“Saya tahu mungkin kenyataan ini agak kontroversi tetapi saya bercakap realiti kerana kita mahu rakan-rakan dalam BN terus kuasa, terus turun ke bawah, terus berikan perkhidmatan kepada semua rakyat. Itu merupakan konsep perkongsian kuasa yang harus diterjemahkan oleh mereka.’’

Demikianlah ditegaskan oleh Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika melontar cabaran kepada komponen BN khususnya MCA, MIC dan Gerakan untuk membuktikan kemampuan mereka mewakili kaum masing-masing dengan memenangi kawasan majoriti bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Sebenarnya, cabaran yang dilontarkan oleh Ahmad Zahid bukanlah perkara baru, malah sebelum PRU-13 lagi, ia sudah bergema termasuklah desakan supaya UMNO tidak lagi menyerahkan kerusi majoriti pengundi Melayu kepada mana-mana komponen BN.

Dalam keadaan cabaran BN untuk mempertahankan kuasa semakin getir, elemen simpati atau terlalu mahu berpegang kepada prinsip perkongsian kuasa `perlu dilonggarkan’. Ini memandangkan komponen BN harus diberi pemahaman untuk berdikari dan bukannya bergantung segala-galanya kepada UMNO.

Keputusan dalam dua pilihan raya umum sebelum ini iaitu PRU-12 dan PRU-13 telah menjadi bukti bahawa gelombang penolakan terhadap komponen BN melibatkan MCA, MIC dan Gerakan semakin meningkat, malah tidak mustahil akan berterusan dalam PRU akan datang. Apa yang menjadi persoalan, adakah UMNO perlu berkorban lagi hanya disebabkan mahu memenuhi tuntutan `perkongsian kuasa’ yang selama ini menjadi tunjang pemerintahan negara? Penulis tidak menafikan konsep tersebut penting memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat majmuk, tetapi apa yang dituntut ialah kesungguhan dan keberanian komponen BN mencabar parti-parti Pakatan Harapan khususnya DAP dan PKR.

Kita perlu mengakui sehingga kini MCA atau Gerakan masih gagal untuk menghalang kemaraan DAP yang terus menguasai pengundi Cina, malah keputusan beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-13 juga membuktikan kaum Cina masih belum menyebelahi BN atau bahasa mudah masih menolak parti tersebut.

Soalnya, apa MCA dan Gerakan lakukan? Janganlah berhujah menuding jari menyalahkan pihak lain apabila mereka tewas seperti mana berlaku dalam PRU-12. MCA, Gerakan dan MIC perlu ada keberanian untuk bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu. Berbanding Pakatan Harapan, sepatutnya komponen BN itu mempunyai banyak kelebihan memandangkan kerajaan BN telah melakukan pelbagai usaha bagi memajukan semua kaum di negara ini termasuklah kaum Cina.

Apa lagi yang kaum Cina tidak dapat? Apa lagi yang kaum India tidak nikmati? Semuanya sudah dilakukan oleh kerajaan bagi membela nasib mereka tetapi kenapakah apabila mengundi majoriti mereka khususnya kaum Cina menolak BN? Di manakah silapnya?

Berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa pemimpin-pemimpin UMNO baru-baru ini, mereka berpendapat, ada dalam kalangan komponen BN tidak memiliki kesungguhan untuk menarik kembali pengundi-pengundi bukan Melayu.

Kata mereka, keadaan itu amat mendukacitakan kerana kemampuan BN untuk mempertahankan kuasa bukan bergantung kepada UMNO sahaja. Justeru itulah mereka berpendapat, komponen BN perlu sedar bahawa PRU-14 adalah perhitungan penting kepada parti tersebut.

Pada masa sama, selain mereka mengakui ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin komponen BN yang menang di kawasan majoriti Melayu berkhidmat dengan baik tetapi ada ketika mereka seolah-olah tidak tahu menjaga hati orang Melayu.

