebarang teknologi perhubungan yang moden seperti hari ini, tanpa telefon dan sebagainya, seluruh umat Islam boleh segera datang dan berkumpul di Singapura. 

“Ini menunjukkan umat Islam ketika itu begitu sensitif terhadap sebarang cubaan untuk menghina Islam,” katanya.

Namun yang lebih menarik lagi kata Fatini, rusuhan tersebut tidak sahaja melibatkan umat Islam tetapi kaum-kaum lain termasuk Cina dan India turut sama bangkit menentang keputusan mahkamah yang memisahkan Natrah dengan suaminya, menyimpan wanita itu di gereja dan hendak menghantarnya pulang ke Belanda. 

“Yang memeranjatkan kita daripada 18 perusuh yang terkorban dalam peristiwa itu, hanya tiga mayat didapati berketurunan Melayu, yang lain adalah India dan Cina,” ujarnya.

Dari: UM.