Pada waktu itu, terutama di Universiti Kebangsaan Malaysia (yang ditubuhkan untuk menjadi bukti bahasa Melayu dapat menjadi bahasa pengantar di menara gading), semua pensyarah tempatan menyampaikan kuliah dalam semua bidang ilmu dalam bahasa Melayu.

Tesis sarjana dan kedoktoran ditulis dalam bahasa Melayu. Dalam dunia akademik, kemuncak kesarjanaan seseorang profesor ialah penyampaian syarahan perdana dalam bidang pengkhususan masing-masing.

Sejak tahun 1980-an, puluhan syarahan perdana dalam pelbagai bidang seperti perubatan, kejuruteraan, pergigian, fizik, kimia, perakaunan dan banyak lagi telah disampaikan dalam bahasa Melayu oleh profesor-profesor Melayu dan juga bukan Melayu.

Ternyata bahawa bahasa Melayu dalam tahun 1980-an, telah berjaya digunakan di institusi-institusi pengajian tinggi dengan amat jayanya.

Telah dinyatakan terdahulu (bahagian 1) bahawa awan mendung telah meliputi suasana kebahasaan di negara ini apabila beberapa pihak, terutama pucuk pimpinan yang dikepalai oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu) mula berasa risau tentang penguasaan bahasa Inggeris yang amat lemah dalam kalangan para pelajar dan remaja.

Mereka bimbang kelemahan dalam bahasa Inggeris ini akan menjejaskan usaha untuk memajukan negara dan mereka mencari jalan untuk mengatasi kelemahan ini.

Maka berlakulah tindakan yang amat memeranjatkan rakyat jelata kerana pucuk pimpinan menyelesaikan persoalan ini dengan menukar dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar digantikan dengan bahasa Inggeris. Mula-mula sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik (melalui dasar PPSMI), kemudian bagi mata-mata pelajaran lain.

Dengan kata lain, pucuk pimpinan telah mengambil keputusan bahawa kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia disebabkan oleh penggunaan bahasa Melayu - satu pemikiran yang sungguh aneh.

Akibatnya, dalam sekelip mata, kedudukan bahasa Melayu berubah daripada menjadi bahasa utama dalam sistem pendidikan negara kepada bahasa yang dianggap tidak mampu menjadi bahasa ilmu, dan dalam peredaran masa, bahasa yang hanya layak untuk mengajarkan perkara-perkara bukan dalam arus perdana pendidikan moden seperti pendidikan jasmani, lukisan, kesusasteraan Melayu, dan seterusnya.

Namun begitu, dasar PPSMI ditolak oleh rakyat jelata. Gerakan menentang dasar ini berjaya memaklumkan pucuk pimpinan tentang betapa tidak bijaknya dasar ini dan setelah beberapa tahun dilaksanakan, dasar PPSMI akhirnya dimansuhkan.

Tetapi kesan buruk tetap dapat dilihat - satu generasi pelajar telah memperoleh pendidikan mengikut dasar ini. Dalam erti kata bahawa mereka telah menerima pendidikan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dan penguasaan mereka dalam kedua-dua bahasa ini tidak dapat dikatakan membanggakan.

Yang terakhir ialah dasar Dual Language Policy (DLP), iaitu langkah yang memperkenalkan pengajaran dalam dua bahasa (Melayu dan Inggeris) dan memberi pilihan kepada ibu bapa dan sekolah untuk memilih bahasa mana untuk digunakan sebagai bahasa pengantar. Walaupun ini kelihatan adil, hakikat menunjukkan bahawa sebahagian besar sekolah terutama di bandar, akan memilih bahasa Inggeris dan trend ini akan menjadi ikutan sekolah-sekolah-sekolah lain kecuali sekolah di luar bandar yang sejumlah besar pelajarnya terdiri daripada orang Melayu. Kesan program DLP ini ialah:

i) Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara yang mengikut undang-undang ditetapkan sebagai bahasa pengantar utama, telah dipinggirkan, diambil alih oleh bahasa Inggeris. Tindakan ini sesungguhnya melanggar undang-undang negara.

ii) Sekali lagi, seperti dengan dasar PPSMI, program DLP mengandaikan bahasa Melayu tidak mampu menjadi saluran untuk memperkatakan ilmu pengetahuan moden.

iii) Program DLP akan meminggirkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

iv) Jati diri dan maruah bangsa akan terjejas. Masyarakat Malaysia kurang jelas tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan seterusnya sebagai alat perpaduan. Soal jati diri telah terketepi demi mengejar kemajuan, kononnya.

Bahasa kebangsaan mempunyai kaitan dengan maruah dan jati diri bangsa. Oleh itu kedudukannya amat penting dalam

konteks negara. Oleh demikian, kedudukannya sebagai bahasa pengantar, bahasa rasmi, dan bahasa perhubungan perlu dijaga agar tidak terjejas dan sekali-kali tidak terpinggir.

Tiada negara yang berdaulat yang tidak mempunyai bahasa kebangsaan sendiri dan tiada negara yang pernah dijajah memilih bahasa bekas penjajah sebagai bahasa utama negara mereka.

Bahasa Inggeris pula ialah bahasa perhubungan dengan dunia luar dan bahasa untuk menimba ilmu pengetahuan.

Maka bagi mereka yang berada dalam keadaan ini, iaitu berhubung dengan dunia luar dan golongan ilmuwan, penguasaan bahasa Inggeris mereka hendaklah baik.

Kesimpulannya, perlu diwujudkan sikap yang betul terhadap bahasa Melayu dan bahasa Inggeris agar tidak timbul kekeliruan. Bahasa Melayu mempunyai unsur emosi apabila dikaitkan dengan aspek kenegaraan, jati diri dan maruah bangsa. Sikap terhadap bahasa Inggeris harus bersifat utility, iaitu sebagai alat yang sangat penting dan bermanfaat dan perlu dalam konteks globalisasi.

Kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris hendaklah dikuasai dengan baik.

Tulisan: Datuk Dr. Nik Safiah Nik Abdul Karim.