Selepas kejayaan melancarkan Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT), ECRL adalah satu lagi projek yang menunjukkan dengan jelas tentang penekanan kerajaan terhadap sistem pengangkutan awam negara. Tidak hanya tertumpu pada bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, kawasan-kawasan lain terutamanya luar bandar juga memerlukan sistem pengangkutan awam yang cekap. 

Dalam konteks ini, ECRL adalah projek berimpak tinggi yang menghubungkan tiga negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor. Penduduk-penduduk Pantai Timur tidak boleh ketinggalan dari aspek sistem pengangkutan awam yang cekap dan berintegriti. 

Dengan sistem pengangkutan awam yang cekap, penduduk hatta pelancong sekali pun mudah berulang alik dari satu destinasi ke destinasi lain.

Selama ini, digambarkan oleh pihak-pihak tertentu bahawa kerajaan hanya memberi tumpuan kepada sistem pengangkutan awam di Lembah Klang. Dari satu sudut, sememangnya sistem pengangkutan awam di Lembah Klang perlu ditingkatkan pada tahap yang paling cekap. 

Ini memandangkan Lembah Klang adalah nadi ekonomi Malaysia. Dengan adanya sistem pengangkutan awam yang cekap di Lembah Klang, maka aktiviti-aktiviti ekonomi akan berjalan lebih lancar lagi tanpa sebarang masalah. 

Ini pastinya akan menjana ekonomi individu, syarikat dan negara pada tahap yang lebih baik. Jadi, atas faktor inilah sistem pengangkutan awam di Lembah Klang terlebih dahulu perlu mencapai tahap paling cekap. 

Apabila sistem pengangkutan awam di Lembah Klang sudah mencapai tahap cemerlang, maka barulah sistem pengangkutan awam di kawasan-kawasan lain pula perlu dimajukan.

Hal ini cukup penting kerana tanpa sistem pengangkutan awam yang cekap di Lembah Klang, mana mungkin kawasan-kawasan lain dapat dihubungkan dengan kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai di Lembah Klang. 

Sayugia diingatkan, di Lembah Klanglah adanya ibu negara. Di situ jugalah terdapat banyak ibu pejabat syarikat terkemuka di Malaysia dan di dunia. Malah, di situlah terdapatnya pusat pentadbiran kerajaan, iaitu Putrajaya. 

Jadi, mahu tidak mahu, sistem pengangkutan awam di Lembah Klang perlu dimajukan dan selepas itu kesannya akan dirasai oleh negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan. 

Sebab itulah kerajaan telah mengambil langkah tepat memajukan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang. 

Dari satu sudut lain pula, kerajaan tidak pernah melupakan pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar. ECRL adalah satu contoh bahawa kerajaan berusaha untuk memajukan sistem pengangkutan awam di negeri-negeri Pantai Timur. 

Sebelum ini, umum mengetahui mengenai projek Kereta api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Lembah Klang dengan negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia dan Singapura. Tidak kurang juga, kerajaan telah melancarkan Perkhidmatan Kereta api Elektrik (ETS) yang menghubungkan Lembah Klang dengan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. Maka sudah sampai masanya ECRL menjadi penghubung antara negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Cuma malang sekali, kerajaan telah menyediakan sistem pengangkutan awam di seluruh negara tetapi dalam tempoh jangka masa panjang, kelestariannya tidak dijaga. Misalnya, dari segi kebolehpercayaan pengguna terhadap ketepatan masa sesuatu sistem pengangkutan awam itu sendiri.

Penulis sendiri telah mengalami peristiwa yang sukar dilupakan semasa menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara melibatkan sebuah syarikat penerbangan swasta. 

Peristiwa ini berlaku pada Mac lalu yang mana jadual penerbangan penulis dari Kuala Terengganu ke Subang telah dibatalkan tanpa dimaklumkan oleh pihak pengurusan syarikat penerbangan tersebut. 

Penulis hanya dimaklumkan mengenai pembatalan jadual penerbangan semasa ingin membuat pendaftaran masuk di kaunter syarikat penerbangan tersebut. Pembatalan jadual penerbangan itu telah memberi kesan terhadap jadual penerbangan penulis dari Subang ke Alor Setar pada hari yang sama. 

Apa yang menghampakan penulis, kakitangan syarikat penerbangan berkenaan tidak bertindak pantas menyelesaikan isu ini sedangkan ramai lagi penumpang mengalami masalah yang sama yang dicetuskan sendiri oleh syarikat penerbangan tersebut.

Dipendekkan cerita, akhirnya penulis dapat juga mendaftar masuk dengan cara manual, iaitu pas pelepasan dan label beg yang sepatutnya didaftar masuk secara berkomputer telah ditulis dengan tangan. Kedua-dua pas pelepasan dan label beg yang ditulis tangan tersebut disimpan oleh penulis sehingga ke hari ini. 

Selain itu, penulis juga ada membuat aduan bertulis kepada syarikat berkenaan setibanya penulis di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada hari berkenaan, Namun, sehingga ke hari ini tiada sebarang jawapan daripada mereka.

Oleh kerana berasa hampa dengan kualiti perkhidmatan pengangkutan udara yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan, penulis mengambil keputusan untuk tidak lagi menjadi penumpang setia syarikat penerbangan tersebut. 

Justeru, untuk bergelar sebagai sebuah negara maju, mahu tidak mahu, sistem pengangkutan awam yang cekap perlu dikekalkan dan dilestarikan tanpa memperjudikan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna.

Sememangnya rakyat Malaysia boleh berbangga dengan kejayaan memiliki sistem pengangkutan awam bertaraf dunia yang telah dan sedang diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan. 

Namun,tanggungjawab ini juga perlu dipikul oleh individu rakyat Malaysia dan syarikat yang mengendalikan pengangkutan awam bagi memastikan sistem pengangkutan awam Malaysia kekal lestari untuk diwarisi kepada generasi masa hadapan.

Bu; Rohamie Shafie.