Barangkali para pemimpin tertinggi BN sudah terhidu muslihat di sebalik ‘keyakinan positif’ kelompok Pakatan Harapan itu. Justeru, para pendukung dan penyokong BN serta majoriti rakyat yang mahu melihat negara terus stabil diingatkan supaya tidak mengambil mudah soal sokongan umum terhadap parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya jentera parti BN perlu terus bekerja kuat bagi meyakinkan rakyat supaya menyokong mereka demi memastikan kelangsungan dasar dan program kerajaan yang dirangka dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa terencat dan terhalang. Mereka tidak boleh leka dan mudah selesa dengan ‘alunan kemenangan mudah’ yang cuba ‘dibuai’ oleh pakatan pembangkang sehingga mengendurkan kesungguhan untuk menawan hati rakyat.

Ada yang memilih untuk menggunakan istilah: “Jangan mudah tergoda dan terpesona dengan helah pembangkang kerana di penghujung matlamat adalah untuk merubah kerajaan yang ada.” Hakikatnya ‘perubahan kerajaan’ selalunya bermaksud memulakan rentetan huru-hara dan pergolakan. 

Lebih membahayakan, pihak pembangkang terus menghasut rakyat melalui pelbagai kaedah dan pendekatan, terutama menerusi media sosial. Mereka cenderung menabur fitnah dan ‘memutar-belit’ fakta dan kenyataan. Tujuannya bagi meracuni pemikiran rakyat. Akhirnya rakyat menjadi keliru, seterusnya ‘pendirian’ mereka dapat ‘ditawan’ pembangkang.

Politik dan proses pilihan raya adalah sesuatu yang penting dan tidak boleh dipandang mudah pada bila-bila masa. Segalanya berkaitan ‘kuasa’. Justeru pemikiran rakyat atau pengundi perlu dipastikan sentiasa jelas, yakin dan fokus dalam membuat pemilihan. Jika tidak mereka mungkin terperangkap dengan dakyah dan pengaruh negatif yang tidak menguntungkan.

Di beberapa negara Eropah sudah terbukti berlaku aliran pemilihan yang ada ‘kelainan’ daripada biasa pada pilihan raya umum (PRU). Ada negara yang ketara kuasa penentunya berada di tangan golongan muda. Ada pula negara menyaksikan parti politik yang sejak sekian lama mendominasi pemerintahan mampu ‘ditukar’ oleh pengundi.

Cuma perlu ingat, di Malaysia suasana politiknya tersendiri. Rakyat Malaysia bersifat majmuk dan ada struktur asas yang perlu dikekal dan dipertahankan. Ada butiran pada Perlembagaan Persekutuan yang perlu dijadikan panduan. Ertinya, kestabilan Malaysia banyak terletak pada parti pemerintah yang kuat dan benar-benar memahami keperluan sebenar struktur politik negara. 

Pembangkang dilihat cuba memainkan psikologi apabila turut ’mengakui’ BN berpotensi menang mudah pada PRU-14. Niat mereka bukan saja untuk membuatkan jentera pilihan raya BN mengurangkan kesungguhan mendekati rakyat, tetapi cuba memberi isyarat kepada pengundi untuk terus ‘menafikan’ pencapaian dua pertiga kerusi BN di Dewan Rakyat. Mungkin juga ada unsur-unsur ‘meraih simpati’ rakyat. 

Pada masa sama umum mudah pula ‘membaca’ strategi pembangkang itu. Misalnya, umum boleh berkata: “Patutlah DAP takut mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebagaimana arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), rupa-rupanya mereka sedar BN masih kuat dan sukar digugat.”

Setelah berada dalam keadaan ‘terdesak’, didakwanya pula, perintah mengadakan pemilihan semula CEC oleh ROS itu ada kaitan dengan unsur sabotaj kerajaan di bawah BN. Lalu, ramai yang menempelak sikap DAP yang suka ‘menyangkut masalah’ di bahu pihak lain. DAP tidak pula mengakui ketegasan ROS bertindak tanpa gentar dan pilih kasih (fear and favour) itu sehingga pernah mengharamkan UMNO pada suatu ketika dahulu. 

Umum juga mungkin berkata: “Patutlah kerajaan PKR Selangor masih mengekalkan Exco Pas dalam kerajaan negeri…rupa-rupanya mereka sedar BN kuat jadi mereka masih perlukan pengaruh Pas terutama untuk menawan hati orang Melayu.” Umum juga tahu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih ‘bertegang urat’ dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Banyak pihak turut melihat, pembangkang kini tercari-cari pendekatan agar umum dapat mengalih tumpuan daripada melihat kecelaruan yang semakin ketara sesama mereka termasuk soal siapa sebenarnya pemimpin pakatan, siapa calon Perdana Menteri, pendirian terhadap tokoh yang berada di penjara dan isu kerugian dalam urus niaga asing (Forex) sekitar 1990an, di samping isu rasuah pemimpin tertentu dan pelbagai lagi.

Ada juga tokoh pembangkang cuba memerangkap persepsi rakyat agar hilang keyakinan terhadap kerajaan dengan menyebarkan isu-isu yang ternyata sengaja direka, namun akhirnya tersungkur dengan tamparan moral apabila rakyat bangkit menyenaraikan siri pembohongan itu satu persatu. 

Syukurlah, rakyat Malaysia tidak mudah terpedaya dengan helah dan muslihat bagi menggoncang kestabilan negara. Namun sikap sentiasa berwaspada itu tetap penting agar tiada dakyah dapat merubah pendirian. Apa yang diimpikan adalah keamanan, kemajuan dan kemakmuran kekal berterusan.

By: DATUK SAYUTI MUKHTAR.