Bukit Besi terkenal kerana mempunyai hasil bijih besi berkualiti tinggi yang terbesar di dunia. Sejarah kegiatan perlombongan bijih besi di kawasan itu dimulakan oleh seorang ahli kaji bumi dari Jepun, Kuhara yang datang ke Cemuak, Hulu Dungun pada tahun 1916. Beliau mendapati daerah itu kaya dengan hasil galian tersebut. Syarikat Kuhara Mining Ltd mula menjalankan aktiviti melombong bijih secara tidak rasmi sejak 1927. Syarikat itu kemudian bertukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC) setelah kerajaan negeri Terengganu mengeluarkan lesen melombong secara rasmi pada 13 Januari 1929.

Industri pengeluaran bijih besi yang begitu rancak antara tahun 1936 hingga 1940 bagaimanapun mula malap dan berakhir pada tahun 1945 selepas Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia Kedua. Tidak ada lagi aktiviti perlombongan sepanjang tempoh 1946 hingga 1949 kerana darurat selain permintaan yang perlahan. Bagaimanapun setelah kerajaan British menjual harta lombong Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company (Emmco), aktiviti perlombongan kembali rancak dan pengeluaran secara besar-besaran bermula pada tahun 1950-an. 

Ketika itu aktiviti melombong dijalankan secara terus-menerus selama 24 jam tanpa henti kecuali pada hari Jumaat dengan menggunakan pelbagai jentera dan kelengkapan moden. Dalam tempoh antara tahun 1960 hingga 1964, sejumlah 2.6 juta tan bijih besi berjaya dikeluarkan. Bagi memenuhi kepesatan industri tersebut, landasan kereta api dibina untuk laluan Dungun-Bukit Besi. Ini untuk memudahkan hasil galian itu dibawa ke pelabuhan yang lebih dikenali sebagai Sura Jeti, sebelum dieksport ke Jepun dan Eropah. Industri berkenaan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi di Bukit Besi dan Dungun pada waktu itu. Dalam tahun 1935, jumlah penduduk di pekan Bukit Besi meningkat kepada 6,000 orang. Pendapatan penduduk juga dikatakan sangat mewah.

Kereta api itu selain digunakan untuk mengangkut muatan bijih besi ke pelabuhan turut menjadi sistem pengangkutan utama para penduduk di daerah tersebut berulang-alik ke tempat kerja di Bukit Besi. Kenangan zaman kanak-kanak, melihat gerabak kereta api melintasi pekan Sura Gate setiap hari akan terus kekal dalam ingatan penulis. 

Penulis berasal dari daerah Dungun. Pada masa itu pekan Sura Gate sangat sibuk dan meriah. Kegiatan ekonomi seharian sangat rancak. Daerah ini pada zaman tersebut sudah mempunyai padang golf, kolam renang dan kelab tenis. 

Sehingga sekarang kesan-kesan peninggalan lombong bijih besi Bukit Besi masih dapat dilihat dengan jelas di bandar Dungun. Ketulan bijih besi boleh dilihat di mana-mana sahaja. Sisa-sisa bijih besi itu terjatuh daripada gerabak kereta api yang dalam perjalanan ke pelabuhan di Sura Jeti yang sangat sinonim dengan ‘tiang-tiang Opal’. Bagi mengembalikan ingatan tentang zaman kegemilangan ini juga pihak berkuasa tempatan telah membina satu replika gerabak kereta api dengan muatan bijih besi di persimpangan lampu isyarat utama di Sura Gate. Itulah sahaja kenangan yang tinggal. 

Nostalgia dan pemandangan gerabak kereta api melewati daerah ini bagaimanapun dijangka kembali menjelang tahun 2024 apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai kira-kira RM55 bilion siap sepenuhnya. Projek pengangkutan awam mega berkelas dunia dan ‘berteraskan rakyat’ itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan. 

Perjalanan yang bermula dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak ke Kota Bharu, Kelantan hanya mengambil masa kira-kira empat jam berbanding purata tujuh jam pada hari biasa dan berbelas-belas jam ketika musim perayaan terutama ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tren ECRL akan berhenti di 22 stesen termasuk di Dungun dan Kampung Raja, Besut dua daerah yang sangat dekat di hati penulis.

Projek ECRL ini akan merubah wajah tiga negeri di Pantai Timur itu. Daerah-daerah di sepanjang jajaran landasan tersebut sudah pasti menerima kesan langsung dari aspek impak ekonomi dan sosial. Aktiviti perniagaan dan ekonomi dijangka kembali rancak selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Apa yang pasti, kemudahan kereta api bakal menjadi pilihan utama rakyat negara ini untuk ke Pahang, Terengganu dan Kelantan. Para pengguna yang sudah ‘muak dengan azab’ kesesakan jalan raya terutama pada musim cuti dan musim perayaan sangat mengharapkan ada satu perkhidmatan tren bersepadu seperti mana perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke negeri-negeri di utara Semenanjung. Walaupun harga tiket menimbulkan sedikit rungutan, orang ramai masih memilih ETS kerana mudah dan selesa. 

‘Sengsara’ memandu meredah kesesakan jalan raya yang berulang saban tahun bagi penduduk tiga negeri itu juga akan berakhir dengan adanya kereta api ECRL ini. Projek ini menjadi ‘anugerah bermakna’ untuk penduduk tiga negeri tersebut. Selama ini para pengguna jalan raya sudah lama dicengkam dengan ‘azab.’ Mereka berhadapan dengan tekanan dan stres kesesakan jalan raya, bebanan harga tol, kenaikan harga minyak, saman lalu lintas serta keadaan lebuh raya yang tidak selamat seperti Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang ‘popular’ dengan berita kemalangan ngeri dan kemalangan maut.

Rakyat Malaysia, marilah sama-sama kita berdoa agar projek ECRL berkelas dunia ini berjalan lancar, tanpa penangguhan, tidak terbengkalai dan siap sepenuhnya menjelang tahun 2024. Penulis (yang ketika itu sudah menghampiri usia 60 tahun) berdoa agar diberikan kesihatan yang baik dan panjang umur dan dapat ‘merasa’ pengalaman balik kampung ke Dungun dan Kampung Raja, Besut menaiki ECRL dengan isteri, anak dan cucu-cucu. Insya-Allah.

Dari: Razaman Ismail.