Mungkin, perkara itu nampak seperti biasa dan tidak ada apa-apa yang perlu dibahaskan di sini, namun itulah yang berlaku berdasarkan pengalaman lampau Petugas Tabung Haji dalam menghadapi isu pergaulan di Tanah Suci ini.

Salah satu yang dinyatakan ialah berkaitan perselisihan faham antara suami dan isteri. Benar, kita menyatakan itu tidak berlaku kerana masing-masing saling faham memahami, berjanji mengawal perasaan masing-masing dan tidak mahu bermasam muka berada di Mekah mahupun Madinah.

Maklumlah, dalam melalui seluruh pelaksanaan musim haji ini apatah lagi berada di maktab, tempat penginapan untuk suami dan isteri adalah berasingan, di mana mereka hanya bertemu di kafe, bersama ke masjid mahupun berjalan sama.

Ada juga hal yang berlaku sebagaimana yang dinyatakan dalam buku berkenaan soal cemburu yang tidak berasas.

Umpamanya, apabila ada jemaah wanita yang menumpang mahram dengan suami orang ketika melakukan ibadah atau memenuhi keperluan peribadi.

Hubungan suami dengan wanita terbabit, menyebabkan isterinya merasa cemburu. Hal itu menimbulkan ketegangan sehingga terbawa dalam ibadah dan ada kalanya di bawa pulang ke tanah air.

Maka dalam hal ini, benarlah bahawa perlu ada batasan hubungan berkenaan antara wanita, isteri dan suami supaya tidak berlaku hal melanggar kesantunan hubungan.

Bukan itu sahaja, betul apa yang diulas dalam buku tersebut, di mana terdapat juga isu remeh yang membawa ketegangan, tidak bercakap dan memendam perasaan.

Soal kecil boleh meledak menjadi isu besar. Contohnya mungkin, suami telah menetapkan masa dan tempat untuk bertemu selepas solat fardhu, malangnya isteri yang ditunggu tidak timbul. Isteri pula pada masa sama berhadapan masalah telefon tidak berfungsi disebabkan masalah sim kad di sini.

Bila isteri muncul, suami mulalah merungut. Isteri pula berikan alasan, tetapi tidak diterima sebab suami telah keletihan.
Kadang-kala melucukan. Cuba bayangkan yang berselisih faham itu jemaah haji yang telah berumur.

Bukan itu sahaja, soal kecil lain seperti jalan lambat, tinggalkan isteri di belakang, tidak mahu berpegang tangan atau makan seorang diri, tidak menghubungi melalui telefon dan macam-macam lagi, semuanya menyebabkan berlakunya suasana tegang.

Lebih tidak seronok apabila masing-masing tidak mahu bercakap dan membawa diri sendiri ke Masjidilharam. Bila dinasihat, masing-masing berkata, "biarkanlah, taulah dia jaga diri. Serabut sudah."

Satu lagi perkara menarik apabila ada suami yang tidak langsung ambil peduli hal isteri apabila berada di Tanah Suci, dengan harapan isteri tadi tahu menjaga diri sendiri, maklumlah kata mereka, "ibadah untuk kita-kita sahaja."

Membantu 

Bila mula bersembang dengan rakan sebilik, isteri mula disisih. Disuruh membelikan sarapan pun, perit rasanya sebab rakan sebilik ajak 'melepak' dan berbual kosong.

Akibatnya isteri mulalah bergantung kepada rakan sebilik dan lama kelamaan menjadi semakin 'panas'.

Kadangkala Allah SWT mahu menyerlahkan keperibadian sebenar kita di Tanah Suci. Mungkin di tanah air kita tidak begitu. Belum isteri suruh, sarapan sudah ada di atas meja.

Kalau yang lebih manja, disuapkan ke mulut isteri roti canai yang dibeli di kedai-kedai mamak.
Oleh yang demikian, ambillah tahu hal isteri semasa di Tanah Suci ini.

Sebelum berangkat tempoh hari, tentulah telah kita nyatakan, "abang akan jaga sayang di Tanah Suci", tapi nampaknya ada yang telah lupa perkataan itu sebaliknya berkata, "sayangkan boleh jaga diri. Kalau ada apa-apa, roger aje".

Hendak kata apa, semuanya boleh berubah bila berada di Tanah Suci, yang penting niat perlu betul dan perbanyakkan doa supaya isu pergaulan ini tidak berlaku pada diri kita.

Ragam rakan sebilik juga selalu menjadi topik yang dihadapi Pusat Khidmat Pelanggan mahupun pengurusan maktab penginapan Tabung Haji di Tanah Suci.

Kita semua maklum, dalam bilik itu ada lima atau enam orang jemaah, yang mempunyai pelbagai latar belakang dan umur yang berbeza. Baguslah kalau dalam rakan sebilik ada yang 'otaknya sama'. Panggil 'bro' pun tidak ada siapa yang hendak ambil kisah.

Tetapi kenalah juga menjaga perasaan setiap rakan sebilik dan tolak ansur itu adalah penting. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Sabarlah kerana sebarang kemungkinan yang akan berlaku, bila ada yang terlalu menyentuh peribadi.

Selain itu juga, janganlah kita fikir hanya diri kita sahaja yang hendak mendapatkan haji mabrur. Kita seorang sahaja yang hendak bersenang sedangkan jemaah lain bersusah membantu sesama mereka.

Tidak bolehlah kita menjadikan maktab penginapan seperti pejabat kita. Semua yang kita hendak, kita boleh dapatkan masa itu juga. Bilik yang tidak bersapu atau dikemaskan pun, kita sudah merasa merungut. Habuk di lantai, kita rasa seperti 'debu di padang pasir'.

Kalau susah sangat menunggu untuk dibersihkan bilik, kita belilah penyapu di kedai tepi lorong.

Kita sapulah sendiri, lama-lama rakan sebilik pun naik segan dan menolong membersihkan bersama. Itu belum kira baju yang dilonggok atas katil, beg yang besar di hujung katil.

Makanan yang tidak habis, botol air berselerak. Pendek kata, berada di Tanah Suci ini mengajar kita menjadi dewasa di minda dan hati.

Betul umur kita kadangkala sudah 40 tahun, ada yang 60 tahun, belum tentu otak kita sama dengan usia. Mungkin pada masa ini, otak kita macam 'budak-budak' kecil.

Jadi bersyukurlah dengan apa yang ada. Jika dibandingkan dengan jemaah haji yang lain, kita jauh lebih baik dari segi persiapan yang dilakukan oleh Tabung Haji, sama ada nasihat hubungan suami isteri, kekeluargaan, hal ehwal kebajikan dan sebagainya.

Semuanya telah disusun dan di atur dengan baik. Jadi harmonikanlah ibadah dengan kesantunan dan penuh tertib. Kita adalah jemaah haji yang terbaik. 
– 

Dari: MM.