Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, adalah tidak wajar hanya sebelah pihak yang didakwa sahaja disiasat manakala pihak membuat dakwaan iaitu Dr. Mahathir tidak perlu berbuat apa-apa.

Beliau mengingatkan bahawa bekas Perdana Menteri itu juga tidak sempurna selama memerintah negara kerana Dr. Mahathir sendiri bukanlah merupakan malaikat.

“Jangan kita sahaja menari mengikut rentak mereka. Dr. Mahathir juga perlu disiasat (atas kekayaan dimilikinya dan ahli keluarga),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri; Setiausaha UMNO Bahagian Kangar, Datuk Abdul Jamil Saad dan para pemimpin daripada ketiga-tiga bahagian di negeri ini.

Hishammuddin diminta mengulas kesediaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan memiliki simpanan di dalam akaun bank sebanyak RM230 juta oleh Dr. Mahathir.

Beliau berpendapat tuduhan terhadap Ahmad Zahid itu tidak lain adalah merupakan satu bentuk serangan individu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 
(PRU-14).

“Tidak mustahil selepas ini, saya juga akan diserang dan begitu juga menteri-menteri lain. Oleh itu, saya nasihatkan jawab (tuduhan) dan pada masa sama teruskan bekerja,” ujarnya.

Ahmad Zahid kelmarin menegaskan beliau bersedia untuk disiasat SPRM berhubung tuduhan Dr. Mahathir itu. 

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau rela untuk disiasat demi memperbetulkan apa yang disifatkannya sebagai satu pembohongan besar tetapi pada masa sama, kekayaan yang dimiliki bekas Perdana Menteri itu termasuk anak-anaknya juga perlu disiasat SPRM.

Dari: UM.