``Contohnya dalam isu pembentangan Rang Undang-undang 355, ia sama sekali tiada kaitan dengan orang bukan Islam, oleh itu kenapa ada pemimpin-pemimpin komponen BN yang celupar menentang RUU tersebut.

``Kalau pun mahu meraih sokongan daripada kaum sendiri, sedarlah diri kaum mana yang memberikan mereka kemenangan dalam pilihan raya. Janganlah kerana mahu mengikut rentak DAP, perasaan orang Melayu yang mengundi mereka dilukai,’’ kata seorang pemimpin Pemuda UMNO kepada penulis.

Simpati 

Bagi penulis, jika benarlah ada pemimpin-pemimpin komponen yakin dengan menentang RUU355 mereka boleh mendapat sokongan daripada kaum mereka, maka sahutlah cabaran Ahmad Zahid untuk bertanding di kawasan kaum majoriti masing-masing.

Tidak perlu meminta simpati UMNO atau menggunakan istilah perkongsian kuasa sebagai alasan untuk `menghalalkan’ tindakan mereka menyelamatkan diri dengan bertanding di kawasan majoriti orang Melayu.

PRU-14 adalah gelanggang yang amat penting kepada BN. Ketika ini Pakatan Harapan menjadikan UMNO sebagai sasaran kerana mereka memahami UMNO adalah benteng terakhir BN. Oleh itu UMNO perlu mengkaji semula adakah wajar sesetengah kawasan yang sepatutnya ditandingi oleh parti tersebut diserahkan kepada mana-mana komponen BN.

Tidak dapat dinafikan dalam kalangan komponen BN yang bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik sekali, tetapi ada sesetengah kawasan perlu diambil semula oleh UMNO khususnya kawasan yang sepatutnya BN menang jika calon UMNO bertanding. Penulis tidak perlu menyatakan secara terperinci kawasan mana kerana komponen BN pasti mengetahuinya.

Atas sebab itulah, walaupun mungkin dalam kalangan komponen BN tidak senang dengan cabaran Ahmad Zahid tetapi realiti politik semasa menuntut UMNO tidak boleh lagi terlalu berkompromi atau bertolak ansur.

Kalau ada kawasan majoriti orang Melayu ditandingi oleh komponen BN tetapi wakil rakyatnya berkhidmat dengan baik, biar sahaja tetapi mana-mana kawasan seperti itu yang komponennya `tidak sedar diri’, maka lebih elok UMNO mengambilnya kembali.

Cukup-cukuplah UMNO berkorban. Ini memandangkan seperti mana kata Ahmad Zahid, ``Saya serius dalam perkara ini kerana kita harus keluar daripada kepompong pemikiran selama ini. Beberapa kawasan terpaksa kita korbankan apabila kerusi-kerusi yang diberikan kepada komponen kalah sedangkan kawasan ditandingi adalah majoriti pengundi Melayu.’’

Kepada parti-parti komponen BN khususnya MCA, Gerakan dan MIC, mereka tidak perlu lagi berpura-pura dengan membuat kenyataan kaum tertentu sudah kembali menyokong BN. Sebaliknya apa yang harus mereka lakukan ialah benar-benar berusaha menarik sokongan kepada parti tersebut.

Jika mahu dilihat dari segi jasa, kerajaan BN jauh lebih ke hadapan dalam soal itu sejak merdeka lagi berbanding pembangkang yang hanya menggunakan `modal air liur’ sahaja untuk menang dalam pilihan raya.

Oleh itu janganlah menuntut UMNO sahaja berkorban sedangkan mereka sendiri tidak melakukan pengorbanan yang kesudahannya dalam PRU-14 boleh mengakibatkan BN terkorban!

Lebih daripada itu kita tidak mahu wujud tafsiran pemimpin-pemimpin komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu kerana berpegang kepada `prinsip' bak kata seorang seorang pemimpin kanan UMNO;

"BN menang komponen menang, BN kalah komponen tetap menang.'' - Apakah maksudnya sama-samalah kita fikirkan.

By: Zulkiflee Bakar.