Saya teringatkan kepada suatu cerita mengenai seorang rakan yang ingin mengubah nasibnya supaya masa depan lebih terjamin. Pada 1975, rakan saya ini mula bekerja di sebuah universiti yang pada setiap tahun menghantar stafnya melanjutkan pelajaran ke tahap kepakaran yang lebih tinggi. Tetapi malangnya, dia adalah orang yang ke-25 dalam senarai giliran penghantaran.

Kalau hendak di tunggu giliran, dia terpaksa menunggu antara lima hingga 10 tahun sebelum mendapatnya. Tetapi dia telah dihantar untuk melanjutkan pelajarannya pada tahun berikutnya, dan tidak perlu menunggu sebegitu lama. Apakah sebabnya?

Dia telah melangkaui staf lain kerana dalam diam telah melayakkan dirinya melalui usaha untuk mengambil peperiksaan kelayakan dan keutamaan, sebelum orang lain berbuat demikian kerana kurang usaha. Sewaktu orang lain tidur, rakan saya itu berusaha menyiapkan dirinya.

Beliau ialah anak Melayu jati, dan yang lain-lain itu adalah bukan Melayu.

Kata rakan saya itu, kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Dia berpegang teguh kepada pepatah Melayu yang banyak terdapat dalam perbendaharaan, yang menyuruh kita berusaha sehabis daya. Dia telah menyauk air dan memandikan diri, tidak ditunggunya orang lain untuk menguruskan apa yang mampu dibuat. Memanglah dia pandai meniti buih, lalu selamat sampai ke seberang.

Dia tidak percaya kepada pepatah kalau secupak tidak akan jadi segantang kerana pepatah ini adalah amalan orang yang malas berfikir dan berusaha. Rakan saya itu tidak mahu menjadi seperti burung balam, mata lepas badan terkurung. Akhirnya, dia telah menjadi orang yang berpangkat tinggi lagi berjaya dalam kehidupannya. Saya teringat akan pepatah yang selalu menjadi panduan saya:

Mengail ikan di Tanjung Bidara

sarat sampan dengan padi,

kalau ada angin Utara,

apa kehendak semua jadi.

Beberapa tahun dulu saya menulis sebuah puisi untuk mengingatkan saya supaya sentiasa mempersiapkan diri dengan mantap untuk menghadapi cabaran dunia supaya tidak nanti terpinggir di dalam tanah air sendiri seperti pantun Melayu yang berbunyi:

Berakit-rakit ke Pulau Cendana, tiba di muara di akhir maghrib. Alangkah sakit badan terhina, sakit merana mengenang nasib.

Puisi ini memperihalkan persiapan diri untuk menghadapi masa depan seperti berikut:

AKU HANYA MAHU KE SEBERANG

Kupahat cengal menjadi perahu

dayungnya teras tembusu.

Layar bertingkat kapas gulung.

Tiangnya tegap kayu nibung.

Panjinya kain suluk atma

tenunan kekasih di kamar waja.

Esok, perahu akan ke air,

mengharung samudera,

meninggalkan pantai

melawan ombak dan badai.

Perahuku kecil,lautnya ganas.

Tenanglah laut, kuala dan muara.

Ombak jangan gila melanda.

Tiuplah bayu pada layarku laju.

Dayung jangan patah.

Layar jangan rekah.

Tiang jangan rebah.

Tuhan,

Aku hanya mahu ke seberang.

Kalau kita hendak maju ke hadapan, perkara utama yang mesti berlaku adalah perpaduan antara kita. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Semua orang tahu kata-kata ini tetapi mengapakah di antara kita sendiri sudah banyak terdapat perpecahan?

Tuhan sendiri menyuruh kita memupuk silaturahim sesama manusia. Kita telah berpecah tiga atau empat pada waktu ini . Inilah yang telah melemahkan kita, dan memberikan peluang bagi orang yang membenci kita untuk mengambil peluang dan menjadi lebih garang dan kuat. Melaka yang telah roboh mesti kita bina semula:

Binalah Tun Perak Melakamu itu,

dengan Hang Tuah yang setia,

Si Jebat yang berbara,

Kasturi, Lekir, Lekiu yang sekata.

Bukankah kukuh itu puncanya setia?

Bara penghindar leka,

dan sekata untuk terus mara?

Mari kita bersama bina kekuatan, daya tahan dan kemajuan dengan kebijaksanaan, fikiran, perpaduan dan keinsafan.

MARA DENGAN FIKIR

Kita genggamkan kekuatan, 
ke dalamkepalan tangan kanan.

Kita tumbuk tembok batu, 
penyekat kemahuan.

Yang tumbang kita

tembok tetap di situ.

Kita perahkan fikiran, damaikan otak dengan hati.

Kita susur tembok batu,penyekat kehendak.

Yang lalu kita

tembok berdiri kaku.

Kita perahkan fikiran,

damaikan otak dengan hati.

Kita genggam kekuatan, ke dalam kepalan tangan kanan.

Kita tumbuk tembok batu, penyekat kemahuan.

Yang mara kita,

tembok berkecai jadi debu.

Bangsaku, marilah kita bersama belayar dengan bahtera yang kukuh. Kita malimkannya dengan handal hingga sampai ke seberang. Jangan gentar pada laut yang luas atau pada ombak yang ganas. Kalau kita pegang tali persaudaraan di jalan Allah, pasti kita akan menang. Jambatan persaudaraan yang kita bina ini jangan ditinggalkan menjadi sepi. Kita mesti menitinya.

Lebih baiklah kita berkemas sebelum ribut dan taufan melanda, supaya kita tidak ditimpa sengsara. Kita mesti mempercepatkan kaki dan meringankan tangan untuk membina peradaban kukuh yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas, walau zaman berganti zaman. Jangan kita terngadah setelah terhantuk. Janganlah kita juga nanti menjadi seperti abu di atas tunggul, datang angin hilanglah ia.

Kalau orang membelah atom, mari kita belah matahari. Haiyaalal Falah bangsaku.

By: DATUK DR. HASHIM YAACOB.