Bercakap berdegar-degar kononnya 'tahu segala benda’. Padahal sehingga hari ini pun DAP masih belum mampu selesaikan isu pemilihan partinya yang tidak sah pada Disember 2012. Atau pemilihan semula yang juga tidak sah pada September 2013.

Paparan 10 siri oleh wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL menyorot tindak tanduk percaturan DAP melalui Kit Siang dan Guan Eng dalam kemelut politik lepas dan semasa negara.

UNTUK memahami DAP, sejarah sahajalah menjadi kamusnya.

DAP adalah parti serpihan Parti Tindakan Rakyat Singapura (People’s Action Party - PAP) yang ditubuhkan pada 1954.

Pelopor awal PAP, Lee Kuan Yew bertindak sebagai setiausaha agung parti itu. Sejurus Singapura berpisah daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965, pendaftaran PAP di negara ini dibatalkan sebulan kemudian.

Bangsar, diketuai Ahli Parlimennya, Devan Nair - yang ditinggalkan oleh PAP - cuba menghidupkan PAP yang baharu dengan nama Parti Tindakan Rakyat Malaysia.

Tetapi pendaftar pertubuhan menolak penubuhan PAP kerana nama sama itu akan mengelirukan orang ramai. Oleh itu Devan Nair menggunakan nama baharu, ‘Parti Tindakan Demokratik’ atau DAP.

Pada 3 Mac 1966, surat dari Pendaftar Pertubuhan menolak penubuhan DAP kerana perlembagaan parti itu tidak selaras dengan peraturan undang-undang Perdaftaran Persatuan.

Pada 19 Mac (1966) pendaftaran DAP diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Devan Nair berulang kali menegaskan bahawa DAP tidak akan mengamalkan dasar perkauman dan berusaha mencantumkan kembali Singapura ke dalam Malaysia.

DAP yang baru ditubuhkan itu dipelopori pula oleh setiausaha politik Devan Nair, Lim Kit Siang yang dikatakan mempunyai pertalian keluarga dengan Kuan Yew yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Dalam pilihan raya umum 1969, DAP dan Gerakan (ketika itu masih menjadi pembangkang) menang besar di Selangor. Perikatan dianggotai UMNO, MCA dan MIC pula hilang majoriti dua pertiga. DAP dan Gerakan menjadi ‘besar kepala’.

DAP menggunakan kebebasan bersuara tanpa batasan dan kawalan untuk mengutuk dan menghina bangsa Melayu dengan kata-kata kesat dan mengaibkan dalam perarakan besar-besaran di Kuala Lumpur dengan membawa sepanduk dan pembesar suara.

Itu hanya baru 12 tahun selepas kaum Cina diberi taraf kerakyatan penuh melalui dasar ‘jus soli’ sebagai salah satu syarat utama British untuk kemerdekaan.

Menurut laporan rasmi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan oleh Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, tindakan DAP mengadakan perarakan jalanan meraikan kemenangan mereka dengan menghambur sentimen perkauman terhadap bangsa Melayu menjadi pencetus kepada rusuhan kaum yang menelan korban lebih 2,000 nyawa.

Pucuk pimpinan DAP sering mencanang parti itu sebagai harapan baharu untuk semua kaum dan bangsa.

Namun tindak tanduk parti itu sehingga sekarang tidak menampakkan kemurniaan berkenaan.

DAP cuba membuang imej perkauman tetapi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada pertengahan Disember 2012 seolah-olah menunjukkan trend itu.

Kesemua lapan calon Melayu tewas dalam pemilihan untuk merebut 20 kerusi CEC yang merupakan badan tertinggi parti itu.

Penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Dr. Agus Yusoff dalam satu temubual dengan portal Antarapos pada 17 Disember tahun berkenaan, berkata:

“Dia ada hasrat yang baik untuk mengubah landskap politik negara, tetapi dia gagal untuk mengubah pemikiran dari dalam terlebih dahulu. Jika begitu, DAP hanya dilihat sebagai kesinambungan kepada parti perkauman yang lain.

“Hendak kata DAP ini rasis atau menolak calon Melayu atau sebagainya, saya tidak rasa sebab parti. Tetapi sebab perwakilan. Perwakilan DAP yang masih belum lagi terbuka untuk menerima konsep kepelbagaian dalam DAP.”

Dr. Agus turut menyifatkan tindakan Lim Guan Eng melantik semula Senator Ariffin Omar bagi jawatan Naib Pengerusi parti pada 2012 itu sekadar ‘cubaannya untuk menutup malu calon Melayu sekaligus mengaburi mata rakyat dari terus dilabel sebagai sebuah parti yang rasis.

“Bagi melambangkan imej pelbagai kaum itu, dia lantiklah wakil Melayu. Tetapi wakil Melayu dalam DAP itu tetaplah satu pembahagian yang sedikit dan minimum.

“Dia cuba buang imej perkauman tetapi, pemilihan itu menunjukkan trend perkauman. Untuk menjaga imej berbilang kaum sahaja dan sebagai simbol yang tidak bernyawa.”

Ariffin semasa itu dilantik semula sebagai Naib Pengerusi parti bagi menggantikan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang meletak jawatan beberapa bulan sebelumnya. Pada masa sama, Setiausaha Politik kepada Guan Eng ketika itu, Zairil Khir Johari turut diangkat sebagai ahli jawatankuasa dalam CEC.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap di Permatang Pauh pada 4 Mei 2013 menggelar Kit Siang sebagai number one racist.

“DAP adalah rasis dan parti chauvinis. Kit Siang adalah orang nombor satu paling rasis” kata Dr. Mahathir.

Malangnya kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sanggup diperkudakan oleh DAP semata-mata kerana dendam kesumatnya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

Macam macam alasan Dr. Mahathir untuk memuji DAP seperti pengunaan bahasa kebangsaan dalam lagu DAP termasuk ucapan yang disampaikan semasa konvensyen parti itu dalam bahasa kebangsaan.

Tetapi lupakah Dr. Mahathir bahawa DAP hanya meniru strategi PAP Singapura. Lagu Kebangsaan Singapura adalah dalam Bahasa Melayu, tetapi apa terjadi kepada orang Melayu akibat dasar Malaysian Malaysia yang diamalkan di Singapura?

Dasar yang sama inilah juga digunakan oleh DAP. Mereka memperjuangkan Malaysian Malaysia atau sekarang dikenali Middle Malaysia. Itu berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak Keistimewaan Orang Melayu dalam Fasal 153.

Bahkan dalam Perlembagaan DAP cukup jelas mereka memperjuangkan penubuhan sebuah negara 'sekular'. Ini juga bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.

Apakah agaknya nasib orang Melayu di Pulau Pinang sejak pentadbiran DAP di sana bermula 2008. Adakah mereka tidak terdesak atau semakin terpinggir dan dianaktirikan?

Sejauh manakah benarnya DAP hanya menjuarai isu-isu kaum Cina?

Pada 2 Mac lalu, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyatakan: “Tun Mahathir jumpa saya dan minta jangan bersekongkol dengan DAP kerana Kit Siang anti-Melayu dan Islam.

“Kini beliau pula bersekongkol dengan Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Saya mahu tanya, adakah Tun Mahathir lupa nasihat dia kepada saya.”

Nasihat Dr. Mahathir itu disampaikan ketika Rais menjadi Timbalan Presiden Parti Semangat 46 (S46) pada 1993.

Pada tahun berkenaan, S46 dan DAP adalah sekutu dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Dari: UM.