Kami diberitahu, Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, akan datang ke Sungai Besar.

Tiba hari yang diperkatakan, orang ramai membanjiri padang sebuah kawasan yang dikenali Tonggak 10.

Di atas pentas kelihatan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (ketika itu Menteri Besar Selangor), Allahyarham Tan Sri Mohamad Rahmat (Menteri Penerangan) dan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub.

Inilah kali pertama saya melihat pemimpin secara ‘langsung’ dan lebih dekat.

Tugas saya pada hari itu adalah mengedarkan nasi bungkus kepada yang hadir di dua lokasi berlainan iaitu Parit 2 Barat dan Tonggak 10. Upahnya tugasan seharian adalah sekadar RM5. Cukuplah untuk makan minum saya ketika itu.

Sebenarnya bukanlah menjadi rahsia lagi yang program Setia Bersama Rakyat atau Semarak yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri, timbul hasil daripada krisis kepercayaan rakyat terhadap dirinya sendiri.

Rakyat masih ingat pertarungan politik hebat dalam UMNO pada 1987. 

Apabila Dr. Mahathir dicabar pada tahun berkenaan yang terjadi disebabkan krisis kepimpinan di dalam parti, beliau menyatakan separuh daripada orang dalam parti tidak menyokongnya.

Mana kita boleh lupa yang beliau ketika itu hanya memperoleh 43 undi! 

Oleh sebab itu, Dr. Mahathir terpaksa pergi kepada akar umbi untuk memberitahu orang UMNO bahawa “saya mendapat sokongan daripada rakyat.”. 

Atas dasar itu, kempen Semarak menjelajah ke seluruh negara. 

Semarak menurut Dr. Mahathir, kononnya lebih kepada kempen meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat. Tetapi realitinya lebih kepada usaha untuk Dr. Mahathir mengekal status quo beliau dalam kerajaan dan parti serta ‘mengangkat’ kembali imej dan maruahnya ketika itu yang sedang tercalar.

Sebab itu, walaupun teruk diserang kiri dan kanan, Dr. Mahathir terus mendapat sokongan terutama dalam kalangan ahli UMNO yang membulatkan tekad untuk terus setia padanya atas prinsip kesetiaan kepada pemimpin.

Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pernah mengulas mengenainya dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu. Najib berkata, prinsip kesetiaan kepada pemimpin dan falsafah wala’ yang sentiasa dipegang dirinya dan ahli-ahli UMNO lain selama ini adalah antara sebab UMNO mampu bertahan sehingga kini.

Malahan, katanya, masih diingat bagaimana beliau terpaksa ‘mengetepikan’ Tengku Razaleigh Hamzah sehingga rakan baiknya itu berkecil hati semata-mata mahu menunjukkan kesetiaannya terhadap Dr. Mahathir selaku presiden parti pada pemilihan Presiden UMNO 1987.

“Dalam episod pertembungan antara Team A dan Team B, semasa pemilihan Presiden UMNO pada 1987, sebagaimana yang telah saya sebutkan pada perhimpunan agung tahun lalu, ketika itu siapa yang setia berada di belakang Dr. Mahathir kalau bukan kita, ahli-ahli UMNO.

“Hinggakan Tengku Razaleigh ketika itu berkecil hati atas keputusan saya dan pasukan berpihak kepada Dr. Mahathir. Namun ketahuilah, saya lakukan itu semata-mata berpegang atas prinsip wala’ dan tuntutan kesetiaan kepada seorang presiden parti, walaupun secara peribadinya saya sangat akrab dengan Tengku Razaleigh dan sehingga kini saya tetap menghormati beliau sampai bila-bila,” 

Hari ini imej Najib tercalar diserang oleh pihak pembangkang atas pelbagai tohmahan mereka. Saya bersama-sama jutaan ahli UMNO lain mengamalkan konsep setia ini ke atas Najib yang kini Perdana Menteri dan presiden parti? 

Adakah ini satu kesalahan?

Kenapa pula Dr. Mahathir dan sekutunya sangat marah bila jutaan ahli parti memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti mereka sendiri?

Dan bukankah Dr. Mahathir juga mengajar kami perkara yang sama dalam program Semarak yang dianjurkannya ketika di tampuk kuasa dulu?

Mengapa Dr. Mahathir tidak memberi pandangan sinis kepada penyokong yang membuta tuli ke atas Ketua Umum sebuah parti yang sudah diputuskan bersalah ke atas kesalahan jenayah dan penyokongnya menganggap pemimpinnya masih tidak bersalah?

Wala’ dari segi bahasa ialah penjaga, pemimpin, pelindung dan penyerahan malah, ia juga membawa maksud dekat, kasih, mengikut, memberi pertolongan dan perlindungan.

Menurut Timbalan Syeikh Universiti Al-Azhar Mesir, Prof. Dr. Abbas Syuman, konsep itu juga akan menentukan sesebuah kerajaan dapat bertahan lama dalam keadaan aman dan harmoni.

“Kesetiaan merujuk kepada semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya.

“Ia menjadi tuntutan agama lebih-lebih lagi dalam budaya pandangan dan tindakan politik berasaskan prinsip spekulasi dan andaian pada hari ini,” katanya.

Boleh rujuk apa yang saya katakan itu dalam ucaptama Dr. Abbas di Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara baru-baru ini. 

Di saat pemimpin kita ditohmah, salahkah kita mempertahankannya?

Sekurang-kurangnya Najib telus bila memperkatakan mengenai konsep setia, dari bawah ke atas dan bukan seperti Dr. Mahathir yang terpaksa mengarahkan juak-juaknya dan agensi-agensi kerajaan yang ada untuk mengaburi rakyat di sebalik roadshow Semarak dulu.

Kami tidak lupa Tun M.

Penulis ialah Ahli Parlimen Sg Besar.

Dari: UM.