Ini memandangkan dalam keadaan pakatan itu kucar-kacir termasuk berhadapan masalah dalaman dan perebutan jawatan Perdana Menteri (PM), tindakan DoJ bagaikan ‘satu rahmat’ kerana boleh dijadikan ‘senjata’ bagi mengalih perhatian rakyat daripada kemelut mereka.

Namun begitu pemimpin-pemimpin sama ada DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahupun PAN tidak boleh lari daripada realiti sebenar. Mereka boleh sahaja melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan matlamat menjejaskan imej kerajaan.

Tetapi tindakan itu sama sekali tidak akan mampu menyelesaikan kemelut dan krisis yang kini melanda PPBM dan persoalan siapa bakal menjadi PM jika Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya membuat keputusan mengundur diri daripada dicalonkan sebagai PM, beliau mahu Pakatan Harapan menumpukan perhatian kepada usaha meraih sokongan rakyat dan memenangi pilihan raya.

Walaupun Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menganggap tindakan Anwar itu menunjukkan jiwa seorang ‘negarawan’ tetapi tindakan itu tidak boleh mengelak tafsiran bahawa Anwar mungkin berbuat demikian kerana tidak yakin Pakatan Harapan akan memenangi pilihan raya.

Lebih daripada itu, tindakan Anwar juga boleh ditafsirkan akan memberi laluan kepada DAP untuk lebih berkuasa dalam Pakatan Harapan. Sebenarnya sejak awal lagi DAP sudah tahu Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri memandangkan hukuman penjara yang beliau jalani, tetapi DAP sengaja terus mencalonkan Anwar kononnya atas semangat setiakawan.

Sebagai sebuah parti yang mempunyai ribuan peguam dan pakar undang-undang, mustahil DAP tidak tahu sejauh manakah impian untuk meletakkan Anwar menjadi PM boleh menjadi kenyataan. Tetapi DAP sengaja ‘buat-buat tidak tahu’ kerana matlamat mereka ialah untuk terus memastikan kerusi PM milik PKR.

Kalaupun bukan Anwar menjadi PM, pemimpin-pemimpin PKR lain tetap perlu mematuhi kehendak politik DAP seperti mana berlaku sekarang memandangkan DAP mempunyai lebih banyak kerusi dalam Parlimen.

Berikutan itulah cadangan untuk meletakkan pemimpin-pemimpin PPBM seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin utama Pakatan Harapan ditolak DAP.

Ini memandangkan pemimpin-pemimpin DAP tidak percaya kepada kedua-dua pemimpin tersebut. Kalaulah ditakdirkan pemimpin PKR menjadi PM, DAP masih boleh memegang remote control tetapi keadaan itu tidak mungkin berlaku jika jawatan itu disandang oleh Dr. Mahathir, Muhyiddin atau Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Lagipun walaupun ada dalam kalangan pemimpin utama DAP semakin yakin dengan kejujuran dan keikhlasan Dr. Mahathir membantu Pakatan Harapan namun di peringkat akar umbi masih ada keraguan terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.

Pada pandangan mereka, kalaulah Dr. Mahathir boleh melakukan ‘Pusingan U’ terhadap UMNO yang meletakkan beliau sebagai PM selama 22 tahun, apalah sangat jika dibandingkan dengan Pakatan Harapan?

Begitu juga Muhyiddin, mereka masih lagi meragui sejauh manakah beliau mampu melunaskan agenda-agenda pakatan berkenaan khususnya kehendak politik DAP memandangkan Muhyiddin dilihat seorang pemimpin berjiwa pejuang Melayu dan Islam.

Selain itu, apa kelebihan PPBM untuk melayakkan pemimpin-pemimpinnya menjadi pemimpin utama Pakatan Harapan? Ketika ini PPBM sedang mengalami krisis dalaman yang serius, tetapi apa yang anehnya pemimpin-pemimpin parti itu hanya membiarkan sahaja dan ada antara mereka membuat tuduhan dangkal bahawa apa yang berlaku ‘kerja-kerja’ UMNO.

Ternyata sekali sama ada Anwar mahu menjadi PM atau tidak, DAP tetap untung dan terus kekal menjadi pencatur kuasa utama dalam Pakatan Harapan. Mungkin atas itu juga pemimpin-pemimpin DAP tidak mahu isu siapa akan jadi PM diheboh-hebohkan.

Jika Pakatan Harapan termasuk DAP jujur, maka mereka perlu mengemukakan kepada rakyat siapa bakal PM jika pakatan itu menang. Pemimpin-pemimpin DAP perlu mencontohi ‘keberanian’ bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang kini menjadi ahli parti itu.

Keberanian yang dimaksudkan ialah beliau membentangkan cadangan barisan Kabinet Pakatan Harapan dengan menyaksikan Dr. Mahathir sebagai PM manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri dibiarkan kosong untuk sementara. Muhyiddin akan menjadi Menteri Tenaga dan Minyak manakala Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Kewangan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula dicadangkan oleh Zaid menjadi Menteri Pendidikan, R. Sivarasa sebagai Peguam Negara dan Menteri Undang-undang, Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan manakala Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula sebagai Menteri Luar Negara.

Tetapi penulis percaya cadangan Zaid itu yang disiarkan oleh The Star Online sekadar ‘mimpi indah’ beliau. Kalau mengikut senarai tersebut, penulis yakin semua parti dalam Pakatan Harapan tidak akan menyetujui. Kenapa? Sama-samalah kita tunggu komen pemimpin-pemimpin pakatan itu tetapi yang pasti DAP tetap mahu untung!

By: Zulkiflee Bakar.