Sunday, August 13, 2017

JANGAN UNGKIT KES ANWAR KATA MAHATHIR.

tun_jangan_ungkit.jpg

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penyokong pembangkang harus melupakan sebarang 'dosa' melibatkan beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika serius mahu menawan Putrajaya. 
 
"Semua orang banyak dosa. Kalau ungkit benda lama ia akan pecah belahkan kita. Kalau kita nak menang kita bersatu. Jangan soal tentang perselisihan faham antara kita. Fokus kepada objektif," katanya pada  forum 'Nothing To Hide 2.0', di Shah Alam hari ini.
 
Beliau mengupas pemecatan Anwar daripada Umno dan kerajaan yang disusuli dengan pemenjaraan beliau selama enam tahun atas kesalahan sodomi pada tahun 1998 semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. 
 
Sehingga sekarang penyokong tegar Anwar menganggap Dr Mahathir sebagai dalang konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar yang menjadi timbalan beliau dalam kerajaan dan parti ketika itu. 
 
Pada forum hari ini, Mahathir yang kini menjadi pengerusi Pakatan Harapan (PH) dengan Anwar selaku Ketua Umumnya mendakwa Anwar sendiri tidak menunutut sebarang penjelasan atau memintanya memohon maaf keatas musibah yang melandanya. 
 
"Saya jumpa dengan Anwar, yang peliknya dia tidak tanya soalan itu. Anwar tidak tegur saya buat aniaya pada dia atau tidak. Itu perkara lama, kalau kita nak ungkit perkara lama sampai sudah tak habis.
 
"Saya jumpa Anwar banyak kali, Anwar tak minta pun saya minta maaf," kata Dr Mahathir. 
 
Dr Mahathir mendakwa beliau dan Anwar bersetuju bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dijatuhkan dan menggesa penyokong pembangkang untuk tidak mengimbau masa lalu. 
 
Forum 'Nothing To Hide' anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kecoh apabila hadirin yang tidak dikenali bertindak membaling kerusi dan botol air ke arah pentas ketika  Dr Mahathir sedang menjawab soalan hadirin. 
 
Kekecohan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam itu tercetus apabila individu berkenaan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Dr Mahathir bersabit peristiwa Memali ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Dari: Antarapos.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik