Perdana Menteri berkata, beliau tiada sebarang keraguan terhadap kesetiaan Ahmad Zahid, biarpun cuba dimomokkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana hubungan baik antara mereka sudah terjalin lama iaitu sejak 1986.

Membayangkan Dr. Mahathir sebagai terdesak setelah pelbagai usaha bagi menghancurkan UMNO serta menjatuhkan kepemimpinannya gagal, Najib yang juga Presiden UMNO berkata, adalah tidak masuk akal, tidak logik dan fitnah kononnya Ahmad Zahid cuba mendapatkan sokongan bekas Perdana Menteri itu untuk menggulingkannya.

“Dia (Dr. Mahathir) tak faham, Datuk Zahid dengan saya bukan baharu, tahun 1986 lagi, susah senang bersama. Saya pernah pertahankan Datuk Zahid di Bagan Datuk, masa itu Ketua UMNO bahagian lawan dengan dia, saya pergi sana pertahankan Datuk Zahid, akhirnya menang dengan 11 undi.

“Saya bagi ucapan berdegar-degar. Ketua bahagian mengadu kepada Tun Ghafar Baba kata ucapan Ketua Pemuda tak guna, saya tak peduli. Saya pertahankan Datuk Zahid sejak dari mula sebab dia rakan saya, rakan dan sahabat dalam perjuangan... tahu susah senang, yang lain itu tak perlu cerita, itu antara saya dengan Datuk Zahid.

“Sebab itu saya nak nyatakan tak usahlah dalam kepala berlegar cerita (nak guling), percayalah bahawa kepemimpinan UMNO di atas ini kukuh. Saya yakin pada timbalan saya, Datuk Zahid Hamidi,” kata Najib ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri mengingatkan Dr. Mahathir bahawa Ahmad Zahid masih lagi tidak lupa bagaimana bekas Perdana Menteri tersebut menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menyumbatkan timbalannya itu ke penjara.

Najib berkata, ketika zaman kekuasaannya dahulu, Dr. Mahathir menggunakan segala ‘senjata’ untuk menekan pihak yang tidak sebulu dengannya, tetapi ironinya sekarang, bekas Perdana Menteri itu menuduh beliau menyalahgunakan kuasa.

“Cuba bayangkan kalau dia kata orang lain gila kuasa, Dr. Mahathir ini apa dia tak guna? Apa senjata dia tak guna? Datuk Zahid satu ketika Ketua Pemuda, bertaraf Naib Presiden tetapi dimasukkan dalam ISA, cuba bayangkan kalau hari ini saya masukkan Ketua Pemuda dalam ISA, ibaratnya, tapi saya dah mansuhkan ISA, jadi nak salah guna kuasa tak boleh.

“Dalam ISA dia hantar pegawai Cawangan Khas jumpa Datuk Zahid, kata kalau nak keluar ISA lebih awal, tandatangan surat letak jawatan. Cuba bayangkan dipilih perwakilan, masuk ISA dan lepas itu dipaksa letak jawatan. Esok pegawai sama datang lagi minta tandatangan pula bahawa letak jawatan atas kerelaan bukan paksaan.

“Maknanya apa? Guna kuasa sepenuhnya tekan seolah-olah letak pistol pada kepalalah ibaratnya sebab itu Datuk Zahid tak lupa, dia kata jerat tak pernah lupa pelanduk. Sebab itu tak masuk akal lepas jadi Timbalan Perdana Menteri jumpa Dr. Mahathir minta sokongan untuk gulingkan saya, tak mungkin, tak betul dan fitnah sama sekali,” katanya.

Dari: UM.