Anwar berkata: “Dr. Mahathir suruh saya bersara, saya kata tak apalah. Yang itu biar saya dengan rakyat. Kamu Dr. Mahathir, duduk diam-diam. Jaga syarikat anak kamu yang berpuluh-puluh bilion ringgit. Kalau kamu pemimpin bersih, malu tahu tak, malu. Seorang pemimpin tetapi berpuluh-puluh bilion kekayaan anak-anaknya.”

Kenyataan Anwar membuktikan ketika bekas Perdana Menteri itu terlalu teruja melemparkan dakwaan kononnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memiliki wang berjumlah RM230 juta, beliau sendiri perlu menjelaskan bagaimana anak-anaknya boleh menjadi jutawan.

Sebagai contoh, sudah tentu orang mahu tahu kehebatan salah seorang anak Dr. Mahathir yang kini tersenarai antara orang paling kaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan mencecah RM2.1 bilion.

Ini bukannya didedahkan atau didakwa oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang kini menjadi musuh ketat beliau tetapi dipaparkan dalam laporan portal berpengaruh Forbes.

Justeru Dr. Mahathir perlu bersikap terbuka dan mencontohi Ahmad Zahid yang bersedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jika beliau melihat serangan ke atasnya bermotif politik, apakah tindakan beliau ke atas Timbalan Perdana Menteri tidak boleh dianggap mempunyai maksud yang sama?

Ini memandangkan Dr. Mahathir pernah membangkitkan perkara itu pada 11 Mei 1999 di Kubang Pasu.

Jika beliau benar-benar telus sudah tentu sebagai seorang yang paling berkuasa ketika itu Dr. Mahathir akan mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (Kini SPRM) menjalankan siasatan.
Bagaimanapun, beliau tidak  berbuat demikian kerana niat beliau bukannya mencari kebenaran tetapi sekadar melakukan pembunuhan karakter terhadap musuh-musuh politiknya.

Dr. Mahathir mahu menggunakan apa sahaja isu bagi memporak-perandakan UMNO dan menghakiskan kepercayaan rakyat terhadap parti itu. Ini kerana beliau semakin terdesak selepas pelbagai usahanya untuk memburuk-burukkan kepemimpinan UMNO menemui jalan buntu.

Oleh itu, kita tidak perlu terkejut jika seperti mana kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mungkin selepas ini menteri-menteri lain pula akan menjadi sasaran tohmahan pemimpin berusia 93 tahun itu.

Dalam berhadapan isu kekayaan anak Dr. Mahathir, inilah masanya pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan diketuai DAP membuktikan ketelusan dan keikhlasan mereka dengan menyokong saranan supaya siasatan dijalankan. Ini memandangkan ketika Dr. Mahathir masih bersama UMNO, merekalah yang paling ghairah mempersoalkan kekayaan anak-anak beliau.

Tanyalah ‘ayam sabung’ mereka, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli siapa yang membuat dakwaan berikut;

“Mirzan cukup kaya, kapal dia punya, lori dia punya, rumah agam besar di Kanada semua Mirzan punya. Sekarang ini Mokhzani tauke yang cukup kaya, semua kapal, semua kontrak minyak, semua dia punya dan yang terbaharu kayanya anak-beranak Mahathir ini sampai dia boleh beli kilang arak di Filipina. Dengan duit arak itu juga, dia beli stesen-stesen minyak berjenama Esso yang ditukar kepada jenama Petron.”

Rakaman video kenyataan, tular pada Mac lalu ketika wujudnya perancangan untuk menganjurkan debat bertajuk, “Kekayaan anak-anak Mahathir” antara Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan bekas Pegawai Khasnya, Haris Che Mat.

Sebagai seorang pemimpin yang begitu bangga kerana tiada seorang pun anaknya menduduki jawatan kanan dalam parti ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, penulis percaya Dr. Mahathir tidak takut untuk mendedahkan secara terperinci bagaimana anak-anaknya boleh menjadi kaya.

Apatah lagi bekas Perdana Menteri itu sering memberi gambaran bahawa sepanjang 22 tahun menerajui negara beliau adalah pemimpin paling bersih, tidak mengamalkan kronisme atau tidak membantu anak-anaknya menjadi jutawan.

Oleh itu, inilah masanya untuk  Dr. Mahathir menjawab semua perkara berkaitan kekayaan anak-anaknya yang sudah berpuluh-puluh tahun menjadi bualan.

Orang ingin tahu kebenaran di sebalik dakwaan yang dibuat oleh pihak tertentu bahawa 1997, tiga anaknya yang berusia tidak sampai 40 tahun memegang jawatan pengarah dalam lebih 200 syarikat Malaysia.

Dan terbaharu, dalam laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 Jun lalu, seorang Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Abd. Wahazir Abd.Wahabi mahu agensi itu menyiasat pemilikan syarikat oleh empat anak bekas Perdana Menteri itu yang didakwa keseluruhannya berjumlah 488 syarikat.

Kalaulah Dr. Mahathir yang satu ketika dahulu pernah menganggap segala tuduhan terhadap anaknya oleh Anwar sebagai satu difitnah maka sekarang beliau berpeluang membuktikan ia benar-benar satu fitnah dengan memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan.

Langkah itu penting demi nama baik dan reputasi Dr. Mahathir. Cukup-cukuplah beliau dianggap sanggup menggadaikan prinsip dan mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Jangan pula nanti dalam soal kekayaan anak-anaknya beliau dilihat bagaikan ‘ayam jantan berkokok kuat tetapi ekor bergelumang najis.’ Lagipun bukankah beliau sendiri pernah berkata, “pemimpin bukan hanya kelihatan mesti bersih tetapi mesti benar-benar bersih.”

By: Zulkiflee Bakar.