'Pertempuran' kali ini dikatakan jauh lebih mencabar memandangkan UMNO akan turut ditentang parti serpihannya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ia ditubuhkan oleh seorang pemimpin yang pernah diberi nikmat oleh UMNO menjadi Presiden parti itu dan Perdana Menteri selama 22 tahun.

Kini tokoh berkenaan memimpin PPBM mewujudkan kerjasama dengan 'musuh-musuh politiknya’ sebelum ini iaitu PKR dan DAP. Mereka bergabung dalam Pakatan Harapan yang turut disertai PAN – parti serpihan Pas.

Antara PPBM dan PAN tiada bezanya. Kedua-duanya ditubuhkan selepas usaha menyingkirkan pucuk pimpinan parti asal mereka tidak berjaya. Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan PPBM kerana gagal menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Mohamad Sabu mewujudkan PAN selepas tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Pas.

Pada masa ini kerjasama dalam Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP masih kabur. Walaupun nampak mereka bersatu tetapi hakikatnya mereka berpecah belah kerana masing-masing mempunyai agenda politik sendiri.

Bagaimanapun ia bukanlah khabar gembira untuk UMNO dan BN. Atas sebab itulah pemimpin dan ahli UMNO yang mengadakan mesyuarat bahagian perlu mendengar nasihat Najib supaya mempersiapkan jentera pilihan raya dan merancang strategi bagi menghadapi PRU-14.

Hakikatnya, dari segi rekod, UMNO jauh lebih baik daripada semua parti pembangkang yang ada di negara ini. Malah jasa dan rekod UMNO dalam membangunkan negara serta mensejahterakan rakyat tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Tetapi kenapakah dari semasa ke semasa, masih ada kebimbangan sejauh manakah keupayaan UMNO untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang.

Berdasarkan pemerhatian, penulis yakin UMNO masih mendapat tempat di hati rakyat khususnya orang Melayu. Mereka percaya UMNO masih boleh disandarkan harapan untuk terus menerajui negara dan memperjuangkan nasib bangsa.

Tetapi pemimpin-pemimpin UMNO khususnya di peringkat bahagian serta wakil rakyat parti itu tidak kira di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu memperbaiki kelemahan. Ia bukannya berkaitan dengan soal jentera pilihan raya semata-mata tetapi lebih penting sikap dan pendekatan bagi memenangi hati rakyat.

Sama ada mahu diakui atau tidak, salah satu sikap buruk yang ada kepada sesetengah pemimpin di peringkat bahagian ialah tidak mahu melepaskan jawatan atau memberi laluan kepada calon lebih berpotensi untuk mewakili parti dalam pilihan raya.

Ada ketua bahagian yang kalau boleh mahu memegang jawatan tersebut sampai mati dan paling buruk perangai, bila tidak dipilih sebagai calon, mulalah mahu melakukan 'kerja-kerja kotor’ untuk memastikan calon dipilih oleh pucuk pimpinan parti kalah.

Pemimpin seumpama ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh dianggap pengkhianat kerana sanggup mengorbankan parti demi kepentingan peribadi.

Begitu juga dengan sesetengah ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO. Ada antara mereka sudah sampai masanya untuk bersara dan memberi laluan kepada calon lebih muda untuk bertanding. Penulis tidak menafikan ada antara mereka banyak berjasa kepada parti dan kerajaan, tetapi senario politik sudah berubah.

By: Zulkiflee Bakar.