Itulah antara petikan ucapan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Julai 2012 ketika Majlis Makan Malam di Dewan SJKC San Yuk, Kampung Kenanga, Rawang. (rujuk https://www.youtube.com/watch?v=AQERzlHjjZ0).

Tun Dr.Mahathir Mohamad pula, satu ketika secara tegas menyatakan ``Orang cakap saya zalim sebab pecat Anwar Ibrahim, tapi tak apalah saya `zalim’ kat dia seorang daripada saya `zalim’ kat ramai orang. Saya mungkin ada silap sepanjang hidup tetapi memecat Anwar bukan kesilapan.’

Tetapi kelmarin, Dr.Mahathir yang mengakui melakukan `pusingan U’ dalam politik semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagaikan `menjilat ludah sendiri’ Beliau tampil mengumumkan barisan kepemimpinan Pakatan Harapan yang menyaksikan penyusunan lebih kepada mahu mengambil hati semua ahli gabungan pakatan itu dan melunaskan `dendam politiknya’.

Anwar yang dianggap oleh beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana masalah moral dilantik sebagai Ketua Umum. Walaupun pelantikan itu dilihat akan membuka ruang kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun Dr.Mahathir menyatakan tidak menyatakan secara terbuka biarpun itulah impian PKR dan DAP sejak dulu lagi.

Hakikatnya, ia bukanlah satu yang luar biasa kerana itulah perangai Dr.Mahathir. Ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, biarpun Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Dr.Mahathir dilihat tidak pernah menyatakan secara terbuka bahawa Anwar akan menggantikannya sebaliknya ayat yang sering beliau gunakan ialah, ``pengganti saya ialah Timbalan saya.’

Walaupun ketika itu ada yang membuat tanggapan bahawa Anwarlah pengganti beliau tetapi dalam kalangan penyokong-penyokong Anwar mereka melihat Dr.Mahathir tidak ikhlas untuk melantik Anwar. Begitulah juga dengan senario terbaru ini, walaupun Dr.Mahathir berkata, Pakatan Harapan akan mengemukakan pengampunan diraja untuk membebaskan Anwar tetapi beliau tidak menyatakan bahawa itu bermaksud Anwar akan menjadi Perdana Menteri.

Dr.Mahathir mungkin berbuat demikian kerana mengetahui bahawa rakyat akan dipaksa sekali lagi menyaksikan apa yang pernah beliau katakan, “Pilihan raya ini semuanya berpusing-pusing antara Anwar dan keluarganya sahaja. Bila beliau tak dapat bertanding, dia suruh isterinya jadi calon.’’

Ini memandangkan kalau Pakatan Harapan mahu Anwar menjadi Perdana Menteri, satu pilihan raya kecil perlu diadakan bagi membolehkan Anwar menduduki kerusi Parlimen. Sebelum ini, isteri beliau Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail memberi laluan kepada suaminya dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, selepas itu PKR melaksanakan `Langkah Kajang’, Wan Azizah dipilih sebagai calon bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang bermatlamat mahu meletakkan Presiden PKR itu sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ketika itu, Dr.Mahathir yang berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) berkata, `` Langkah Kajang hanyalah sandiwara politik PKR, yang tidak lain hanya bertujuan untuk memenuhi cita-cita politik Anwar. Jelas perjuangan mereka ini adalah perjuangan keluarga Anwar untuk jadikannya perdana menteri.’’

Oleh itu apakah kali ini, Dr.Mahathir benar-benar ikhlas mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri atau ia satu lagi sandiwara beliau bagi memastikan PKR menyokong misinya bagi menjatuhkan Najib?

Apapun yang tetap akan untung dalam pengumuman barisan kepemimpinan Pakatan Harapan itulah ialah DAP. Walaupun parti itu diberi jawatan Timbalan Presiden yang diwakili Setiausaha DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng, tetapi ia secebispun tidak akan menggugat apatah lagi menghakis pengaruh DAP dalam menguasai hala tuju pakatan tersebut.

Sebab itulah DAP menerima secara terbuka pembahagian jawatan yang diumumkan oleh Dr.Mahathir kerana mereka tahu, dalam apa keadaan sekalipun kuasa mereka terjejas. DAP tetap akan memenangi kerusi lebih banyak daripada PKR,PPBM mahupun PAN.

Keadaan itu berlaku kerana DAP memahami pengundi-pengundi Cina tetap akan bersama dengan mereka dan parti tersebut tidak akan mengorbankan kerusinya untuk diberikan kepada ketiga-tiga parti berkenaan.

Yang terpaksa berhempas pulas untuk memenangi banyak kerusi ialah PKR, PPBM dan PAN. PKR mungkin sudah ada kawasan sendiri tetapi bagaimana dengan PPBM dan PAN? Kedua-dua parti itu mengharapkan ihsan DAP atau PKR untuk memberikan kerusi. Tetapi perlu difahami DAP sudah pasti tidak akan membenarkan khususnya PPBM memenangi lebih banyak kerusi.

DAP sudah lama sehati sejiwa dengan PKR memandangkan PKR sentiasa sahaja mengikut rentak politik DAP. PAN pula tiada apa-apa kekuatan sekadar menjadi `pak turut’ sahaja. Nyawa politik mereka di tangan DAP dan PKR.

Justeru teori pelbagai pihak bahawa DAP tetap akan berkuasa bukanlah omong kosong. Apatah lagi tidak keterlaluan dikatakan, penggabungan PPBM ke dalam Pakatan Harapan akan memenuhi impian DAP untuk menjadi parti paling berkuasa di negara ini.

Jika sejarah politik negara dikaji, DAP sudah lama menyimpan hasrat untuk menumbangkan kerajaan BN yang UMNO menjadi tonggaknya. Pada tahun 1990, mereka bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 dan selepas itu dengan PKR, namun usaha mereka untuk memerintah negara gagal kerana Dr.Mahathir masih bersama BN. Tetapi sekarang peluang itu semakin cerah apabila orang Melayu berpecah lagi berikutan wujudnya PPBM.

Ketika pengundi-pengundi yang menyokong DAP terus kekal dan mungkin bertambah disebabkan kelemahan parti-parti komponen BN, pengundi Melayu pula berpecah kepada UMNO, Pas, PKR, PAN dan PPBM. Akhirnya siapa yang untung?

Sudah pasti bagi mereka yang mahu berfikir secara rasional akan merumuskan, pengumuman barisan kepemimpinan Pakatan Harapan hanya sekali lagi bakal meletakkan parti-parti Melayu dalam pakatan tersebut `menang sorak kampung tergadai’!

Dr.Mahathir yang sudah `masak’ dengan strategi politik DAP pasti mengetahui perkara ini, tetapi dalam masa yang kita tidak perlu terkejut dengan tindakan beliau kerana ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO pada 21 Jun 1998, Dr.Mahathir berkata beliau pernah memberitahu Anwar, ``Saya kata kepada dia, dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada kawan yang kekal. Hari ni kita lawan, esok kita berkawan dan lusa kita berkahwin terus.’ – Itulah yang beliau lakukan sekarang, biarpun yang untung tetap DAP!

By: zulkiflee bakar.