Dalam sejarah Tanah Melayu, sekiranya orang Melayu tidak bersatu menentang Malayan Union pada tahun 1948, sudah tentu orang Melayu sekarang tidak akan mendapat hak sebagai bumiputera di negara sendiri.

Sewaktu berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Bosnia pada tahun 90-an, Malaysia antara negara yang paling lantang dan aktif membantu Bosnia sehingga akhirnya membuahkan hasil.

Sama juga seperti isu Palestin, rakyatnya sendiri dan negara Islam perlu bersatu untuk menentang kekejaman dan penindasan Israel terhadap apa yang mereka lakukan di Gaza dan Tebing Barat. 

Rakyat Palestin selama ini memang berpecah kepada dua kelompok fahaman politik iaitu Hamas dan Fatah asbab pengaruh dari dunia Arab sendiri yang terpecah kepada 22 negara. 

Tetapi sekarang ini agak menyedihkan kerana tidak semua negara Islam bersatu menunjukkan protes terhadap Israel. 

Ditambah pula dengan kelemahan ketara yang melanda negara-negara Islam hari ini apabila tidak mempunyai kuasa besar dalam kalangan mereka sendiri.

Hal ini kerana kuasa besar dunia sekarang adalah Amerika Syarikat (AS) dan China yang kedua-duanya adalah negara bukan Islam. Hatta, negara Islam yang memiliki kuasa nuklear satu-satunya di dunia adalah Pakistan. 

Walaupun begitu, Pakistan tidak mampu melakukan banyak usaha yang boleh membantu negara-negara Islam yang bergolak kerana negara itu sendiri mempunyai banyak halangan dan masalah dalamannya sendiri. Justeru, kita perlukan sebuah negara kuasa besar untuk memimpin dunia Islam seperti sewaktu zaman khalifah Uthmaniyah dahulu.

Bantahan yang dilakukan haruslah berterusan dan tidak secara berkala bagi mengelakkan penindasan rejim Zionis Israel berulang kembali. Malah, undang-undang antarabangsa juga mempunyai konsep yang dinamakan persistent objector iaitu membantah secara berterusan. Sekiranya sesebuah negara itu menjadi persistent objector, undang-undang antarabangsa boleh dibentuk melalui amalan perundangan negara berkenaan. 

Ini menunjukkan bantahan secara berterusan juga adalah sangat penting untuk diamalkan.Maka, semua negara Islam perlu bersatu menentang kekejaman Israel, baharulah perkara ini boleh dihentikan. Acap kali, kita pasti tertanya-tanya apakah peranan negara Arab yang berjiran atau mempunyai kedudukan paling hampir dengan Palestin? 

Sayang seribu kali sayang bahkan sangat mengecewakan kerana negara Arab juga saling bercakaran sesama sendiri. Buktinya, Arab Saudi yang sepatutnya memainkan peranan dalam perkara ini lebih gemar bercakaran dengan Qatar. 

Bukankah lebih baik segala usaha ini ditumpukan untuk terus memberikan tekanan kepada Israel? 

Mungkin usaha memboikot produk difikirkan paling mudah untuk dilakukan tetapi sebenarnya pada hemat penulis, langkah memboikot ini tidaklah berkesan seperti yang diharap-harapkan. 

Sekiranya kita memboikot produk-produk dan restoran makanan ringan yang dikatakan memberi dana kepada rejim Zionis ini, ini boleh memberi kesan kepada kebanyakan pekerja Melayu beragama Islam yang diambil bekerja di seluruh Malaysia. 

Kalau ada makanan ringan atau produk versi Islam yang boleh menggantikannya, saya rasa kita sudah sedia untuk memboikot. 

Tetapi setakat ini ada atau tidak? Ada yang memboikot secara sementara sahaja, selepas itu kembali membeli. Tepuk dada tanyalah selera. 

Maka janganlah kita nanti dilihat sebagai kelompok yang hanya tahu memboikot membabi buta tanpa memikirkan risiko dan kesan jangka panjang yang terbaik. 

Walaubagaimanapun, kaedah paling berkesan untuk memberikan mesej kepada Israel adalah dari pemimpin negara-negara Arab sendiri. 

Apa gunanya kita memboikot tetapi negara Arab seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi masih menjadi pengguna setia produk yang dikaitkan dengan Israel? Bahkan, banyak produk keluaran negara yang menyokong Zionis di seluruh dunia, lantaran itu, umat Islam perlu mengukuhkan ekonomi masing-masing untuk mencipta jenama bagi menggantikan jenama lain yang dikaitkan dengan Israel ini. Setelah itu, baharulah langkah memboikot akan menjadi lebih berkesan. 

Pepatah Inggeris ada menyebut ‘If you can`t beat them, you join them’ , jangan sampai pepatah berkenaan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Tulisan: DR. MOHD. HAZMI MOHD. RUSLI.