Saturday, July 1, 2017

JANGAN LEMAS DILAUTAN FITNAH.

TIADA apa yang perlu dihairankan apabila Pakatan Harapan yang diketuai DAP bercadang mengadakan je­lajah atau perhimpunan bagi ‘menjaja’ isu 1MDB mulai bulan ini. Khabarnya mereka mahu meng­adakan program itu selama tiga bulan dengan sasaran memberi pemahaman kepada rakyat menge­nai isu saman sivil yang dikemukakan oleh Jabatan Kea­dilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

Pakatan Harapan kini semakin terdesak untuk meraih soko­ngan rakyat selepas beberapa isu yang mereka bangkitkan sebelum ini gagal menggugat pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun kini pakatan itu mendapat sekutu baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN namun kehadir­an parti yang tertubuh hasil pergolakan dalaman UMNO serta Pas itu tidak memberikan impak yang besar. Sebaliknya mencetuskan krisis berhubung siapa yang layak menjadi Perdana Menteri dan bagaimanakah pembahagian kerusi mahu dilakukan dalam usaha pakatan tersebut menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Namun begitu apa yang menjadi persoalan apakah jelajah tersebut akan membentangkan fakta sebenar atau rakyat akan terus dihidangkan dengan fitnah serta tohmahan yang sudah pas­tinya bermatlamat bagi memburuk-burukkan imej BN.

Sejak 2014 lagi, politik fitnah dan kebencian sudah dicetuskan oleh pakatan pembangkang, jus­teru apabila tercetusnya isu 1MDB mereka menganggapnya bagaikan satu rahmat dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Adalah sesuatu yang malang apabila rakyat akan terus dipaksa ‘berenang di lautan fitnah’. Selama ini sudah banyak perkara dilakukan oleh Pakatan Harapan bermotifkan politik. Mereka bukannya mahu mencari kebenaran sebaliknya kemenangan merebut kuasa dalam pilihan raya.

Bagi mencapai matlamat tersebut, mereka bersedia mela­kukan politik ‘Pusingan U’ dan berpura-pura bersatu dengan musuh lama kerana menyedari mereka boleh memperalatkan antara satu sama lain. Jika membaca dalam laman-laman sosial, kita akan mendapati politik fitnah dan tohmahan bagaikan sudah menjadi ‘makanan harian’ Pakatan Harapan dan penyokong-penyokong mereka.

Sebagai contoh terbaru, percutian Perdana Menteri di Bali dan dakwaan kononnya harga minyak petrol serta diesel akan naik sehingga RM2.70 sen sepanjang bulan Jun. Tetapi seperti biasa apabila fakta sebenar dibentangkan, Pakatan Harapan hanya mendiamkan diri. Mereka cuba mengalih isu dengan menjadikan 1MDB sebagai modal terbaharu bagi menutupi segala kekalutan dan pemboho­­­ng­an yang dilakukan.

Dalam kes aktiviti perdaga­ngan mata wang asing yang berlaku pada awal 1990-an sehingga mengakibatkan kerugian luar biasa kepada Bank Negara Malaysia (BNM), salah seorang pemimpin Pakatan Harapan satu ketika dahulu menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Bagaimanapun apabila RCI ditubuhkan, lain pula nada pe­mimpin tersebut memandangkan tokoh yang dikaitkan kini berada ‘sekapal’ dengan mereka. Kea­daan itu membuktikan pemim­pin-pemimpin pakatan ber­kenaan hanya memperjuangkan se­suatu isu yang mereka rasakan boleh dipolitikkan dan boleh memberikan keuntungan politik, bukannya bermatlamat mahu me­negakkan kebenaran.

Begitulah juga dalam isu saman sivil DoJ, Pakatan Harapan mahu mengeksploitasikan tindakan AS itu habis-habisan supaya isu kerugian BNM tidak menjadi bualan ramai dan kekalutan yang berlaku dalam kerjasama mereka. Inilah standard pembangkang yang negara kita miliki. Segala-galanya adalah soal merebut kuasa. Atas sebab itulah mereka mahu meneruskan fitnah dan tohmahan kepada kerajaan BN.

Dalam berhadapan isu ini, rakyat perlu berhati-hati. Ja­ngan sampai lemas dalam lautan fitnah yang gelombangnya dicetuskan oleh Pakatan Harapan. Tidak salah untuk menyokong mana-mana parti dalam pilihan raya kerana itu adalah hak yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi tetapi jangan terpe­rangkap dengan pendekatan politik tidak bermoral.

Namun begitu fitnah akan hilang, tohmahan akan lenyap apabila kebenaran ditegakkan. Sebab itulah Pakatan Harapan bagaikan ‘cacing kepanasan’ kerana selain pelbagai isu yang dibangkitkan, mereka juga sudah berusaha keras untuk menjatuhkan kerajaan BN termasuklah melalui pintu belakang selepas Pilihan Raya Umum 2008 dahulu, tetapi semuanya gagal!

Keadaan itu berlaku kerana di sebalik mereka mengingatkan kerajaan BN bahawa rakyat sudah bijak menilai, mereka juga terlupa rakyat juga sudah tentu bijak untuk mengetahui siapakah yang benar-benar membela nasib mereka melalui kuasa yang dimiliki dan siapa pula yang sudah diberi kuasa ternyata akhirnya bagaikan ‘tin kosong’.

Sepatutnya, kalau Pakatan Harapan benar-benar mahu membela nasib rakyat dan memakmurkan negara, mereka perlu mengadakan jelajah bagi membentangkan fakta kenapakah mereka lebih baik daripada BN dan sejauh manakah pemimpin-pemimpin mereka jauh lebih bersih daripada pemimpin-pemimpin parti tersebut.

Tetapi penulis yakin Pakatan Harapan tidak akan berani berbuat demikian kerana kalau politik fitnah dan tohmahan menjadi amalan, mana mungkin mereka berani berhadapan dengan kebenaran khususnya terhadap apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor.

Apapun penulis yakin jelajah isu 1MDB yang dicetuskan oleh pakatan itu tidak akan ke mana sebaliknya seperti mana ce­ramah-ceramah politik sebelum ini anjuran mereka, akan kekal sekadar menjadi ‘hiburan pada waktu malam’.
By: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik