Proses politik dalam masyarakat demokratik kita membolehkan ahli politik bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan sokongan pengundi. Mana-mana warganegara akan mengalu-alukan pertandingan ini jika ahli politik memaklumkan kepada pengundi apa yang telah mereka capai, apa yang mereka harapkan untuk capai dan bagaimana, dan apakah perkara-perkara sedia ada yang boleh diperbetulkan atau diperbaiki.

Saya percaya setiap warga Malaysia dahagakan ahli politik berkualiti yang boleh bertindak seperti seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) memberikan taklimat kepada lembaga pengarah syarikat dengan perancangan yang jelas, dan sasaran serta “model perniagaan” yang boleh dilaksanakan. Saya fikir rakyat sudah semakin bosan dengan persembahan komedi dan hiburan kononnya kempen politik yang halus terhadap pihak lain.

Apa yang lebih tidak menyenangkan dan tidak produktif untuk kesejahteraan negara ialah tindakan serta ucapan yang menggalakkan pembohongan bahaya, putar-belit, tuduhan dan innuendo palsu terhadap institusi-institusi penting serta pemimpin negara semata-mata untuk memperolehi kuasa politik.

Bagi mengelakkan sebarang salah faham, saya menyokong pemimpin politik diletakkan di bawah kanta mikroskopik bagi memastikan mereka ada sikap bertanggungjawab dan akauntabiliti.

Atas sebab ini, walaupun saya mengendalikan kes-kes saman fitnah, saya secara peribadi berasa ahli politik sepatutnya cuba mengelak mengambil tindakan saman fitnah melainkan ia mencalarkan reputasi peribadi mereka. Sebagai ahli politik, anda seharusnya bersedia menerima komen yang berpatutan dan juga kritikan.

Lebih penting lagi, saya memerhatikan ramai orang mula beranggapan ahli politik sewenang-wenangnya melanggar undang-undang atas nama ucapan politik tetapi terlepas daripada tindakan undang-undang. Kebebasan bersuara dan akses kepada maklumat merupakan elemen yang penting dalam sebuah sistem demokrasi yang vibran dan efisien.

Warga yang bermaklumat berada dalam kedudukan lebih baik untuk menilai ahli politik dari segi kualiti kepimpinan dan keupayaan. Kata kuncinya ialah “bermaklumat” dan bukan “maklumat palsu” atau “maklumat yang diputar”.

Seseorang pernah bertanya kepada saya sama ada kita boleh menyaman ahli politik yang mengeluarkan kenyataan bodoh atau lebih teruk lagi, tindakan sengaja cuba mengelirukan rakyat dengan cerita rekaan?

Jawapannya, secara umum tidak boleh. Bagaimanapun, sekiranya tindakan menyiarkan atau menerbitkan cerita rekaan itu boleh mencetuskan ketidakharmonian di dalam negara, mendorong kacau-bilau, atau melanggarkan sebahagian undang-undang negara, maka individu tersebut boleh didakwa atas sesuatu kesalahan.

Pada pandangan saya, hak kebebasan bersuara bagi ucapan politik tidak boleh melebihi hak yang diberikan kepada rakyat biasa di bawah undang-undang negara kita.

Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan rakyat biasa tidak seharusnya diberikan gambaran bahawa ahli politik berada di luar jangkauan undang-undang.

Toleransi sifar 

Saya percaya apabila tingkah laku ahli politik tidak dihadkan oleh undang-undang, ia boleh membahayakan kestabilan negara. Tidak perlu ada kompromi dalam memastikan peraturan undang-undang dipatuhi. Orang awam mengharapkan kestabilan yang datang daripada pematuhan dan penguatkuasaan kedaulatan undang-undang.

Walaupun di satu pihak saya sangat menentang sebarang undang-undang yang menindas ke arah mengehadkan ucapan politik, namun saya tidak boleh menyokong sikap tidak menghiraukan kepentingan negara.

Sebagai contoh, ucapan yang sengaja dan berniat jahat meruntuhkan institusi utama negara semata-mata untuk meraih markah politik. Begitu juga, saya tidak dapat menyokong ucapan kebencian sama ada atas nama etnik atau agama.

Mesti wujud toleransi sifar terhadap ucapan politik yang melampaui kritikan munasabah, yang dengan jelas dan berniat jahat mahu meruntuhkan institusi-institusi utama di negara ini semata-mata atas nama politik.

Terdapat banyak sebab mengapa ia sepatutnya begitu. Pertamanya ialah fakta bahawa ahli politik malangnya telah menjadi pembentuk pendapat yang kuat, terutama dalam senario politik hari ini di mana pembesar politik berada di setiap pihak “bertarung” antara satu sama demi kuasa.

Pembesar politik lebih berani dalam ucapan mereka dan sering dilihat sebagai lebih berkredibiliti dalam apa yang diperkatakan oleh penonton yang kurang bijak menilai.

Keduanya ialah hakikat kredibiliti, integriti dan kepercayaan dalam institusi-institusi utama sangat kritikal untuk ia berfungsi dan diterima oleh rakyat. Institusi-institusi berkenaan perlulah telus dan bertanggungjawab kepada rakyat serta terbuka kepada kritikan yang membina.

Bagaimanapun, hukuman dan kutukan bagi mendapat markah politik sempit, adalah satu perkara lain. Penolakan terhadap institusi-institusi utama negara mungkin menggugat ketenteraman awam, kerajaan itu sendiri, malah mungkin memberikan impak negatif terhadap sosial dan ekonomi.

Oleh itu, institusi-institusi berkenaan perlu dilindungi oleh undang-undang. Secara idealnya, sudah tentu, ahli politik sendiri perlu berhati-hati dalam menentukan isi kandungan ucapan mereka dan cara penyampaiannya.

Bagaimanapun, nampaknya dalam senario politik hari ini di mana wujud persaingan sengit untuk kuasa politik, apa sahaja boleh. Namun, walau sesukar mana sekalipun, pihak berkuasa yang berkaitan mesti bertindak sekarang bagi mengubah semula “kegilaan politik” ini sebelum negara menderita.

Kesejahteraan negara tidak seharusnya dikorbankan di atas pentas politik.

By: .