Friday, July 28, 2017

JANGAN SAMPAI TERGADAI NEGARA.

DALAM tempoh lima minggu lagi kita akan menyam­but ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara. Merenung perjalanan enam dekad lalu, kita tidak memperoleh kemajuan dengan laluan mudah. Banyak ujian, dugaan dan cabaran terpaksa dilalui. Apa pun kita perlu bersyukur dengan tahap kemajuan dan pembangunan yang dicapai. Kita perlu bersyukur dengan apa yang dinikmati sekarang.

Malaysia bukan sebuah negara yang gagal. Banyak kejayaan dan pencapaian membuktikan perkara itu. Pun begitu parti-parti pembangkang terus menabur fitnah dan dakwaan yang tidak berasas sama sekali. Mereka akan terus berbuat demikian. Itu pasti.

Apa yang penting rakyat perlu terus meletakkan keyakinan ke atas parti yang telah memimpin negara selama ini, iaitu Barisan Nasional (BN). Rakyat jangan sama sekali tersilap langkah dalam membuat perhitungan, pertimbangan dan perkiraan untuk menukar kerajaan yang selama ini telah banyak menabur bakti.

Sebagaimana dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dua minggu lalu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2017 di Sembrong, Johor, rakyat jangan menggadai masa depan mereka dengan memilih parti yang tidak stabil untuk mengemudi negara.

Najib meminta rakyat memilih parti yang kukuh untuk mentadbir negara yang mana telah membuktikan pencapaiannya menerusi kejayaan yang dikecapi negara selama ini. Beliau menegaskan: “Janganlah kita gadai masa depan kita. Janganlah pilih orang yang bercelaru, tidak tahu siapa tauke sebenarnya.”

Mesej yang beliau lontarkan jelas. Rekod BN yang di­terajui oleh UMNO sepanjang enam dekad lalu membuktikan parti kerajaan telah melakukan segala yang diperlukan rakyat. Sudah pasti rekod itu akan diteruskan jika rakyat mengembalikan mandat yang kukuh dan lebih besar pada kali ini.

Dalam ucapannya, Pengerusi BN itu telah berkongsi laporan terkini bahawa parti itu telah membawa negara mengecapi keamanan dan keselamatan sehingga menduduki kedudukan ke-29 daripada 163 negara paling aman berdasarkan statistik Institut Ekonomi dan Keamanan bulan lalu. Malah, Amerika Syarikat sekadar berada di kedudukan ke-114 dalam senarai negara paling aman di dunia.

Antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian menakjubkan negara adalah kerajaan mempunyai misi, visi dan perancangan bagi membawa rakyat dan negara mencapai status negara maju pada masa hadapan termasuk menambah baik sistem pengangkutan awam selari dengan pencapaian negara. Ini termasuk tren berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura melalui Johor serta MRT di Lembah Klang.

“BN ada kemampuan untuk melaksanakan, BN bukan cakap omong kosong. Tidak! Kita cakap dan kita boleh buat, bukan macam pembangkang, dia boleh janji macam-macam tetapi habuk pun tidak dapat. Kita boleh buat dan Insya-Allah, kita boleh buat banyak lagi,” kata Perdana Menteri.

Dua hari selepas itu, beliau menyempurnakan pelancaran perkhidmatan MRT, sekali gus melengkapkan laluan Sungai Buloh-Kajang sejauh 51 kilometer. Ini antara beberapa projek mega yang mesra rakyat, lagi bertaraf dunia untuk memenuhi kepentingan ramai. Ia turut tersenarai dalam rekod pencapaian kerajaan BN.

Lima tahun lalu banyak pihak mengkritik apabila Najib mengumumkan MRT sebagai salah satu daripada sejumlah inisiatif program transformasi kerajaan (GTP). Hari ini ia menjadi kenyataan dalam tempoh yang ditetapkan dan dalam lingkungan kos yang disasarkan. BN mampu ­melakukan yang terbaik demi rakyat.

Pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Putrajaya Ahad lalu, Najib mengumumkan enam insentif untuk ­peneroka dan warga Felda. Ini termasuklah pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan. Beliau mengumumkan bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak.

Anak kepada pengasas Felda, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ini membuktikan masa depan rakyat masih tetap bersama BN. Atas niat yang mulia dan semangat permuafakatan, Najib juga mengumumkan akan memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada Felda dan peneroka yang menya­man Felda, untuk kembali bermuafakat bersama Felda. Beliau membawa bersama mereka yang pernah menjauhi Felda atas sebab-sebab tertentu.

Kerajaan Pusat meneruskan kepentingan rakyat sepanjang ini meskipun pihak-pihak tertentu termasuk tindakan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Janganlah, bak kata peribahasa “marahkan nyamuk jangan sampai bakar kelambu”.

Persidangan UMNO Bahagian-Bahagian yang kini sedang bersidang di seluruh Malaysia telah meluluskan ­resolusi dan usul untuk menggesa kerajaan bertindak tegas dalam isu DoJ dengan mengambil tindakan ke atas mereka. Para perwakilan telah menyampaikan mesej yang tegas kepada kerajaan.

Kita kini berada di laluan untuk terus kekal dengan keputusan sekarang iaitu meneruskan sokongan kepada kerajaan BN yang mempunyai visi yang jelas untuk rakyat dan negara ini.

Jika segala apa yang dirasai dan dinikmati rakyat pada hari ini adalah sumbangan BN selama ini, tiada sebab untuk rakyat menggadai kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini. Rumusannya, sudah ada terlalu banyak bukti kejayaan dan kita tidak boleh menggadai pendirian dalam membentuk kerajaan kerana ia membabitkan kepentingan semua pihak di negara ini.

By: DS DR. IRMOHIZAM IBRAHIM.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik