Bercakap berdegar-degar kononnya ‘tahu segala benda’. Padahal sehingga hari ini pun DAP masih belum mampu selesaikan isu pemilihan partinya yang tidak sah pada Disember 2012. Atau pemilihan semula yang juga tidak sah pada September 2013.

Paparan 10 siri oleh wartawan Utusan Malaysia, ZUL KIFLI JALIL menyorot tindak tanduk percaturan DAP melalui Kit Siang dan Guan Eng dalam kemelut politik lepas dan semasa negara.

KEMARAHAN orang Me­layu terhadap DAP lebih banyak berkisar tentang ‘hal yang tidak sepatutnya dicampuri, digo­dak juga’ oleh parti itu.

Terbaharu apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan juak-juaknya menentang hebat pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 pada 6 April lalu.

Tindak tanduk Kit Siang itu barangkali menjulangnya sebagai ‘hero’ dalam kalangan penyokong tegarnya tetapi tidak sekali-kali kepada orang Melayu.

Hakikatnya, RUU 355 tidak ada kaitan pun dengan bukan Islam. Peliknya mengapa DAP sibuk menolaknya?

Tokoh undang-undang tersohor, Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim dalam tulisannya bertajuk, Islam Dalam Perlembagaan menegaskan: “Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Almarhum yang pernah menyandang jawatan ketua pengajian undang-undang di beberapa universiti dan Peguam Negara Singapura di bawah PAP yang diterajui mendiang Lee Kuan Yew seperti DAP di negara ini mencatatkan: “Pada masa sekarang bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah sangat terbatas.”

Mengikut perlembagaan, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan. Berdasarkan Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act, 1965, Mahkamah Syariah hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya.”

Bidang kuasa itu telah ditambah pada 1984 dengan melakukan pindaan kepada akta tersebut, yang membolehkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu.

Bagaimanapun, bidang kuasa itu masih rendah daripada bidang kuasa Mahkamah Majistret kelas satu yang boleh dihukum maksimum 10 tahun penjara atau hukuman penjara lima tahun dengan denda RM10,000 atau 12 sebatan atau gabungannya.

Apa yang ditakut-takutkan oleh Kit Siang terhadap RUU 355 ini kononnya membuka pintu ke arah pelaksanaan hukum hudud sebenarnya tidak berasas. Hukum hudud adalah di luar daripada RUU 355, namun terus dijadikan senjata untuk menentang Islam secara terbuka.

Cuma yang orang Melayu cukup sedih bukanlah kerana bantahan Kit Siang dan penyokong tegarnya terhadap RUU 355, sebaliknya apabila parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan ikut sama ‘menari’ mengikut rentak pemimpin DAP itu.

Ketika Kit Siang ‘mengacu-acu’ hujahnya menentang RUU 355 di Dewan Rakyat pada 6 April lalu, dengan menuding hari telunjuk ke arah Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, amat jelik menyaksikan Ahli Parlimen Shah Alam daripada PAN, Khalid Samad yang duduk di belakang veteran DAP itu hanya tersenyum lebar.

Mengapa seorang wakil rakyat beragama Islam dan pernah berada dalam Pas terikut-ikut jejak Kit Siang menentang?

Mana perginya juga taring Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin-pemimpin PAN yang lain dalam menyokong undang-undang yang tujuannya amat murni itu?

Tindak-tanduk Kit Siang dan beberapa orang kanannya sanggup mencuri masa mengumpan ahli Parlimen pembangkang lain yang bukan Islam untuk sama-sama membantah pembentangan RUU 355 itu barangkali boleh diterima kerana memang itulah sejak azalinya.

Tetapi bab pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR, PAN dan PPBM ikut jejak Kit Siang inilah yang kita umat Islam kesalkan. Macam tunggul kayu apabila menghadapi puak penentang undang-undang Islam.

Tentangan terhadap RUU 355 disifatkan oleh Abdul Hadi sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.

“Maka, begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya menimbulkan was-was di hati manusia,” kata Abdul Hadi menerusi status Facebook April lalu.

Yang hairannya, mereka yang menentang RUU 355 berkenaan bukanlah orang baharu yang baru kenal dengan hasrat dan matlamat pelaksanaannya. Salahuddin Ayub, Khalid Samad dan Mohamad Sabu bukankah anda semua dulu ahli Pas?

Tetapi selepas bermain-main di belakang tabir DAP, ketua-ketua Melayu ini menikus tanpa memperjuangkan RUU 355.

DAP dikepalai Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng bukanlah popular dalam kalangan orang Melayu.

Alasan yang diberikan Kit Siang sewaktu pembentangan RUU 355 berkenaan cuma kenapa RUU 355 diberikan keutamaan sedangkan rang undang-undang persendirian yang difailkan olehnya telah ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Tetapi mujurlah iman tetap membungkus Pandikar Amin sebelum membenarkan Abdul Hadi membacakan usulnya.

Ungkapan hikmah Pandikar Amin sebelum menangguhkan sidang dewan agak menusuk hati sanubari umat Islam: “If you are in power, you are powerful, If you don’t use your power, you are bloody fool. Maka pada hari ini, saya tidak mahu jadi bloody fool, dengan ini saya gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan (RUU 355) ini diadakan pada sesi akan datang.”

Dari: UM.